Asuh

Tak Payah Beli Yang ‘Instant’ Lagi. Ini Cara Buat Stok Serbuk Oat Untuk Bayi, Cuma Tambah Air

180
SHARES

“Bila anak dah boleh makan ni, rasa tak cukup masa je nak masak bubur semua. Tapi kalau bagi bijirin segera tu selalunya tinggi gula, ada pengawet lagi. Macam mana nak senangkan kerja ye?”

Sekarang dah macam-macam jenama bijirin segera untuk bayi yang dijual di pasaran. Tapi kalau boleh ibu-ibu mesti nak sediakan makanan homemade yang lebih berkhasiat untuk anak, kan?

Sebenarnya tak susah pun kalau kita buat sendiri serbuk oat segera ala Nestum yang hanya perlu dibancuh dengan air.

Menggunakan organic rolled oat yang lebih berkhasiat, kita boleh olahkan oat dengan bahan-bahan segar pilihan kita. Semestinya no salt and sugar!

Mudah dibekalkan pada pengasuh, nak standby untuk bawa travel pun senang tau.

Jom kita tengok cara yang dikongsikan oleh Puan Sheril Hazirah ini.

Cara Buat Stok Serbuk Oat ‘Instant’ Untuk Bayi

Berikut adalah senarai bahan yang diperlukan.

Bahan-bahan

  • Rolled oat
  • 1/2 sudu perahan lemon
  • 1 sudu tepung gandum
  • 1 cawan air masak

Ini jenis rolled oat yang saya guna. Elakkan guna instant oat di pasaran sebab ianya telah melalui tempoh pemprosesan yang panjang dan mungkin memiliki bahan-bahan sampingan yang tidak diketahui.

Cara-cara

1. Rendam

Mula-mula, rendamkan rolled oat bersama semua bahan di atas selama 12 jam dalam suhu bilik atau dalam peti sejuk.

2. Toskan

Selepas 12 jam, oat akan kembang. Buang air rendaman dan toskan untuk buang lebihan airnya.

Seeloknya tunggu selama 3 jam supaya air agak kering. Boleh jemur atau bubuh depan kipas, terpulanglah. Janji kering sikit supaya teksturnya tak melekat-lekat bila nak disangai nanti.

3. Sangai

Seterusnya, sangaikan / goreng tanpa minyak. Pastikan sentiasa dikacau supaya oat tak hangit.

Memang makan masa agak lama nak tunggu betul-betul kering. Jadi apa yang saya buat, saya sangaikan sampai oat dah tak melekit. Lepas blend nanti barulah saya akan sangai sekali lagi.

Disebabkan ia berketul-ketul, memang susah nak tunggu betul-betul kering. Jadi, agak-agak tak melekat di senduk tu kira OKlah. Boleh tutup api dan biarkan sejuk sekejap.

4. Kisar

Kemudian kisarkan oat sampai halus guna blender.

5. Sangaikan Sekali Lagi

Sekarang dah halus baru senang nak sangaikan. Saya sangaikan semula oat tadi supaya betul-betul kering dan ringan.

5. Simpan

Beginilah hasilnya. Dah siap boleh simpan dalam bekas kedap udara.

Lebih kurang banyak ni bolehlah tahan dalam 2 minggu.

6. Cuma Tambah Air Bila Nak Makan

Nanti bila nak makan, ambil 1-2 sudu saja dan tambahkan dengan air panas. Nanti oat akan kembang dan jadi banyak.

Bolehlah campurkan oat dengan kismis, susu formula / EBM, sayuran dan buah segar atau apa-apa bahan lain. Saya selalunya tambahkan sedikit extra virgin olive oil sekali.

Mudah & Sihat!

Tak payah beli yang segera, senang dan lebih sihat kalau buat serbuk oat sendiri untuk bayi kan?

Kita pun seronok tengok anak makan makanan homemade yang dibuat dengan penuh kasih sayang. Tak risau ada bahan-bahan pengawet, perasa atau gula dan garam yang tersembunyi.

Semoga bermanfaat!

 

* Cara buat serbuk oat ‘instant’ untuk bayi ini dikongsikan oleh Puan Sheril Hazirah. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×