Berita baik buat semua ibu bapa, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diteruskan seperti biasa tahun ini bagi meringankan beban untuk memulakan sesi persekolahan baru tahun 2025. Lebih baik lagi adalah, bantuan tersebut akan mula diagihkan pada minggu hadapan!
Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa untuk membeli barangan keperluan untuk anak-anak yang bersekolah. Jom tengok tarikh yang disenaraikan di bawah.
Baca juga: KPM Mansuh Peperiksaan Di Sekolah Untuk Kurangkan Tekanan Murid, Mak Ayah TAK SETUJU!
BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2025 (BAP) DIAGIHKAN BERMULA MINGGU HADAPAN
Bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi persekolahan 2024/2025, agihan BAP akan bermula pada minggu hadapan iaitu 13 Januari. Manakala BAP bagi murid Tingkatan 6 Semester 2 dan Tahun 1 sesi persekolahan 2025/2026 akan mula diagihkan pada 16 Februari. Murid Tingkatan 6 yang baharu mendaftar pula akan mula mendapat agihan BAP pada 1 Julai.
“Kerajaan MADANI memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara one-off (sekali bayar). Ia akan memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta orang murid. Pada tahun ini, buat pertama kali inisiatif BAP akan turut diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6,” maklum kementerian tersebut.
Perlu diingatkan juga bahawa pengagihan BAP akan dilaksanakan oleh pihak sekolah dengan beberapa kaedah:
-Kaedah pertama, ibu bapa bagi murid sekolah rendah akan menerima serahan secara tunai. Manakala bagi murid sekolah menengah, serahan tunai akan diberi kepada ibu bapa atau murid tersebut.
-Kaedah kedua pengagihan BAP ialah menerusi pengkreditan terus ke akaun bank murid berkenaan.
-Kaedah ketiga pula merupakan satu kaedah baru yang bakal dilaksanakan mulai tahun ini iaitu pengkreditan terus ke akaun bank ibu bapa.
Tahun lalu, KPM telah memulakan penyaluran BAP bagi murid Tahun 1 sesi persekolahan 2024/2025 pada 10 Mac 2024. Bantuan ini melibatkan 8,903 buah sekolah yang meliputi sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama rakyat atau negeri, dan sekolah swasta yang berdaftar dengan kerajaan.
BAP tidak disalurkan kepada mana-mana sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat. Keseluruhan pemberian BAP dengan agihan RM150 setiap murid berjumlah RM67,197,300 bagi tahun lalu.
*Semoga dapat membantu anak-anak nak masuk sesi persekolahan baharu!
Baca juga: Bantuan Awal Persekolahan 2025 (BAP) Diteruskan, Ini Tarikh & Cara Semak Untuk Dapat RM150
Sumber: Foto (Harian Metro), Kementerian Pendidikan Malaysia