Dapur

Cara Buat Aiskrim Homemade Guna Bahan Berkhasiat. Kurang Manis, Sedap Berkrim

1K
SHARES

“Aduh, panas-panas macam ni bukan anak-anak je teringin nak makan aiskrim, mak ayah dia pun syok tumpang sekaki. Tapi kalau selalu sangat tak eloklah kan sebab aiskrim kat kedai tu semua manis-manis!”

Bila dah namanya budak, tak sahlah kalau tak suka makan aiskrim. Setiap kali kita keluar, kalau boleh nak minta aiskrim. Susah juga nak kawal, nak-nak pula kalau kedai sebelah rumah aja.

Apa kata kita buat aiskrim sendiri di rumah. Guna bahan-bahan yang sihat, kuantiti gula boleh dikawal, kebersihan pun lebih terjamin. Tak adalah risau sangat kalau anak asyik merengek nak minta aiskrim.

Sebenarnya mudah saja cara nak buat aiskrim homemade yang sihat. Dalam perkongsian kali ini, kami berbesar hati kerana saudari Miera Irayz Nordin sudi menyumbangkan resepinya yang cukup istimewa buat para pembaca kami.

Mari kita ikuti perkongsian resepi aiskrim homemade sihat ini selengkapnya di bawah.

Resepi Aiskrim Homemade Yang Sihat & Sangat Sedap

Bahan-bahan

  • 1 cawan 1/2 susu segar
  • 1 cawan susu cair
  • Segenggam badam
  • Segengam kismis
  • Sedikit susu pekat (saya tak letak sebab tak nak manis)
  • Coklat / Perisa lain ikut suka (Saya letak coklat coin, jadinya dah ada rasa manis dari coklat. Nak ganti dengan serbuk coklat pon boleh.)
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 1 sudu besar ovalette

Ini bahan-bahannya. Cuma susu cair terlupa nak masukkan dalam gambar. Serbuk yang sebelah kiri tu badam dah siap dikisar. Kismis pun siap direndam dan ditapis. Yang oren tu ovalette. Beli di kedai baking atau pasaraya.

Cara-cara

1. Rendam Kismis

Kismis direndam dahulu selama sejam. Ketepikan. Dah lembut, sedia digunakan.

2. Sangai & Kisar Badam

Sementara itu, sangaikan badam sehingga agak masak dan keperangan. Kalau nak senang, boleh juga beli yang siap sedia dimakan dan terus kisarkan.

3. Satukan & Kisar Semua Bahan

Satukan semua bahan tadi termasuk kismis yang sudah ditapis air rendaman tadi. Blend sekejap.

Bila kismis dah hancur, saya alihkan bancuhan dalam blender ke dalam pemutar kek. Putar sehingga gebu dalam 15-20 minit.

Kalau tak ada pemutar kek, janganlah sedih pula. Boleh je kalau nak gunakan blender saja, Kisarkan selama beberapa minit lagi. Cuma mungkin hasilnya kurang gebu sedikit.

Kalau tak ada kismis, nak gantikan kismis dengan pisang pon best tau.

Untuk lagi gebu, pukul sebiji telur bersama ovalette sehingga gebu dahulu. Kemudian baru dimasukkan susu dan bahan-bahan lain. Jangan risau, tak ada rasa atau bau hanyir.

4. Sejukkan

Akhir sekali, bolehlah dimasukkan ke dalam bekas dan sejukkan di bahagian freezer.

Kismis dan badam pun boleh dimasukkan ke dalam aiskrim secara kasar bagi siapa yang lebih suka aiskrim yang bertekstur. Tapi disebabkan anak saya kecil lagi, sebab itulah saya blend semuanya sampai hancur.

Beginilah Hasilnya

Kita yang dewasa pon berebut aiskrim ni. Lemak manis dan rasa lebih natural. Memang segar dan sejuk tekak!

Jadi, lepas ni tak payahlah beli aiskrim selalu. Buat sendiri lebih sedap dan sihat tau. Anak-anak mesti suka. Lagipun, cara membuatnya sangat mudah dan berbaloi.

Selamat mencuba!

 

*Resepi aiskrim homemade sihat ini disumbangkan oleh saudari Miera Irayz Nordin menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh rujuk post asal beliau di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×