“Susah juga nak cari pengasuh bayi area Melaka ni. Kebanyakannya yang kita jumpa di internet semua area KL & Selangor. Hmm… Esok nak pergi tengok 2 tempat ni dulu, tak tahulah ‘okay’ ke tak. Agak-agak apa yang aku patut tanya dia ya?”
Misi mencari pengasuh bayi dan anak bukanlah sesuatu yang mudah. Mana tidaknya, kita bakal menyerahkan si anak kepada seseorang yang kita belum pernah kenal. Tentu bermacam-macam perkara yang bermain di fikiran kita.
Untuk memudahkan anda membuat pertimbangan dalam menentukan pengasuh bayi yang terbaik, di sini kami senaraikan 10 soalan wajib untuk anda tanyakan kepada mereka.
10 Soalan ‘Interview’ Yang Wajib Ditanya Kepada Bakal Pengasuh Bayi & Anak Kita
Sebagai seorang bakal majikan yang akan bekerjasama dan menyerahkan tanggungjawab kepada mereka, soalan ini perlu diajukan untuk mengetahui beberapa perkara penting tentang mereka.
1. Dah berapa lama berpengalaman mengasuh anak?
Soalan ini perlu ditanya kerana tidak semua orang pernah mengasuh anak orang lain walaupun mereka mempunyai anak sendiri.
Jika mereka berpengalaman, mungkin anda boleh berkenalan dengan ibu bapa lain yang menghantar anak ke sana untuk mendapatkan respon mereka.
Sekiranya tidak, anda perlu mempertimbangkan beberapa faktor lain seperti umurnya atau sama ada mereka berkemahiran kerana semasa menguruskan anak sendiri.

Foto Kredit: popsugar.com
2. Adakah kamu sukakan anak kecil?
Soalan ini sengaja ditanya untuk mendapatkan kepastian dan ‘memancing’ mereka untuk meyakinkan anda.
Tanyalah bakal pengasuh bayi itu apa yang mendorongnya melakukan tugas ini dan apa yang seronok mengenainya. Anda mungkin dapat melihat keseriusan dalam riak wajah mereka.

Foto Kredit: online.shorter.edu
3. Berapa ramai anak yang berada di bawah jagaan kamu sekarang?
Menurut kenyataan akhbar, pengasuh bayi yang mempunyai 4 orang anak jagaan ke atas perlu berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat berkuatkuasa sejak 2014.
Ini bermaksud, jika terdapat lebih daripada 4 orang anak jagaan dan tidak berdaftar, anda patut berasa risau untuk meninggalkan bayi anda kepadanya.
Sememangnya, banyak perhatian diperlukan untuk menjaga seorang bayi dan anak kecil. Jadi, jangan ambil ringan ya.

Foto Kredit: pbcexpo.com.au
4. Boleh perkenalkan diri kamu dan ahli keluarga kamu (atau staf) yang lain?
Seelok-eloknya, dapatkan sedikit info tentang pengasuh tersebut. Jangan malu untuk minta diperkenalkan kepada setiap ahli keluarga pengasuh atau pembantu yang dimiliki. Kalau mereka ada anak sendiri, tanyakan berapa orang dan berapa umur mereka masing-masing.
Interaksi antara ahli keluarga lain juga penting kerana mereka bakal mempengaruhi lingkungan persekitaran anak anda.

Foto Kredit: huffingtonpost.com
5. Adakah kamu akan menyediakan makanan untuk anak saya?
Jika ya, tanyakan menu yang biasa dimasak oleh mereka. Jika anak anda berusia bawah 6 bulan– pastikan mereka tahu bahawa anda tidak mahu mereka memberikan sebarang makanan sebelum usia yang sepatutnya, termasuklah bijirin (nestum).
Jangan lupa tanyakan kemahiran mereka mengendalikan susu perahan kerana tidak ramai yang boleh berbuat demikian.
Beritahu juga pendapat anda tentang pemberian susu formula atau sebarang makanan dan minuman lain seperti air kosong, ais, snek, sayuran, dan sebagainya.

Foto Kredit: babyfoode.com
6. Apakah aktiviti yang selalu dilakukan oleh anak-anak di sini?
Melalui soalan ini, anda dapat mengagak aktiviti harian yang bakal dilakukan oleh anak anda. Ini juga dapat memperlihatkan sama ada mereka mempunyai jadual tertentu atau sekadar menonton TV.
Jika mempunyai sebarang ‘request’ seperti membaca 1 buku cerita sehari, pastikan anda bertanyakan kesanggupan mereka untuk melakukannya.

Foto Kredit: huffingtonpost.com
7. Apa yang kamu akan buat kalau saya lewat datang mengambil anak?
Walaupun anda tidak bertujuan untuk melakukannya, ini adalah antara perkara yang tidak dapat dielakkan.
Selain itu, mereka juga mungkin mempunyai caj-caj tertentu untuk tempoh ‘overtime’ tersebut.

Foto Kredit: bezzia.com
8. Adakah sesiapa yang merokok di dalam rumah ini?
Jika anda amat sensitif terhadap perkara ini, jangan lupa bertanyakan kepada bakal pengasuh bayi anda.
Ia amat mustahak, lebih-lebih lagi jika anak anda masih terlalu kecil dan mengalami alahan, ekzema atau penyakit seperti lelah.

Foto Kredit: yourworldlyvoices.files.wordpress.com
9. Ada apa-apa soalan untuk saya?
Kini giliran mereka pula untuk bertanyakan sebarang soalan kepada anda.
Selain mengetahui umur anak anda, mungkin ada beberapa perkara lain yang mereka ingin tahu tentang keperluannya.
Jangan terkejut jika mereka juga ada menyediakan senarai soalan yang panjang untuk ditujukan khas kepada anda.

Foto Kredit : newhealthadvisor.com
10. Betulkah kamu berminat untuk menjaga anak saya?
Setelah menjawab banyak soalan, dan anda juga telah memperkenalkan anak anda – sudah tentu inilah soalan terakhir yang akan anda ajukan untuk mendapat kata putus daripada mereka.
Jika mereka berminat, beritahu mereka bila boleh bermula dan apakah langkah seterusnya. Anda juga boleh menyediakan kontrak ringkas sebagai persetujuan kepada semua yang dibincangkan.

Foto Kredit: orignative.com
Anda Juga Perlu Jelaskan Skop Kerja Dengan Terperinci
Soalan-soalan ini bukanlah penentu sikap mereka 100%. Malah, tiada jawapan yang betul atau salah. Namun, perbualan ini dapat dapat memberi sedikit petanda dalam membina keserasian.
Di samping itu, anda perlu memberi maklumat yang jelas kepada mereka tentang perkara berkaitan tanggungjawab, gaji, jam kerja, ‘overtime’, cuti, peraturan disiplin, perubatan, dan sebagainya.
Semua ini adalah untuk mengelakkan sebarang salah faham pada masa akan datang.