Rakyat

7 Perkara Mama & Papa Perlu Tahu Tentang Vaksin Rotavirus

540
SHARES
vaksin rotavirus halal

“Kawan kata anak jiran dia ada yang kena Rotavirus. Risau pulak rasa. Patut ke aku ambik vaksin Rotavirus ni ye? Dengar-dengar macam tak halal.”

Menurut Portal MyHealth, data dari kajian klinikal mendapati vaksin Rotavirus berkesan mencegah 85% hingga 98% daripada penyakit Rotavirus yang teruk.

Ia juga dikatakan mampu mencegah 74% hingga 87% daripada semua penyakit rotavirus.

Namun terdapat pelbagai spekulasi yang dihebahkan tentang vaksin ini. Jadi, jom kita ambil tahu lebih lanjut tentang keperluan vaksin ini di Malaysia.

7 Perkara Mama & Papa Perlu Tahu Tentang Vaksin Rotavirus

1. Apakah Penyakit Rotavirus?

Penyakit Rotavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan gastroentritis iaitu sejenis radang pada perut dan usus. Jika tidak mendapat rawatan awal, ia amat merbahaya kepada kanak-kanak kerana boleh menyebabkan dehidrasi dan komplikasi akibat terlalu kerap muntah, cirit-birit, serta diiringi dengan demam bersuhu tinggi.

Menurut Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), kebanyakan kes dapat dilihat di kalangan kanak-kanak yang berusia di antara 3 bulan hingga 2 tahun.

Apa yang menakutkan, ia adalah sejenis penyakit yang sangat mudah berjangkit. Menurut laman web Immunise4Life, kanak-kanak berisiko tinggi terdedah kepada Rotavirus kerana mereka masih belajar menguruskan diri dan belum terbiasa mengamalkan rutin kebersihan yang betul. Tambahan pula, ia boleh merebak dengan pantas, terutamanya di pusat jagaan kanak-kanak.

Foto Kredit: dehabebekler.com

2. Jenis Vaksin Rotavirus Di Malaysia

Vaksin Rotavirus adalah sebahagian daripada pelalian tambahan dan tidak termasuk di dalam Program Imunisasi Kebangsaan. Vaksin ini boleh diberikan kepada bayi yang berusia 6 minggu dan ke atas.

Umumnya, terdapat dua jenis vaksin rotavirus yang berada di pasaran iaitu vaksin Rotarix dan Rotateq.

Foto Kredit: jamanetwork.com

3. Cara Pengambilan Vaksin Rotavirus

Kedua-dua jenis vaksin diberi melalui mulut (secara oral) dan bukannya suntikan.

Berikut adalah dos vaksin Rotavirus yang disyorkan.

Dos
Jarak masa dos
Vaksin siri 3 dos (Rotateq) boleh diberikan sehingga usia 32 minggu Dos pertama diberikan pada bayi pada usia 6 hingga 12 minggu. Dos seterusnya diberikan pada jarak masa sekurang-kurangnya 4 minggu di antara setiap dos. Jadual vaksinasi perlu dilengkapkan sebelum bayi berusia 32 minggu.
Vaksin siri 2 dos (Rotarix) boleh diberikan sehingga usia 24 minggu Dos pertama diberikan pada bayi daripada usia 6 minggu. Dos seterusnya diberikan pada jarak masa sekurang-kurangnya 4 minggu. Jadual vaksinasi perlu dilengkapkan sebelum bayi berusia 24 minggu.

Sumber: Portal Myhealth Kementerian Kesihatan Malaysia

4. Harga Vaksin Rotavirus Di Malaysia

Oleh kerana vaksin ini tidak termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan, ia hanya boleh didapati di sesetengah klinik / hospital swasta.

Bergantung kepada jenis dan lokasi klinik, harga vaksin ini adalah sekitar RM135 hingga RM200.

Foto Kredit: momjunction.com

5.  Isu Status Halal Vaksin Rotavirus

Buat masa ini, vaksin Rotavirus yang dicipta mengandungi porcine cirovirus (PCV1 & PCV 2), iaitu sejenis unsur khinzir yang digunakan dalam proses penghasilannya. Oleh sebab itu, pada 31 Mac 2008 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia telah memutuskan bahawa ianya HARAM, melainkan dalam keadaan darurat.

Namun menurut ulasan Dr Suhazeli Abdullah, pengesahan telah dibuat bahawa setelah melalui proses penapisan, penulenan dan penstrilan – sudah tiada langsung DNA babi yang berbaki. Sehubungan itu, sijil halal (sah sehingga 2018) telah dikeluarkan oleh Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA) bagi menjamin kepastian pengguna. Sebagai tambahan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut berpendapat bahawa vaksin rotavirus adalah HALAL dan suci, memandangkan tiada lagi unsur najis di dalamnya.

6. Kesan Sampingan Vaksin Rotavirus

Seperti vaksin lain, vaksin Rotavirus juga ada kesan sampingan namun hanya bersifat sementara dan tidak serius. Antara kesan sampingan yang biasa dialami ialah cirit-birit dan muntah.

Namun, ibu bapa perlu ambil perhatian sekiranya bayi menunjukkan alahan serius seperti ruam, bengkak pada muka dan tekak, kesukaran bernafas, denyutan jantung cepat, pening dan badan terasa lemah.

Kesan alahan teruk juga boleh membuatkan bayi sakit perut, menangis teruk, muntah dengan kerap, najis berdarah, perut bengkak dan demam bersuhu tinggi. Bayi juga berkemungkinan kecil untuk terkena usus tersumbat namun kebarangkaliannya amat kecil dan jarang berlaku.

Foto Kredit: rcemlearning.co.uk

7. Pentingnya Langkah Pencegahan

Sebenarnya, penyakit Rotavirus amat mudah dicegah dengan pengamalan rutin kebersihan yang unggul. Selain mengajarkan kepada anak untuk mempraktikkan amalan kebersihan, ibu bapa dan orang sekeliling juga perlu memiliki kesedaran yang tinggi dalam usaha memastikan virus ini tidak tersebar dengan meluas.

Pastikan kebersihan diri dan anak sentiasa terjaga, pembuangan lampin bayi diuruskan dengan baik, air yang diminum dimasak dan pemakanannya daripada sumber bersih. Jangan lupa, basuh tangan dulu dengan bersih sebelum mendekati anak.

http://www.askdoctork.com/

Mesti ‘Alert’ Dengan Tanda-tanda Awal, Ya!

Dapatkan rawatan segera jika bayi mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat kerana dikhuatiri menjadi semakin melarat jika tidak diubati.

Jika kawasan tempat tinggal anda terdapat banyak kes Rotavirus berlaku, adalah disyorkan untuk mengambil langkah pencegahan dan berunding dengan doktor bagi mendapatkan vaksin.

 

Sumber Rujukan:

http://www.muftiwp.gov.my/ms/irsyad-fatwa-umum-cat/2069-30

https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/Malay-Vaksin-Rotavirus

http://www.myhealth.gov.my/vaksin-rotavirus/

http://suhazeli.com

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×