“Ish, makin naik merah-merah dekat muka baby ni. Gatal ke? Apa nak buat?”
Kulit bayi sememangnya amat sensitif. Kita sebagai ibu pula memang tak senang duduk kalau ternampak sebarang tanda yang mungkin boleh membuatkan bayi rasa tak selesa. Antara masalah kulit yang selalu berlaku kepada bayi adalah jerawat yang timbul terutamanya pada bahagian muka.
5 Perkara Tentang Jerawat Bayi Yang Anda Perlu Tahu
1. Bayi Mudah Terkena Jerawat
Jika diperhatikan, jerawat bayi biasanya timbul di bahagian muka, sekitar leher, lengan dan belakang badan. Berbeza dengan ruam, jerawat ini mempunyai rupa yang berbintik-bintik dan timbul. Jerawat atau ruam boleh muncul ketika akibat iritasi air liur, muntahan susu, cuaca panas atau tindakbalas terhadap bahan kimia tertentu.
Menurut Portal MyHealth, ada 2 jenis jerawat yang mudah terkena bayi iaitu ruam panas (miliaria) dan jerawat bayi baru lahir (erythema toxicum neonatorum).
2. Jerawat Ruam Panas (Miliaria)
Jerawat yang timbul kemerah-merahan atau berwarna jernih ini biasanya sangat kecil dan dipanggil ruam panas. Jerawat jenis ini paling mudah dilihat pada bahagian kulit kepala, leher dan bahagian atas dada.
Jerawat jenis ini biasanya berlaku disebabkan oleh sekatan saluran-saluran peluh dan aliran peluh dan bahan kumuh ke dalam kulit.
3. Jerawat Bayi Baru Lahir (Erythema toxicum neonatorum)
Jerawat jenis ini biasanya berlaku pada bayi yang baru berusia 2 minggu. Ruam merah yang terjadi lazimnya diikuti dengan bintilan kecil berwarna kuning dan dikelilingi warna merah.
Ruam atau jerawat jenis ini mungkin nampak tidak selesa pada bayi anda yang baru lahir. Malah, ia boleh datang dan pergi serta berubah lokasi dari satu tempat ke tempat lain tetapi tidak melibatkan tapak tangan dan kaki.
Namun ia tidak merbahaya kerana ia merupakan mekanisme kulit untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar rahim.
Tiada rawatan khusus diperlukan dan jerawat seperti ini akan menghilang dengan sendiri.
4. Rawatan
Sekiranya bayi tidak terganggu dengan jerawat yang timbul pada bahagian badannya, anda tidak perlu risau. Apa yang perlu dilakukan adalah dengan memastikan bayi kurang berpeluh agar saluran-saluran peluh yang tersekat dapat dilegakan.
Oleh itu, pakaikan bayi dengan pakaian yang longgar dan menyerap peluh. Mandi atau lapkan bahagian kulit yang mempunyai ruam dengan kerap, dan pastikan ada sistem pengudaraan yang baik di bilik.
Namun sekiranya bayi kelihatan gatal, tidak selesa, dan asyik merengek, pastikan anda tidak berlengah untuk membuat pemeriksaan lanjut dengan doktor dengan segera.
5. Jenis-jenis Kegatalan Lain
Selain 2 jenis jerawat ini, ada kemungkinan bayi boleh diserang oleh beberapa punca kegatalan lain seperti jangkitan cacing cincin / kurap (ringworm), eczema, gegata atau penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD).
Walaupun ianya hampir serupa dan mungkin sukar untuk anda kenalpasti, setiapnya mempunyai ciri yang tersendiri:
Ringworm – Jika tanda kemerahan berbentuk bulat / gegelung, mungkin ia adalah jangkitan kurap / cacing cincin atau lebih dikenali sebagai ringworm. Ia selalunya kering dan bersisik di sekeliling bulatan, tetapi mempunyai bahagian tengah yang lembut dan licin. Jika menyerang kulit kepala, ia akan kelihatan seperti botak dan berkelemumur.
Eczema – Ditandai dengan munculnya ruam kemerahan disertai dengan kulit yang bersisik dan kegatalan. Selalunya terjadi pada bayi yang mewarisi asthma atau alergi daripada keluarga.
Alahan (Hives) – Banyak terjadi disebabkan sensitif terhadap makanan tertentu antaranya susu, telur, udang, ubat, atau suhu yang ekstrem. Kulit anak akan menjadi kemerahan, terasa gatal, dan sedikit panas.
HFMD – Bintik merah akan mula muncul di tapak tangan dan kaki yang kemudiannya menjadi biji mengandungi air.
Jangan Guna Ubat Sebarangan
Jerawat bayi biasanya akan hilang dengan sendirinya dalam masa beberapa minggu. Tapi bergantung kepada jenis dan keadaan, ada yang hanya akan hilang selepas beberapa bulan. Seeloknya jangan gunakan sebarang ubat tanpa konsultasi doktor kerana kulit bayi sensitif terhadap bahan kimia dan ia mungkin akan membuatnya menjadi lebih teruk.
Seandainya jerawat tidak menganggu dan menunjukkan tanda beransur hilang, maka Mama Papa tak perlu risau. Apa yang penting, anda perlu sentiasa pastikan bayi selesa dan tidak terganggu dengan jerawat, tidak menggarunya, atau tidak membiarkan bayi dalam keadaan berpeluh / lembap.