Pantang

5 Cara Berpantang Keguguran Yang Selalu Dipandang Ringan

2.1K
SHARES
cara berpantang selepas keguguran

“Ingatkan kali ini dapatlah aku merasa nak timang bayi. Tapi, belum ada rezeki keguguran 2 bulan. Buat masa ni, aku kena fokus amalkan cara berpantang keguguran untuk sihatkan tubuh.”

Sebenarnya tak ramai yang menyedari betapa perlunya penjagaan diri selepas mengalami keguguran. Malah, orang-orang tua berpendapat bahawa ianya sama penting atau lebih serius berbanding cara berpantang selepas melahirkan bayi.

Ini kerana, keguguran boleh menyebabkan masalah ‘angin’ yang berpunca daripada keracunan darah. Keracunan ini menjadikan wanita cenderung terdedah kepada pelbagai penyakit. Ibu juga akan mengalami bisa seperti sakit yang tajam di bahagian ari-ari, pinggang dan sendi selepas keguguran.

tanda habis haid darah

Foto Kredit: lexicolatry.com

5 Cara Berpantang Keguguran Yang Selalu Dipandang Ringan

Berikut adalah 5 cara berpantang keguguran yang patut diamalkan untuk memastikan tubuh wanita kembali sihat.

1. Tempoh Berpantang

Jika diikutkan nasihat bidan-bidan dan petua orang lama, lebih lama berpantang tentulah lebih elok. Maka, mereka mengesyorkan cara berpantang keguguran adalah seperti orang bersalin, iaitu 44 hari. Walaubagaimanapun, dalam keadaan wanita bekerja zaman ini, ianya hampir mustahil untuk berpantang seperti mana orang bersalin berpantang.

Maka, sekurang-kurangnya seseorang wanita disyorkan berpantang selama 2 minggu selepas disahkan keguguran, sama seperti tempoh cuti MC yang dikeluarkan oleh pihak hospital.

Persediaan bersalin

Foto Kredit: oshesakura

2. Pemakanan

Dari segi perubatan, doktor biasanya tidak mengehadkan pengambilan sebarang jenis makanan. Yang penting, ibu mengambil makanan yang seimbang, berkhasiat, dan elakkan makanan yang berminyak, berlemak, makanan rapu, dan makanan yang terlalu manis. Seeloknya, banyakkan minum air suam dan makan makanan berkhasiat seperti sup panas, susu panas, oat, buah kurma, kismis, sayur sawi dan ikan selar.

Bagi yang rajin mengikut pantang larang, cara berpantang keguguran dalam hal makanan sama juga seperti pantang larang ibu-ibu bersalin. Segala jenis ikan berbisa seperti terubuk, bawal hitam, cencaru, tamban, sardin, pari dan makanan laut seperti sotong, udang, kerang, belacan, budu, cencaluk dan ikan masin perlu dielakkan.

cara berpantang keguguran

3. Aktiviti Harian

Anda boleh kembali bekerja selepas tempoh 2 minggu melainkan anda berasa terlalu lemah atau letih. Sekiranya anda mengalami demam yang teruk, pendarahan yang terlalu banyak dan berpanjangan, atau lelehan berbau pada faraj semasa atau selepas tempoh tersebut, segeralah dapatkan nasihat doktor.

Selain itu, hadkan pergerakan daripada terlalu aktif dan elakkan mengangkat benda-benda berat, terutamanya dalam tempoh sebulan selepas keguguran.

Pastikan anda memakai stokin dan baju lengan panjang pada kebanyakan masa.

ibu letih

4. Penjagaan Rahim

Penjagaan rahim yang rapi selepas keguguran perlu di ambil kira. Selalunya, jika keguguran berlaku pada awal kehamilan, janin yang baru terbentuk akan terkeluar seluruhnya dari badan secara semulajadi. Namun, jika usia kehamilan melebihi 10 minggu, keguguran cenderung menjadi tidak lengkap dan bahagian rahim perlu dibersihkan melalui proses D&C (Dilation & Curettage).

Sekiranya bahagian rahim tidak dibersihkan dengan sempurna, toksin boleh meresap ke sistem tubuh lalu menyebabkan demam panas atau jangkitan di bahagian peranakan.

Di samping itu, anda boleh juga berurut, bertungku, mandi herba, dan sebagainya. Rutin ini dapat membantu untuk melancarkan peredaran darah, melegakan kesakitan, serta memberi keselesaan serta mengembalikan kesegaran tubuh.

5. Mencuba Hamil Semula

Anda tidak digalakkan melakukan hubungan intim dalam tempoh 14 hari semasa berlakunya pendarahan atau selepas disahkan keguguran. Mengikut hukum Islam, wanita tidak boleh disetubuhi selagi mereka mengalami pendarahan. Apa pun, mustahak bagi suami memahami emosi wanita yang mungkin masih mengalami kemurungan akibat keguguran tersebut.

Petua orang-orang tua pula mengatakan pantang dengan suami ini perlu hingga 30 hari, namun itu terpulanglah pada keadaan fizikal anda pada ketika itu.

Sekiranya anda pernah mengalami beberapa kali keguguran sebelum ini, pastikan anda mendapatkan pandangan doktor tentang waktu yang sesuai untuk hamil semula.

Foto Kredit: jugglingmom.com

Foto Kredit: jugglingmom.com

Teruskan Check-Up Dengan Doktor

Selepas seseorang wanita disahkan keguguran, biasanya mereka akan diberi tarikh temujanji oleh doktor untuk menjalani pemeriksaan selanjutnya. Patuhi temujanji ini agar kesihatan anda dapat memantau tahap kesihatan sebaiknya.

Sementara itu, pastikan anda berehat secukupnya dan jangan terlalu stres memikirkan kehilangan bayi yang dinanti-nanti. Luahkan perasaan anda kepada suami, ibu, atau rakan terdekat. Banyakkan berdoa agar diberi kekuatan untuk bangkit semula. Sentiasalah positif dan jangan berputus asa. Mudah-mudahan, ada rezeki yang menanti tak lama lagi.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×