Asuh

Comel Memang Comel, Tapi Ini 5 Sebab Jangan Mengajuk Anak Bercakap Pelat

119
SHARES

“Mama, Yaya nak ‘akan asik’…”

“Ala syiannya… Nanti Mama amik ‘asik’ ya…”

Apabila anak kecil mula berkomunikasi, mereka mula memahami bahasa dan belajar mengucapkannya. Ketika inilah mereka akan bercakap pelat – contohnya ‘kasut’ disebut ‘atut’, ‘makan’ disebut ‘mamam’, dan sebagainya. Sebagai ibu bapa, memang lucu mendengar perkataan ini, dan kadang-kadang kita pun boleh terikut-ikut menyebutnya.

Walaubagaimanapun, janganlah kita membiasakan dengan tabiat mengajuk percakapan mereka. Sebaliknya, bercakaplah dengan bahasa yang lengkap seperti mana kita bercakap dengan orang dewasa, lebih-lebih lagi apabila si kecil dilihat sudah mula memahami lenggok percakapan kita.

Dalam kajian juga, pakar menemukan beberapa alasan mengapa seorang dewasa perlu bercakap dengan jelas dan bukannya dengan ‘bahasa anak kecil’ apabila berkomunikasi dengan mereka.

5 Sebab Jangan Biasakan Mengajuk Anak Bercakap Pelat

1. Keliru Dengan Sebutan Yang Betul

Apa yang kita cakapkan setiap hari tentunya akan menjadi antara perkataan pertama yang ditiru oleh anak-anak. Secara tidak langsung, otaknya juga sedang memproses maklumat tentang bagaimana sesebuah perkataan diucapkan dan digunakan dengan betul.

Menurut MyHealth, bermula sejak lahir hingga tiga tahun pertama adalah masa yang amat kritikal. Bahasa dan pertuturan kanak-kanak berkembang seiring kematangan dan tumbesaran otak mereka. Kanak-kanak juga banyak melihat dan mendengar apa di sekeliling mereka.

Maka, sekiranya kita asyik bercakap pelat dengan mereka, mereka akan terbiasa dengan sesebuah perkataan dan keliru untuk membetulkan sebutan tersebut.

biarkan anak bermain sendiri

Foto Kredit: pleaseandcarrots.com

2. Kurang Mempelajari Perkataan Baru

Apabila kita asyik bercakap pelat, kita akan cenderung menggunakan perkataan yang terlalu ringkas dan mudah. Tapi sebenarnya, potensi perkembangan otak anak kecil adalah lebih menakjubkan berbanding apa yang kita sangka.

Contohnya, kita akan dapat melihat bagaimana perkembangan bahasa akan berbeza antara anak yang sentiasa dibacakan buku cerita dengan anak yang tidak dibacakan buku cerita. Ini kerana biasanya dalam buku cerita, kita akan menggunakan perkataan formal dan menjumpai banyak perkataan baru yang mungkin kita tak biasa gunakan dalam aktiviti harian.

Jadi, rugilah kalau kita asyik menganggap mereka masih ‘bayi’ dan bertutur secara pelat, kerana secara tidak langsung kita telah merendahkan kemampuan otak si kecil.

ajar anak membaca

Foto Kredit: trendhunter.com

3. Hanya Kita Dapat Memahaminya

Bila kita biasakan mengajar anak dengan menyebut perkataan-perkataan pelat, orang luar tentu akan mengalami kesukaran untuk memahaminya. Hal ini boleh menjadi penghalang untuk si kecil berkomunikasi dengan orang lain dan menyampaikan kehendaknya.

Jika terbawa-bawa hingga ke prasekolah, ia juga mungkin akan menyukarkan guru-guru untuk memahami apa yang dituturkan olehnya.

cara atasi anak mengamuk

4. Menghakis Rasa Konfiden Pada Anak

Tak semestinya anak kecil rasa terhibur apabila kita mengajuk percakapan mereka. Bahkan, ia boleh menimbulkan rasa rendah diri – terutamanya jika mereka sukar menyebut sesuatu perkataan dengan baik walaupun telah mencubanya.

Sebaliknya, jika kita bercakap dengan mereka sama seperti kita bercakap dengan orang dewasa, anak-anak akan rasa lebih diterima dan selesa untuk berkomunikasi dengan sesiapa saja tanpa mengira usia.

Foto Kredit: babyclub.asda.com

5. Menjejaskan Kemahiran Komunikasi Dan Menyelesaikan Masalah

Dalam sebuah kajian oleh University of Western Sydney, pakar mendapati bahawa kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun menggunakan strategi yang sama untuk mengenalpasti fakta dan objek.

Oleh itu, dengan percakapan yang jelas, ringkas, dan lengkap, ia sudah tentu dapat membantu anak untuk mengasah lagi kemahiran bahasa mereka, di samping mengaitkannya dengan hal-hal berkaitan pengurusan emosi dan cara penyelesaian masalah.

Foto Kredit: valyaeva.ru

Adakah Pelat Akan Betul Dengan Sendirinya?

Pelat biasa terjadi kepada anak kecil yang sedang belajar bercakap dan mereka sepatutnya mahir menyebut bunyi tertentu apabila mencecah umur yang tertentu.

Berdasarkan Portal Kementerian Kesihatan Malaysia, antara panduan yang boleh disemak oleh ibu bapa ialah:

  • Ibu bapa sepatutnya memahami sekurang-kurangnya 50% percakapan anak-anak berumur 2 tahun
  • Ibu bapa sepatutnya  memahami kira-kira 90% percakapan anak-anak  berumur 3 tahun
  • Orang asing sepatutnya memahami kira-kira 50% percakapan kanak-kanak berumur 3 tahun
  • Orang asing sepatutnya memahami kira-kira 100% percakapan kanak-kanak berumur 4 tahun

Menurut sumber tersebut, pelat akan berhenti pada usia 5 tahun dan sebutan anak kecil ini akan mula menyerupai orang dewasa. Tetapi ada juga yang berterusan sehingga berumur 7 tahun. Selepas umur 7 tahun, kanak-kanak sepatutnya tidak lagi pelat.

Jika anda meragui perkembangan pertuturan anak anda, rujuklah kepada Pakar Terapi Pertuturan berkaitan untuk menilai keadaan anak.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×