Dapur

Takut Bibir Berminyak Makan Sup Daging Korban. Ini 4 Tips Mudah Buang Lemaknya

439
SHARES

“Aduh, makin lama makin banyak pula lemak-lemak yang timbul dekat sup daging ni. Sampai melekat-lekat dekat mangkuk, nak makan pun rasa tak lalu dah. Walaupun kita panaskan, macam terbayang-bayang pulak berapa banyak kolesterol dan lemak dalam badan ni. Huhu. Macam mana nak buang lemak-lemak ni semua ya?”

Bila tiba musim Hari Raya Korban begini, memang ramailah yang akan memasak daging korban yang diperolehi hasil daripada bahagian korban yang dilakukan sendiri mahupun sedekah daripada jiran tetangga.

Bagi yang pertama kali memasak daging korban, mungkin belum biasa dengan masalah ‘bibir berminyak’ bila daging dan tulang direbus untuk dibuat sup. Rasa terkejut dengan begitu banyak lemak yang terhasil hingga rasa ‘takut’ nak memakannya pula.

Jangan risau, berikut adalah beberapa tips untuk membuang lemak-lemak daripada rebusan daging dengan mudah dan berkesan.

4 Tips Kurangkan Lemak Berminyak Pada Sup & Rebusan Daging

1. Buang Air Rebusan Pertama

Kalau nak dapatkan sup yang ‘bersih’ dan kurang berminyak, salah satu petuanya adalah dengan membuang air rebusan daging yang pertama. Ini kerana, dalam rebusan pertama inilah paling banyak lemaknya terhasil.

Bila dah buang, rebus semula macam biasa dan tambahkan bahan-bahan lain seperti kentang, daun sup serta perasa. Ada yang kata ‘sayang’ nak buang sebab lemak ini yang buat sup rasa sedap, tapi itu pendapat masing-masing. Apapun, kalau nak ikutkan, hasil rebusan kedua pun tak kurang sedapnya juga.

2. Sejukkan Rebusan Dalam Peti Ais

Cara kedua yang boleh anda buat adalah dengan menyejukkan air rebusan daging tadi di dalam peti ais. Setelah beberapa jam, air rebusan daging akan membentuk saya lapisan lemak yang membeku. Bila dah beku, mudah untuk kita buang lemak-lemaknya.

Air rebusan yang di bahagian bawahnya bolehlah dimasak dan ditambah bahan lain untuk dibuat sup atau masakan lain. Barulah berkurang minyak dan lemaknya.

Foto Kredit: recipesbnb.com

3. Kaup Buih / Minyak Masa Memasak

Selain itu, anda mungkin akan dapat perhatikan buih-buih kehitaman / keperangan ketika sup sedang menggelegak. Tapi kalau yang guna pressure cooker mungkin tak nampak.

Bagi yang guna periuk biasa, bolehlah kaupkan buih-buih ini supaya lemak-lemaknya akan berkurang. Minyak atau lemak yang timbul masa panas ini juga boleh disingkirkan sekali.

Foto Kredit: pinsdaddy.com

4. Guna Senduk / Mangkuk Berisi Ais

Akhir sekali, anda boleh gunakan cara mengisi senduk atau mangkuk lain dengan ais. Lalukan senduk atau periuk ini di atas permukaan sup yang telah dimasak. Kemudian, anda akan mendapati lemak-lemak akan terlekat pada bahagian bawah senduk atau mangkuk yang sejuk.

Bagi siapa yang guna mangkuk, boleh juga balutkan terus mangkuk tadi dengan plastic wrap. jadi, tak payah susah-susah nak basuh sebab boleh tanggalkan dan terus buang. Bukan mudah nak cuci lemak ‘degil’ tu nanti tau!

Foto Kredit: Nileya Nazri

Selamat Mencuba!

Lepas ini tak payah fobia lagi nak memasak atau makan sup daging korban. Guna saja salah satu cara di atas ini untuk buang lemak-lemak yang akan timbul bila sup menyejuk nanti. Dapatlah anda menikmati sup yang lebih ‘bersih’, tapi tetap enak dan kurang berminyak.

Mudah saja, kan?

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×