Euforia Bola 2026
Dapur

Ramai Suka ‘Slurp’ Tiram Mentah, Memang Hidupan Laut Halal Tapi Baru Tahu Hukumnya Adalah…

tiram mentah

Bagi penggemar makanan laut, tiram mentah sering dianggap hidangan premium yang cukup ‘rare’ dan menyelerakan. Namun, timbul persoalan dalam kalangan umat Islam, adakah memakan tiram secara mentah-mentah dibolehkan atau sebaliknya dari sudut hukum syarak?

Persoalan itu turut dijawab oleh Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri yang mengupas hukum memakan tiram mentah berdasarkan pandangan ulama dan pertimbangan kesihatan.

Baca juga: Nak Elak Mengantuk Lepas Makan? Air Daun Pandan Rupanya Ada ‘Kuasa Rahsia’ Kawal Gula

HUKUM MAKAN TIRAM MENTAH

tiram mentah

Gambar hiasan: Gemini AI

Tiram termasuk hidupan laut yang halal dimakan

Menurut penjelasan yang dikongsikan, tiram merupakan sejenis kerang-kerangan atau moluska yang hidup di dasar laut dan sudah dimakan manusia sejak ribuan tahun dahulu.

Dari sudut hukum Islam, tiram termasuk dalam kategori hidupan air yang halal dimakan tanpa perlu disembelih berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut.”

Selain itu, terdapat juga hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”

Jelasnya, tiram sememangnya halal dimakan. Namun, perbahasan sebenar adalah berkaitan cara ia dimakan sama ada mentah atau dimasak.

Baca juga: Edisi Khas Raya Resipi Kuih Tiram & Tips Buat Bunganya Kembang Elok!

Ulama berbeza pandangan mengenai daging mentah

Menurut Dr Zulkifli Al-Bakri, terdapat khilaf atau perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai hukum memakan daging mentah. Ada ulama yang berpandangan hukumnya harus kerana tiada nas yang jelas mengharamkannya, manakala sebahagian lagi berpendapat ia makruh.

Pendapat yang memakruhkan ini, di antaranya merupakan pendapat sebahagian ulama Hanbali seperti yang dinukilkan oleh Ibn Muflih dalam kitabnya, al-Adab al-Sya‘riyyah yang menyatakan bahawa makruh makan daging mentah atau yang tidak dimasak.

Sedangkan pendapat yang kedua yang menyatakan harus pula adalah berdasarkan pendapat al-Mardawi dalam kitabnya al-Insaf yang menukilkan pendapat Imam Ahmad yang mengatakan, tidak mengapa memakan daging yang mentah.

Pendapat ini adalah pendapat yang rajih kerana tiada nas yang mengharamkannya dan merupakan pendapat yang muktamad dalam mazhab Hanbali. Maka ia menepati kaedah:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ

Maksudnya: “Hukum asal pada sesuatu itu adalah harus.”

Selain itu, Imam al-Nawawi juga pernah ditanya mengenai hukum memakan daging mentah dan beliau menjawab dengan menyatakan bahawa hukumnya adalah harus.

Baca juga: 3+ Tips Bersihkan Lala (Seafood) Dari Pasir, Lumpur & Bau Hanyir, Dijamin Mudah!

tiram mentah

Gambar hiasan: Gemini AI

Makruh jika mentah, haram jika mudaratkan kesihatan

Walaupun begitu, Dr Zulkifli menjelaskan bahawa aspek kesihatan tidak boleh dipandang ringan.

Menurut pakar kesihatan, makanan mentah termasuk tiram berisiko mengandungi bakteria seperti E.coli, Listeria monocytogenes dan Campylobacter yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Antara simptom yang boleh berlaku termasuk loya, muntah, cirit-birit, demam dan sakit kepala.

Kesimpulannya, beliau berpandangan bahawa memakan tiram mentah adalah makruh, namun sekiranya terbukti boleh memudaratkan kesihatan atau menyebabkan keracunan makanan, maka hukumnya boleh menjadi haram.

Firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

Jadi, buat anda yang gemar menikmati tiram mentah, mungkin boleh lebih berhati-hati dan mempertimbangkan faktor kebersihan serta risiko kesihatan sebelum menikmatinya.

Sumber: Portal Zulkifli Al-Bakri

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×