“Baru beli tak sampai seminggu dah nak layu dah daun sup ni. Lengkuas dan serai pun dah makin kecut. Malasnya nak ulang-alik ke pasar. Ingat beli banyak-banyak, senanglah sikit. Macam mana cara simpan daun sup dan bahan-bahan dapur yang lain supaya tahan segar lebih lama ya?”
Inilah antara masalah yang paling selalu dihadapi. Sedangkan ada yang kita belum buka daripada bungkusan, tetap juga ia menjadi layu dan lembik dalam peti sejuk.
Di sini, Puan Suhana Mat Rasu ingin berkongsikan cara simpan daun sup, lengkuas, serai, cili api, dan lada merah dalam peti sejuk agar kekal segar – sampai berbulan-bulan lamanya!
Menarik, kan? Mari ikuti selanjutnya.
Ini Cara Simpan Daun Sup, Lengkuas, Serai & Cili Agar Tahan Lebih Lama
Ini tips yang simple saja dari saya, seorang surirumah. Walaupun mudah, cara penyimpanan ini amat berkesan untuk menyimpan bahan dapur bagi tempoh masa lama.
Kesemua bahan masakan ini adalah antara bahan wajib yang mesti ada di dapur – tapi biasanya kita guna sedikit saja setiap kali masak.
1. Daun sup
Pokok daun sup perlu disimpan di dalam botol plastik (bekas minuman 1.5L) dan diletakkan didalam peti ais.
Caranya, potong 2 botol minuman. Masukkan pokok daun sup dan tutup. Penting untuk memastikan air diletakkan sedikit sahaja setakat cecah pada HUJUNG AKAR sahaja. Air yang banyak akan menyebabkan bahagian batang pokok tenggelam dan batang daun sup jadi lembik dan busuk.
Pokok yang disimpan dengan kaedah ni dapat bertahan lebih dari sebulan. Tumbuhan kalau ada akar seperti daun kesum juga boleh disimpan dengan kaedah ini.
2. Lengkuas & Serai
Simpankan di dalam botol kaca dan di isi dengan air sehingga tenggelam keseluruhan lengkuas dan serai tersebut. Tutupkan botol dengan kedap. Air boleh ditukar 2 minggu sekali atau ikut keperluan.
Perlu disimpan dalam peti ais dan ia mampu bertahan berbulan lamanya!
Selain lengkuas dan serai, ramai juga yang menggunakan cara ini untuk menyimpan kunyit supaya kekal segar.
3. Cili Api & Lada Merah
Cili api dan lada merah perlu dibuang tangkai terlebih dahulu sebelum disimpan untuk mengelakkan tangkai menjadi lembik, sekaligus menyebabkan cili dan lada menjadi busuk.
Simpankan dalam bekas bertutup yang dialas dengan tisu dapur atau kertas surat khabar. Setiap kali menggunakan bahan ini, rajin-rajinkan diri untuk mengelap penutup bekas simpanan cili supaya wap-wap air hilang. Salin tisu dan kertas jika dah terlalu basah.
Simpan dalam peti sejuk InshaaAllah akan tahan lebih lama.
Senang, Segar & Jimat!
Wah, memang praktikal sangat cara simpan daun sup, serai, lengkuas, dan cili. Tak susah pun sebenarnya. Semua bahan yang diperlukan mesti ada di rumah. Bolehlah buat bila nak stokkan bahan-bahan memasak nanti.
Di samping memudahkan dan mengelakkan pembaziran, duit belanja dapur kita juga dapat dijimatkan.
Selamat mencuba!
*Sumber perkongsian asal adalah oleh Puan Suhana Mat Rasu melalui Group Facebook Masak Apa Hari Ini (MAHN). Ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.