Dapur

Cara Mudah Kilatkan Periuk & Perkakas Dapur Dengan Asam Keping

6.4K
reads

“Minggu depan ingat nak buat makan-makan. Mesti ramai kawan datang datang masak sekali. Seganlah aku kalau periuk kuali hitam legam macam ni. Macam mana cara mengilatkan periuk dan segala macam peralatan dapur ni?”

Kadang-kadang kita terlalu khusyuk memasak sampai habis hitam kuali dan periuk akibat jelaga atau kerak hangus. Di sini kami berbesar hati kerana Puan Kalaivani Vj sudi berkongsi tips beliau yang sangat mudah, efisyen dan jimat.

Menurut beliau, cara ini sesuai untuk perkakas dapur jenis keluli, perak, besi, tembaga dan sebagainya. Bagi kawan-kawan berbangsa India, boleh juga menggunakan cara ini untuk mengilatkan set pemujaan (pooja) masing-masing. Tentu anda akan berpuas hati dengan keputusannya.

Cara Mengilatkan Periuk & Perkakas Dapur Dengan Asam Keping

Berikut adalah cara mengilatkan periuk atau perkakas dapur menggunakan asam keping, langkah demi langkah.

1. Didihkan Asam Keping

Mula-mula, sediakan periuk yang besar dan boleh memuatkan perkakas yang boleh anda celupkan ke dalamnya nanti.

Kemudian, masukkan asam keping sekitar 6-7 keping dan panaskan hingga mendidih.

Menurut Puan Kalaivani, boleh juga menggunakan asam jawa sekiranya tiada asam keping. Tapi, kesannya tidak sehebat asam keping.

kilatkan-periuk-1

2. Ambil Perkakas Yang Ingin Dikilatkan

Inilah contoh perkakas yang ingin dikilatkan. Ambil perkakas tersebut dan celupkannya ke dalam periuk besar tadi.

kilatkan-periuk-2

3. Rendamkan

Rendamkan periuk atau bahan yang ingin dikilatkan tadi selama lebih kurang 2 minit. Kalau rajin, terbalikkan supaya semua permukaan dapat terendam dengan sempurna.

kilatkan-periuk-3

kilatkan-periuk-5

4. Sental

Setelah dikeluarkan dari air asam keping yang mendidih tadi, sentalkan menggunakan sabun. Puan Kalaivani mengesyorkan supaya ia disental dengan Sabun Cap Buruh atau Axion.

5. Bilas Seperti Biasa

Akhir sekali, bilaskan dan keringkan seperti biasa. Nampak hasilnya seperti dalam gambar ini, berkilat bukan?

Kalau nak lebih berkilat, Puan Kalaivani syorkan supaya dijemur di bawah matahari. Lebih ‘shining’ katanya.

kilatkan-periuk-6

Memang Berkesan!

Ramai yang telah mencuba petua dan cara mengilatkan perkakas dapur ini. Antaranya Cik Nor yang telah menggunakannya untuk mengilatkan periuk ini. Sangat ketara hasilnya. Dah macam baru beli!

cara mengilatkan periuk

Selamat mencuba!

 

*Perkongsian asal oleh Puan Kalaivani Vj melalui Group Facebook Masak Apa Hari Ini (MAHN) ini diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

Yang Popular

To Top