Rakyat

Jangan Ambil Ringan Jangkitan Rotavirus. 7 Perkara Ibu Bapa Kena ‘Alert’!

3.9K
SHARES

Seperti yang kita selalu dengar dalam berita kebelakangan ini, kes-kes Rotavirus ini selalu dikaitkan dengan tempat mandi-manda seperti kolam air panas, taman tema air, dan juga taman rekreasi yang mempunyai air pancut.

Antara tempat yang pernah disiasat kerana tersebarnya wabak ini adalah Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong (Kedah), Bukit Merah (Perak) dan yang terkini, Dataran 1Malaysia yang terletak di Klebang (Melaka). Namun, penting untuk kita tahu bahawa sebenarnya ia boleh tersebar di mana-mana kawasan awam termasuklah pusat jagaan atau taska.

Sebagai ibu bapa, tahukah anda apakah bahaya penyakit Rotavirus ini pada bayi dan anak-anak? Adakah ia boleh berjangkit kepada orang dewasa juga? Berikut adalah 7 perkara penting untuk diketahui.

rotavirus pada bayi

7 Perkara Ibu Bapa Perlu Tahu Tentang Jangkitan Rotavirus

Berikut dirumuskan 7 perkara yang ibu bapa perlu maklum tentang jangkitan ini. Rotavirus pada bayi khususnya amat merbahaya jika lambat dikesan dan diambil tindakan.

1. Punca Rotavirus

Rotavirus adalah sejenis virus yang boleh menyebabkan jangkitan gastrousus. Penyakit ini biasanya dikaitkan dengan persekitaran dan pengendalian makanan serta minuman yang tidak bersih.

Pakar Perunding Kanan Perubatan dan Ketua Unit Gastroenterologi, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Datuk Dr, Ahmad Shukri Md Salleh, melalui sebuah akhbar tempatan, menjelaskan bahawa jangkitan ini boleh disebarkan melalui najis, makanan, dan minuman. Apabila pengendalian kebersihan kurang sempurna, virus ini boleh melekat pada barangan yang disentuh seperti perabot dan alat permainan.

Menurut beliau lagi, jangkitan Rotavirus pada bayi berusia 6-24 bulan paling mudah terjadi kerana sifat semulajadi si kecil yang suka memasukkan barang ke dalam mulut.

2. Gejala/ Simptom Rotavirus

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, gejala utama Rotavirus yang dialami oleh pesakit adalah cirit-birit dan muntah teruk yang boleh menyebabkan dehidrasi (kurang air dalam badan).

Simptom ini mulai timbul dalam tempoh kurang daripada 48 jam sejak berlakunya jangkitan. Selain cirit-birit dan muntah, tanda demam juga turut dialami oleh 1/3 daripada kanak-kanak yang telah dijangkiti oleh virus ini. Dalam hal ini, ibu bapa perlu lebih ‘alert’ kerana agak mudah terkeliru antara simptom Rotavirus dengan demam atau cirit-birit biasa.

Foto Kredit: newswalle.com

Foto Kredit: newswalle.com

3. Kesan Rotavirus Pada Bayi Dan Dewasa

Bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, Rotavirus boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan segera. Ini adalah berikutan kesan kekurangan bendalir dalam badan akibat muntah-muntah dan cirit-birit yang menjadikan mereka lesu, kurang bermaya, dan tidak berselera.

Antara tanda kekurangan bendalir yang teruk adalah kurang bilangan lampin basah (kurang kencing), bibir dan mulut yang kering,tiada air mata ketika menangis, kulit terasa sejuk, serta mata dan pipi yang cengkung.

Gejala Rotavirus juga boleh menjangkiti orang dewasa. Namun kebiasaannya simptomnya kurang jelas dan mungkin lebih ringan atau tidak begitu serius.

Foto Kredit: dehabebekler.com

Foto Kredit: dehabebekler.com

4. Rawatan Rotavirus

Bagi anak yang berusia bawah 2 tahun dan masih menyusu badan, amat penting untuk ibu meneruskan penyusuan badan secara direct kerana bayi akan berasa lebih tenang dalam dakapan ibu. Rotavirus pada bayi adalah lebih membimbangkan. Maka, pastikan anak mendapat air yang secukupnya dan cuba beri mereka minum air dengan kerap jika bayi sukar menelan sebarang makanan.

Rawatan klinikal akan diberikan mengikut kesesuaian umur dan tahap keseriusan. Ia bertujuan untuk mengembalikan air dan garam mineral badan melalui oral rehydration therapy (ORS). Sekiranya perlu, pesakit perlu ditahan ke dalam wad untuk pemantauan yang lebih teliti.

Apa pun, jangkitan Rotavirus ini boleh ditangani dengan lebih cepat bagi kanak-kanak yang mempunyai sistem imunisasi badan yang baik.

bayi minum air kosong

Foto Kredit: breastfeedingbasics.com

5. Berapa Lamakah Simptom Ini Akan Berlarutan?

Seperti yang dilaporkan oleh Puan Norvena Hisyam, seorang Pegawai Farmasi di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, menerusi Malaysian Medical Gazette, simptom-simptom ini boleh berlarutan dari 3 hari hingga ke 8 hari.

Jika anak anda mula mengalami simptom-simptom di atas, catatkan kekerapannya dan bertindaklah membawa anak ke hospital dengan segera.

Foto kredit: mamaia.com

Foto kredit: mamaia.com

6. Vaksin Rotavirus

Pada tahun 2006, vaksin untuk Rotavirus telah dihasilkan. Vaksin ini meringankan sindrom-sindrom yang akan menimpa kanak-kanak akibat jangkitan Rotavirus dan mampu mengurangkan kadar masuk ke wad hingga 96%.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pengambilan vaksin Rotateq (untuk Rotavirus) ini sebagai satu strategi pencegahan terhadap jangkitan Rotavirus. Namun, ia tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia.

Buat masa ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 menfatwakan bahawa Vaksin Rotateq adalah tidak halal, kecuali jika anda berada dalam kawasan wabak.

Untuk mendapatkan kepastian tentang jangkitan tersebut dan keperluannya di kawasan anda, sekali lagi ibu bapa perlu ‘alert’ dan boleh merujuk kepada Pegawai Kesihatan atau Klinik Kesihatan terdekat.

vaksin bayi dan imunisasi

Foto Kredit: medpharm.co.uk

7. Cara Mencegah Rotavirus

Menurut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia, elakkan membawa anak-anak yang mempunyai gejala muntah dan cirit-birit ini ke kolam rekreasi awam.

Selain itu, jangan biarkan anak-anak kecil mandi di dalam kolam dengan memakai lampin pakai buang. Lampin pakai buang yang telah digunakan hendaklah diikat dengan kemas, dan dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan.

sawan demam

Foto Kredit: verywell.com

Pantau Kebersihan Diri & Keluarga

Di samping itu, orang ramai dinasihatkan agar mengamalkan kebersihan sepanjang masa, terutamanya dalam hal penyediaan makanan dan minuman.

Akhir sekali, pastikan basuh tangan setiap kali selepas menggunakan tandas, menukar lampin anak, dan pantau bayi dengan kerap sekiranya mereka suka memasukkan barangan ke dalam mulut.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×