“Kenapa makin banyak kutu dan telur kutu kat rambut awak ni Arissa? Minggu lepas baru je mama buang, minggu ni makin banyak pulak. Kan mama dah pesan, basuh rambut tu selalu. Sudahlah rambut panjang, nak potong pendek degil. Kan dah banyak kutu melekat. Macamana nak hilangkan kutu rambut ni?”
Ish memang seksa bab cari kutu. Ingat lagi, masa sekolah dulu, memang sampai menangis sebab sakit rambut kena tarik dengan jari-jari emak. Tak campur lagi telinga ‘panas’ kena bebel sebab ‘ternak’ kutu. Rambut panjang pula tu, memang kebas punggung kena duduk lama kat lantai.
Masalah Kutu Rambut Tidak Mengenal Usia
Masalah rambut berkutu memang biasa dihadapi oleh kanak-kanak yang bersekolah lebih-lebih lagi jika kawan sekelas mempunyai masalah kutu, maka dengan mudah kutu terbang dan bertelur pada mangsa lain.
Memang dari dulu lagi, ibu-ibu akan mengguna sikat kutu yang boleh dibeli di kedai runcit. Mempunyai gigi yang rapat, kutu dan anak-anak kutu akan melekat pada sikat sekali gus memudahkan kerja-kerja mencari kutu.
Tapi, bukan kanak-kanak sahaja boleh dijangkiti kutu. Orang dewasa pun boleh menghadapi masalah kutu rambut, terutamanya apabila berkunjung ke salon yang tidak bersih atau dijangkiti daripada orang serumah.
7 Langkah Berkesan Hilangkan Kutu Rambut
Selain sikat kutu, ibu-ibu juga boleh gunakan cara di bawah iaitu:
1. Sapu minyak zaitun
Agen yang paling baik untuk membuang kutu.
Caranya: Lakukan pada malam hari sebelum tidur. Sapu minyak pada rambut dan bungkus kepala dengan ‘shower cap’ semalaman. Esoknya, sikat rambut untuk membuang kutu yang melekat.
2. Guna pengering rambut
Udara panas boleh membunuh telur-telur kutu.
Caranya: Setiap kali basuh rambut, guna pengering rambut untuk mematikan telur-telur kutu. Ini kerana berbanding telur dan kutu hidup, telur kutu lebih sukar dimatikan. Hanya dengan udara panas sahaja, telur ini dapat dimusnahkan.
3. Bersihkan bilik dan barang anak
Sentiasa gantikan cadar dan sarung bantal, terutamanya jika anak berkongsi bilik dengan adik-beradik. Seelok-eloknya, mereka yang dijangkiti kutu diasingkan sehingga anda berhasil hilangkan kutu secara menyeluruh.
Caranya: Basuh sarung katil, sarung bantal, cadar dan tualanya dengan air panas begitu juga sikat yang digunakan untuk mengelakkan daripada kutu berjangkit pada seisi rumah.
4. Elak kongsi barang peribadi
Seeloknya elak berkongsi sikat, tudung, helmet atau topi dengan ahli keluarga kerana jika ada yang masalah kutu, dengan mudah ia berjangkit pada ahli keluarga lain.
5. Elak kutu dengan essential oil
Minyak aromaterapi ini mampu mengelakkan kutu melekat pada barangan anda mahupun permukaan kulit kepala.
Caranya: Titiskan essential oil seperti tea tree oil pada barang peribadi anda seperti sikat untuk mengelakkan kutu melekat padanya. Boleh juga dititiskan pada rambut semasa menyikat kutu.
6. Bilas rambut dengan campuran air dan cuka putih
Cuka yang bersifat asid dapat menghalang kutu daripada terus hidup di dalam rambut. Namun, pastikan anda mencairkannya terlebih dahulu kerana baunya agak kuat dan masam.
Caranya: campurkan sedikit cuka putih ke dalam air dan bilas kepala.
7. Elak guna produk daripada bahan kimia
Ada sesetengah produk ini apabila disapu pada rambut dan terdedah pada bahan api, ia boleh menyebabkan rambut terbakar.
Oleh itu, cuba ramuan organik untuk hilangkan kutu dengan berkesan dan selamat. Apabila semuanya tidak berkesan, barulah beralih kepada bahan kimia. Pastikan anda tidak menggunakannya secara berlebihan, ya.
Lakukan langkah di atas dengan konsisten untuk hilangkan kutu rambut
Jangan lakukan sekali sahaja cara di atas. Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan dan berkesan, ia perlu dilakukan dengan kerap sehingga rambut anak bebas kutu.
Yang penting, jaga kebersihan dan pastikan anda selalu meninjau kesihatan rambut mereka, terutamanya jika anak-anak suka membela rambut panjang.
Hilangkan kutu rambut mengambil masa yang agak lama kerana kutu rambut juga cepat membiak. Jadi, kalau nampak anak anda mula menggaru, cepat-cepatlah periksa sebelum kutu bermaharajalela di atas kepala!