Beberapa hari yang lalu telah viral sebuah gambar dan keluhan ibu akibat kesan tangan bayi baru lahir yang menunjukkan kira-kira 10 kesan cucukan jarum. Kesan cucukan tersebut didakwa dilakukan oleh doktor pelatih semasa ingin mengambil darah.
Berikutan insiden tersebut, ramai yang berasa kasihan dan kurang senang dengan doktor tersebut, malah ada yang turut melahirkan rasa kecewa serta berkongsikan pengalaman yang serupa dengan ibu tersebut.
Bukan Sekadar Menyucuk Jarum
Beberapa hari lalu tular mengenai keluhan seorang ibu mengenai ketidakpuasan hatinya kepada prosedur pengambilan darah/ memasukkan jarum di sebuah hospital. Prosedur tersebut merupakan antara prosedur paling biasa dilakukan di hospital, tetapi jangan ambil mudah, tanpa komunikasi yang jelas dan skill yang betul, prosedur mudah boleh menyebabkan risiko komplikasi dan sebagainya.
Berikut PHM kongsikan maklumat penting mengenai prosedur pengambilan darah/ venupunture untuk perkongsian bersama.
Terlebih dahulu,ibu bapa dan pesakit perlu faham mengapa prosedur pengambilan sampel darah dan memasukkan jarum perlu dilakukan.
BUKAN SUKA SUKA NAK CUCUK BAYI
Setiap prosedur yang dilakukan perlu ada indikasi. Doktor bukan suka suka menusuk kulit halus bayi anda jika tiada indikasi yang jelas.
Tujuan mengambil sampel darah dan memasukkan jarum:
– Untuk mengetahui keadaan terkini pesakit
-Memasuk ubat dan antibiotik
– Mengantikan air dan garam mineral
– Memasukkan produk darah
– Pemantauan hemodinamik
– Memasukkan sumber nutrient
Apakah penting untuk pesakit dan ibu bapa untuk memberi kebenaran sebelum prosedur dilakukan?
Kebenaran pesakit dan ibu bapa. Semua prosedur termasuk pengambilan darah perlu ada kebenaran pesakit sama ada secara bertulis atau lisan. Tanpa kebenaran pesakit / ibu bapa , prosedur pengambilan darah atau memasukkan jarum TIDAK BOLEH DITERUSKAN.
Anda mempunyai hak mutlak untuk mempersoalkan indikasi prosedur dilakukan. Bertanyalah kepada doktor yang merawat agar segala persoalan yang terbuku dihati dapat dijelaskan. Walaubagaimanapun, diharapkan pesakit dan ibu bapa dapat memberi kerjasama terbaik untuk memastikan proses rawatan dan pemantauan pesakit dapat dilakukan dengan lancar.
Berapa kalikah seorang doktor boleh mencuba untuk memasukkan jarum bagi seseorang pesakit?
Secara amnya, seseorang individu boleh mencuba sehingga 2 kali percubaan. Setelah gagal, doktor tersebut perlu BERHENTI melakukan prosedur tersebut dan meminta individu yang lebih berpengalaman untuk melakukan prosedur tersebut.
Dengan izin pesakit/ibu bapa , percubaan untuk memasukkan jarum/ mengambil darah boleh dilakukan sehingga 4 kali percubaan. Selepas gagal, prosedur perlu dihentikan dan perbincangan lanjut perlu dilakukan dengan pasukan perawat atau pakar mengenai kaedah lain yang boleh digunakan.
Walaubagaimanapun, perkara ini tertakluk kepada keadaan pesakit. Dalam keadaan kritikan dan kecemasan, keutamaan adalah untuk menyelamatkan pesakit.
KALAU TAK PUAS HATI KENA BUAT ADUAN
Antara isu hangat yang dibincangkan diruang komen adalah mengenai parut yang ditinggalkan selepas prosedur. Lebam dan parut merupakan antara komplikasi ringan yang boleh berlaku. Untuk mengurangkan kesan tersebut, tekan tempat yang disuntik untuk beberapa minit & tuam dengan ais batu.
Jika anda tidak berpuas hati dengan prosedur, lakukan aduan secara formal kepada pihak hospital. Semoga ada penjelasan dan penyelesaian yang baik untuk kedua dua pihak.
Paling penting, tetapi paling jarang dilakukan , beri penghargaan dan sekurang kurangnya ucapkan terima kasih jika prosedur berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Jangan kerana parut dan lebam yang ditinggalkan menyebabkan anda langsung tidak menghargai dan lupa pada saat saat kritikal pesakit berjaya diselamatkan oleh pasukan perawat.
Sumber : Public Health Malaysia