Didik

Cara Untuk Si Ibu Merangsang Minda Anak Ketika Buat Kerja Rumah, Sambil Basuh Beras Pun Boleh!

42
SHARES

Anak dijaga di rumah VS anak yang dijaga di taska atau pengasuh. Ini adalah dua situasi dimana selalu menjadi pertanyaan buat si ibu. Katanya kalau jaga anak sendiri di rumah, anak nanti tak pandai berkawan dengan orang. Kalau hantar ke pengasuh pula, takut bila memikirkan banyak kejadian yang negatif mengenai pengasuh kanak-kanak. Yang mana satu betul? Perkongsian tentang perkembangan anak ini sangat membantu untuk ibu-ibu di luar sana, khususnya surirumah yang menjaga anak sendiri. Semoga bermanfaat!

UNTUK MAK SURI RUMAH YANG SIBUK

“Puan, kenapa ya perkembangan anak saya lambat berbanding anak kawan-kawan saya yang dihantar taska atau pengasuh? Sedangkan saya sanggup berhenti kerja untuk jaga dia sendiri. Apa salah saya?”

Tak ada salahnya sekiranya anak mendapat cukup rangsangan di rumah. Yang salahnya, bila di rumah tiada komunikasi bersama. Maknya sibuk mengurus rumah, anak diletakkan di “baby court”/buaian sambil tv terpasang sepanjang hari.

Tiada rangsangan deria.
Tiada komunikasi bersama, kalau ada pun dengan iringan bunyi tv.
Tiada tempat untuk di terokai, hanya di “babycourt” sebab mak penat nak kemas rumah bersepah.
Tiada tempat yang luas untuk merangkak laju, hanya ruang “babycourt” sahaja.

Menjadi suri rumah memang memenatkan lagi-lagi anak yang jenis nak melekat 24 jam macam “koala bear”, memang buat mandi tak basah, makan tak kenyang, solat tak khusyuk, nak buang hajat pun kadang-kadang tunggu suami balik kerja.

http://zeenews.india.com/

Ini baru cerita anak sorang, belum 5 orang. Mana nak urus anak kecil, mana nak urus anak sekolah kebangsaan, petang sekolah agama. Mak pengsan. Tapi jangan kita jadikan alasan sibuk mengurus rumah, tak sempat merangsang perkembangan anak. Sebab semua aktiviti mengurus rumah juga boleh dikaitkan dengan merangsang perkembangan anak. Jadi, disini saya nak kongsikan tips mengurus rumah sambil merangsang perkembangan anak.

SEMASA MEMASAK

1. Basuh beras

vi.aliexpress.com

Masa sebelum basuh beras, boleh bagi anak umur 6 bulan keatas (sudah boleh duduk) untuk ramas-ramas tangan dalam periuk nasi sambil beralaskan surat khabar. 5 minit duduk bersama pun dah cukup dalam sehari. Aktiviti ini bagus untuk merangsang deria sentuhan dan motor halus.

2. Potong sayur dan buah

http://www.kidsrooms.co.uk/

Sambil potong atau basuh sayur dan buah boleh perkenalkan nama sayur pada anak, beri anak rasa bentuk dan tekstur sayur sekali. Bagus untuk meningkatkan kosa kata anak sambil merangsang deria sentuhan. Boleh juga bagi anak rasa dan bau jenis sayur yang boleh dimakan tanpa masak. Contohnya lobak merah, beri anak main sekejap tapi kena perhatikan takut anak tercekik.

3. Basuh ayam atau ikan

http://thekawarthas.ca/

Tunjukkan ikan yang belum dimasak pada anak sambil sebut nama ikan. Boleh juga beri anak sentuh ikan mentah untuk deria sentuhan. Tapi jangan lupa basuh tangan!

4. Jika anak berminat dengan proses didapur, mak ayah bolehlah masak sambil bercerita. Buat macam chef dalam tv.

5. Jika anak ada menunjukkan minat memasak, belikan set dapur mainan untuk anak. Sambil kita memasak, sambil anak memasak juga. Tak kira anak lelaki atau perempuan.

MENGURUSKAN PAKAIAN

1. Semasa membasuh baju

http://www.washingguns.com/

Minta tolong anak untuk asingkan baju gelap dan cerah. Selepas itu boleh minta anak tolong masukkan dan keluarkan baju dari mesin basuh. (Mesin basuh jenis “front load”).

2. Semasa menyidai baju dan mengangkat baju

http://downtoearth.danone.com/

Minta tolong anak untuk sepit-sepit bajunya sendiri di penyidai. Sangkut penyidai sepit di pagar dahulu, sama tinggi dengan anak. Sama juga bila mengangkat baju. Boleh latih bila anak sudah pandai menerima arahan. Bagus untuk deria sendi. Boleh juga tolak bakul bersama-sama anak.

SEMASA MENGEMAS

1. Menyapu

www.kingofmaids.com

Latih anak untuk mengemas mainan sendiri, kutip segala sampah yang boleh dikutip.
Mak cuma perlu memantau sahaja ala-ala “queen”. Nampak macam buli anak, tapi aktiviti ini bagus untuk skil motor halus. Belikan penyapu kecil, latih anak untuk menyapu sampah.

2. Menyusun barang

www.hirerush.com

Sambil susun barang, sambil latih dimana barang-barang sepatutnya diletak. Boleh juga, mak jadi ala-ala “queen”, hanya tanya mana barang sekian-sekian dan minta anak cari untuk anak bawah 2 tahun. Bagus untuk merangsang deria penglihatan dan fokus anak. Jadikan aktiviti ini seperti “game” walaupun dalam hati “senang kerja aku tak payah mengutip”.

http://www.bigbencleaners.co.uk/

Banyak sebenarnya yang kita boleh kaitkan mengurus rumah sambil melatih anak berdikari. Ikut kreativiti kita sahaja. Anak gembira sebab dapat ikut mak buat kerja, mak pun senang hati bila lama-lama kerja jadi mudah. Dalam melatih anak pula, bukan sehari dua tangan mereka sudah cekap. Perlukan kesabaran yang tinggi, sentiasa beri semangat supaya mereka tak putus asa.

*Selamat mengemas sambil bermain dengan anak. Semoga bermanfaat, terima kasih.

Perkongsian ini adalah hasil penulisan dari  Maryam Jamadi, Occupational Therapist / Terapis Cara Kerja, di laman Facebook miliknya. 

Sumber : Maryam Jamadi

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×