“Mama, macamana adik boleh ada dalam perut Mama? Kenapa lelaki ‘punya’ tak sama dengan perempuan ‘punya’? Bayi datang dari mana?”
Pening juga nak memikirkan jawapan yang sesuai untuk anak kecil ini. Mana tidaknya, kita tak mahu dia fikirkan yang bukan-bukan, tapi kita juga tak mahu menyembunyikan proses biologikal yang berlaku agar mereka dapat memahaminya.
Pada masa yang sama, soalan ini juga menunjukkan tingkat kematangan usianya dan sifat ingin tahu yang semulajadi.
Jadi, sebagai ibu bapa, bagaimanakah cara terbaik memperkenalkan pendidikan seksual anak yang belum matang?
5 Cara Paling Sesuai Untuk Jawab Soalan “Mama, Bayi Datang Dari Mana?”
Berikut adalah cara yang boleh dipraktikkan untuk menjawab soalan “Bayi datang dari mana?” atau soalan-soalan lain yang sewaktu dengannya.
1. Sesuaikan Kefahaman Mereka
Sejak usia awal kanak-kanak atau digelar ‘toddler’ kebanyakan daripada mereka sudah bijak melontarkan pertanyaan ringkas tentang dari mana datangnya bayi, lebih-lebih lagi jika anda sedang mengandungkan adiknya.
Namun, seiring dengan kefahaman mereka, anda biasanya boleh menjawab: “Bayi datangnya daripada perut Mama.”
Lihat reaksi mereka dan biasanya mereka akan cukup berpuas hati dengan jawapan tersebut. Namun, jika mereka bertanya lagi, anda boleh memberitahu mereka bahawa ia berasal daripada sebiji benih, sama seperti pertumbuhan pokok.

Foto Kredit: bendraukime.lrytas.lt
2. Beritahu Perkara Sebenar
Pada usia prasekolah contohnya, anak-anak mahu mengetahui lebih daripada sekadar “bayi berasal dari perut Mama”. Hal ini adalah normal dan kita tidak patut memarahi mereka apabila mereka mahu bertanya tentangnya.
Justeru itu, persoalan mereka patut dijawab dengan jujur. Dengan bersikap terbuka dengan mereka, anak-anak tidak akan berasa bersalah kerana bertanya perkara yang tidak sepatutnya. Ini boleh menimbulkan perasaan bingung apabila mereka cuba mencari jawapan sendiri, melalui sumber yang salah.

Foto Kredit: mumcentral.com.au
3. Gunakan Bahasa Yang Ringkas
Apabila anak sudah mula memahami lebih lagi, mereka mungkin akan mahukan jawapan yang lebih terperinci.
Maka, jawapan sebaiknya adalah lebih kurang begini: “Bayi berasal dari benih Papa dan Mama di dalam perut. Ia membesar menjadi bayi. Ada tempat istimewa dalam perut Mama yang dipanggil rahim.”
Setiap kali menjawab, fikirkan dahulu ayat anda sebelum menjawabnya dengan melulu. Kemudian, perhatikan kefahaman mereka sebelum menambah informasi. Jika mereka nampak berpuas hati, cukuplah setakat itu dahulu.

Foto Kredit: whattoexpect.com
4. Gunakan Bantuan Buku Bergambar
Untuk memudahkan pemahaman mereka, anda sudah boleh menjelaskannya dengan bantuan buku-buku sains kanak-kanak yang mempunyai gambarajah tentang organ manusia.
Pada usia prasekolah, anak-anak sudah mula menyedari seksualiti diri dan kadang-kadang bertanya mengapa alat sulit lelaki berbeza dengan wanita.
Seeloknya, pada usia ini anda sudah memberitahu nama anggota badan yang ‘sebenar’ seperti zakar, vagina, dubur, payudara, dan sebagainya. Ini penting supaya mereka berasa bertanggungjawab terhadap anggota badan masing-masing, dan tidak keliru dengan tubuh badan sendiri.
Melalui cara ini, anda juga dapat menerangkan jenis sentuhan yang patut mereka hindari.

Sebahagian bahan bacaan kanak-kanak terbitan Usborne dan DK Publishing
5. Jangan Tunjukkan Rasa Janggal
Jerome Kagan, profesor psikologi di Universiti Harvard menjelaskan bahawa intonasi dan nada anda bercakap sebenarnya memberi impak yang lebih besar berbanding jawapan anda.
Maka, jangan buat reaksi terkejut, marah, kelakar, atau pelik. Sebaliknya, terangkan dengan nada tenang, serius, dan jangan pamerkan ketidakselesaan ketika diskusi ini sedang berjalan.
Jika anda cemas dan terburu-buru menjawabnya, anda mungkin akan bercakap terlalu banyak sehingga mengelirukan si anak dan memberitahu informasi yang tidak sepatutnya.

Foto Kredit: haikudeck.com
Pentingnya Memperkenalkan Seksualiti Anak
Dalam masyarakat kita, pendidikan seks masih lagi dianggap ‘taboo’ atau tidak wajar diperkenalkan kepada anak kecil.
Namun, kita patut sedar betapa bahayanya jika mereka tidak diberi kesedaran tentang seksualiti masing-masing.
Biarpun ada yang menganggapnya memalukan, informasi ini penting untuk anak anda menghadapi realiti kehidupan seksual yang bakal ditempuhinya apabila meningkat usia.
Jika anda cemas atau memarahinya, mereka akan mula berasa ragu dengan jawapan anda dan timbullah keinginan untuk mendapatkan jawapan daripada sumber lain – yang tidak semestinya boleh dipercayai.
Jadi, “Bayi datang dari mana?”