Prosedur pembesaran zakar yang dijalani seorang pempengaruh British-Nigeria di Bangkok bertukar tragedi, apabila dia meninggal dunia hanya sehari selepas mendapatkan rawatan kosmetik berkenaan.
Igho “Tiny” Ubiribo, 43, menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi 6 Mac 2026 selepas menjalani prosedur tersebut di Bangkok, Thailand, sehari sebelumnya.
PEMPENGARUH MAUT SELEPAS JALANI PROSEDUR PEMBESARAN ZAKAR

Pempengaruh British-Nigeria, Igho “Tiny” Ubiribo, 43, yang meninggal dunia selepas jalani prosedur pembesaran zakar.
Perkara itu didedahkan ketika inkues di Inner West London Coroners’ Court yang mendapati prosedur berkenaan mempunyai kaitan dengan kematiannya.
Menurut laporan media, kira-kira 40 mililiter asid hialuronik dan lidokain telah disuntik ke bahagian zakar di sebuah klinik bagi meningkatkan ukur lilit.
Selepas prosedur tersebut, Ubiribo bersama isterinya, Danielle Simba Allen, kembali ke hotel sebelum keluar mendapatkan urutan. Ketika sedang diurut, Ubiribo mula mengadu sakit dada sebelum pengsan sebanyak dua kali.
Dia kemudian dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Sukhumvit.
Pengsan ketika urut sebelum keadaan semakin kritikal
Ketika tiba di hospital, Ubiribo dilaporkan masih sedar dan mampu menjawab soalan doktor. Isterinya turut memaklumkan kepada pasukan perubatan mengenai prosedur suntikan yang baru dijalaninya.
Bagaimanapun, keadaan Ubiribo semakin merosot apabila dia kembali tidak sedarkan diri sebelum imbasan CT yang disyorkan dapat dilakukan. Doktor kemudiannya mendiagnosisnya mengalami embolisme pulmonari dan memindahkannya ke unit rawatan rapi.
Pasukan perubatan dilaporkan melakukan CPR selama lebih 100 minit dalam usaha menyelamatkan nyawanya. Namun, Ubiribo tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada awal pagi 6 Mac.
Pemeriksaan selepas kematian yang dijalankan di Britain kemudian menemukan bahan dalam paru-parunya yang sepadan dengan asid hialuronik yang digunakan dalam prosedur tersebut.
Dapatan pakar patologi John du Parcq itu turut dilaporkan selari dengan keputusan bedah siasat awal yang dilakukan di Thailand.
Koroner kaitkan prosedur kosmetik dengan kematian

Koroner Jean Harkin kemudiannya menyimpulkan bahawa prosedur kosmetik berkenaan telah menyebabkan embolisme pulmonari yang membawa kepada kematian Ubiribo.
Inkues turut dimaklumkan bahawa Ubiribo sebelum ini pernah menjalani pembedahan sendi serta mempunyai pradiabetes dan gout, namun tiada masalah kesihatan serius lain dilaporkan.
Ubiribo yang turut dikenali sebagai Denisi atau Ego mempunyai kira-kira 185,000 pengikut di Instagram dan sering berkongsi kehidupan mewahnya di media sosial.
Dia berkahwin dengan pereka fesyen dan sosialit, Allen, dalam satu majlis di Zimbabwe pada 2022.
Kes berkenaan kemudiannya mendapat perhatian sekitar bulan ini, selepas keadaan sebenar di sebalik kematian pempengaruh itu dibincangkan dalam inkues di London.
Sumber: New Straits Times
FT Image: Gemini AI / Instagram
