Mohamad Ayyash Mateen memerlukan bantuan penyakit kronik dari orang ramai apabila dia dilahirkan dengan menghidap enam jenis penyakit.
Bayi berusia 7 bulan itu disahkan menghidap penyakit buah pinggang bercantum, buah pinggang bengkak, jantung berlubang, paru-paru kronik, darah beku pada otak dan sindrom ‘cri du chat’ (berkaitan genetik)
Baca juga: Cikgu Luah Rasa Kecewa & Nak Berhenti Kerja, Stres Dapat Anak Murid Perangai Biadab!
BANTUAN PENYAKIT KRONIK UNTUK AYYASH MATEEN
“Saya hanya mampu berdoa supaya anak sihat seperti bayi lain kerana dia dilahirkan dengan menghidap enam penyakit kronik sehingga hospital menjadi rumah kedua buatnya,” kata ayah kepada Ayyash, Mohamad Hafiz Azizan, 33.
Jelasnya, anak lelakinya itu disahkan menghidap penyakit kronik tersebut selepas beberapa hari dilahirkan dan sejak itu dia terpaksa ditahan di wad.
“Dia perlu memakai alat bantuan pernafasan Continuous Positive Airway Pressure (CPAP) dan kami perlu menyewanya dengan harga RM400 sebulan.
“Dia hanya boleh membuka mesin CPAP itu dua jam pada waktu pagi dan dua jam pada waktu malam selain minum susu menggunakan tiub,” katanya.
Si ayah yang bekerja sebagai pekerja kedai pemborong itu berkata, dia terpaksa mengambil cuti untuk menjaga anaknya sekiranya dirawat di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Dia akan menerima gaji harian RM60 dan sangat bersyukur kerana mempunyai majikan yang memahami keadaanya di mana terpaksa menjaga anak di hospital.
Doktor memaklumkan bahawa anaknya perlu menjalani pembedahan segera pada bulan ini, tetapi mempunyai risiko tinggi menyebabkan saya dan isteri, Siti Nor Aidah Saidon, 25, bimbang dengan keadaannya.
“Kami mempunyai seorang lagi anak, Mohamad Adam Faiq, 3, dan perlu bergilir menjaga Ayyash Mateen di hospital manakala isteri menjaga anak sulung di rumah.
“Rumah ini juga kami sewa pada harga RM350 sebulan dan kadangkala tidak dapat melunaskan bayaran kerana masalah kewangan, tetapi bernasib baik tuan rumah memahami,” luahnya.
Dia juga kadang kala terpaksa menebalkan muka meminjam wang daripada rakan dan jiran terdekat untuk membeli susu formula khas berharga RM54.
Dia memberitahu bahawa dalam seminggu anaknya memerlukan tiga tin untuk minum dan menyebabkan dia tidak mampu membelinya.
“Getah saluran mesin CPAP juga sudah putus dan kami terpaksa mengikat tali untuk sementara waktu kerana hanya bergaji hari sedangkan memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000.
“Selain itu, saya juga terpaksa berulang-alik ke HSB untuk membawa anak menjalani rawatan dan mengambil ubat setiap minggu dengan kos perbelanjaan kira-kira RM200 termasuk minyak, makan minum dan rawatan,” katanya.
Wang bantuan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) sebanyak RM300 sebulan digunakan untuk menyara keluarga selain membeli susu dan lampin pakai buang.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan National (BSN) 0210841100045554 milik Siti Nor Aidah Saidon.
Baca juga: Cara Pengurusan Jenazah Islam Dari A-Z, Ilmu Paling Bermanfaat Untuk Belajar
Sumber: Harian Metro