Sihat

Jadual Terkini Program Imunisasi Kebangsaan Kanak-Kanak Dari KKM, Mak Ayah Kena Alert!

14
SHARES

Hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai pertukaran Jadual Imunisasi Kebangsaan untuk Kanak-Kanak yang melibatkan semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara.

PERTUKARAN VAKSIN UNTUK KANAK-KANAK

Pertukaran jadual imunisasi ini dilaksanakan susulan pertukaran jenis vaksin yang digunakan iaitu vaksin kombinasi lima serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Haemophilus influenzae type b (pentavalent DTaP-IPV//Hib) yang ditukar kepada vaksin kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak. Pertukaran pelaksanaan akan dilaksanakan secara berperingkat, yang akan bermula seawal bulan November 2020 bergantung kepada ketersediaan bekalan vaksin ini di fasiliti kesihatan KKM.

Manfaat pertukaran vaksin lima serangkai kepada vaksin enam serangkai

Jadual terbaharu.

Vaksin enam serangkai diberikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu penyakit difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b dan Hepatitis B.

Sebanyak empat (4) dos vaksin enam serangkai akan diberikan kepada setiap kanak-kanak pada umur dua (2) bulan, tiga (3) bulan, lima (5) bulan dan 18 bulan.

Di samping itu, vaksin Hepatitis B yang diberi selepas lahir akan terus diberikan. Manakala, vaksin Hepatitis B yang sebelum ini diberikan pada umur 1 bulan dan 6 bulan tidak perlu lagi diberikan kerana komponen vaksin Hepatitis B telah terkandung dalam vaksin kombinasi enam serangkai difteria – tetanus – pertussis – polio – Hepatitis B – Haemophilus influenzae type b (hexavalent DTaP-IPV-HepB-Hib).

Ini bermakna, bilangan suntikan untuk mencegah enam jenis penyakit iaitu difteria, tetanus (kancing gigi), pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, jangkitan Haemophilus influenzae type b, dan Hepatitis B dapat dikurangkan dari tujuh (7) suntikan kepada hanya lima (5) suntikan susulan pertukaran vaksin ini. Dengan pengurangan bilangan suntikan, ia memudahkan ibubapa untuk memastikan anak-anak diberikan suntikan vaksin mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan.

Ibubapa perlu memastikan anak-anak mengikut jadual imunisasi yang ditetapkan. Sekiranya anak-anak tercicir sebarang imunisasi, sila bawa anak ke klinik kesihatan atau klinik swasta yang berdekatan untuk penjadualan semula imunisasi.

Berdasarkan jadual baru ini, walaupun tiada suntikan imunisasi diberikan kepada kanak-kanak pada umur 1 bulan dan 6 bulan seperti sebelum ini, ibubapa perlu juga mematuhi jadual kedatangan ke fasiliti kesihatan untuk kanak-kanak berumur 1 bulan dan 6 bulan untuk pemantauan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak seperti yang dietapkan dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak (0 – 6 tahun).

Sumber: KKM

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×