“Dah lebih 10 hari ‘period’ ni tapi masih ‘heavy flow’ macam hari pertama dan kedua. Dua bulan lepas pun macam ni juga tapi ingat sebab stres kerja dan hormon tak teratur. Perut pun sakit sangat sampai tulang belakang rasa berdenyut-denyut. Bulan ni pun sama, baru saja balik bercuti. Jadi, tak mungkinlah sebab stres. Entah-entah ada ketumbuhan fibroid?”
Fibroid atau leiomyomata adalah ketumbuhan abnormal yang membesar dalam rahim. Kira-kira 70 hingga 80 peratus wanita berpotensi mendapat fibroid dengan 30 peratusnya wanita di bawah umur 35 tahun.
Apakah Tanda-tanda Ketumbuhan Fibroid?
Aliran haid yang banyak untuk tempoh yang lama dan sakit belakang adalah salah satu simptom anda mungkin mengalami ketumbuhan fibroid. Simptom-simptom lain adalah kerap membuang air, sembelit, sakit di pelvis dan bengkak di bahagian abdomen.
Saiz fibroid tidak sama antara satu sama lain, ada yang sekecil biji buah betik dan ada juga yang sebesar buah tembikai. Ada yang merasa sakit akibat fibroid dan ada juga yang tidak tahu dirinya mempunyai fibroid kerana tiada simptom mahupun rasa sakit.
Adakah Ketumbuhan Fibroid Akan Menyebabkan Kanser?
Kebiasaannya fibroid adalah ketumbuhan yang tiada kaitan dengan kanser. Tiada sebarang penjelasan yang tepat bagaimana ketumbuhan fibroid boleh terjadi.
Walau apa pun, ia berkait rapat dengan hormon, sejarah latar belakang keluarga, kehamilan dan banyak lagi.
7 Perkara Yang Boleh Dilakukan Untuk Elak Ketumbuhan Fibroid?
1. Kerap bersenam
Satu kajian telah dilakukan dan didapati wanita yang kerap bersenam tidak mudah terkena fibroid. Semakin kerap melakukan aktiviti fizikal iaitu tujuh jam dan lebih dalam seminggu, lagi sukar peluang untuk terkena fibroid dalam jangka masa yang panjang.
2. ‘Maintain’ berat badan
Kajian juga mendapati wanita yang mempunyai masalah berat badan seperti overweight dan obese berpotensi mendapat fibroid berikutan paras hormon estrogen juga tinggi.
Hormon estrogen dan progesteron yang tinggi antara penyebab fibroid.
3. Banyakkan pengambilan teh hijau
Teh hijau dapat mengelakkan daripada terkena fibroid kerana ia bersifat antioksidan.
Ia boleh diambil melalui minuman ataupun ekstrak teh hijau.
4. Kurangkan makan daging merah
Daging merah menggalakkan pertumbuhan fibroid. Oleh itu, kurangkan pengambilannya dalam diet seharian.
5. Makan banyak sayur-sayuran
Sayur-sayuran dapat mengurangkan risiko ketumbuhan fibroid kerana ia kaya dengan vitamin, mineral, fiber dan antioksidan.
Selain itu, ia juga baik untuk kesihatan secara keseluruhannya.
6. Makan makanan tinggi vitamin D
Vitamin D berupaya mengecilkan saiz fibroid dan mengelakkan daripada terkena fibroid.
Banyakkan makan ikan salmon, tuna dan ikan kembung untuk mendapatkan sumber vitamin D yang banyak.
7. Tingkatkan pengambilan produk tenusu
Banyakkan ambil susu, keju dan produk tenusu untuk mengelakkan risiko terkena fibroid.
Fibroid Berisiko Terhadap Semua Wanita
Semakin besar peluang untuk terkena fibroid, lagi-lagi wanita yang belum pernah hamil dan sudah menopause.
Jika ada ahli keluarga yang pernah terkena fibroid, maka peluang untuk anda menghidapnya juga besar.
Jadi anda perlu ubah apa yang anda makan sekarang demi mengelakkan dari mengalami ketumbuhan fibroid.