Pemergian seorang pelajar Politeknik Sultan Idris Shah, Allahyarham Nabil Izz Qaisar Mohd Zairee, 19, mengundang rasa sebak dalam kalangan rakyat Malaysia selepas kisah pengorbanannya derma organ tular di media sosial.
Allahyarham yang merupakan pelajar Diploma Kewangan Islam semester tiga disifatkan sebagai ‘wira kehidupan’ apabila keluarganya bersetuju untuk meneruskan hasrat pendermaan organ, sekali gus memberi sinar harapan kepada pesakit yang sedang menunggu pemindahan organ.
DERMA ORGAN PADA USIA 19 TAHUN, PEMERGIAN NABIL IZZ QAISAR UNDANG SEBAK

Foto: Hospital Selayang
Menerusi satu hantaran di media sosial rasmi Hospital Selayang, pihak hospital melakukan ‘honor walk’ pada jam 3.00 pagi sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebelum proses pendermaan organ dijalankan.
Dalam suasana penuh hening dan penghormatan, ahli keluarga bersama petugas Hospital Selayang mengiringi perjalanan terakhir Allahyarham ke dewan pembedahan.
Menurut pihak hospital, penghormatan itu melambangkan penghargaan terhadap pengorbanan besar Allahyarham yang telah menghadiahkan peluang kedua untuk hidup kepada insan lain.
“Pada jam 3.00 pagi, Hospital Selayang telah mengadakan honor walk sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham Nabil Izz Qaisar yang telah menghadiahkan sinar harapan kepada insan lain menerusi pendermaan organ.”
Hospital Selayang turut menegaskan bahawa setiap pendermaan organ merupakan satu hadiah kehidupan yang mampu mengubah nasib pesakit yang sedang menanti pemindahan organ.
Selain itu, pihak hospital merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham dan seluruh ahli keluarga atas keikhlasan serta pengorbanan yang tidak ternilai.
Mereka turut berharap agar jasa Allahyarham menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih memahami kepentingan pendermaan organ pada masa hadapan.
Pergi Sehari Selepas Ulang Tahun Kelahiran

Foto: Jabatan Perdagangan PSIS
Terdahulu, Jabatan Perdagangan Politeknik Idris Shah memaklumkan berita pemergian pelajar kesayangan mereka menerusi satu hantaran di media sosial.
Menurut perkongsian itu, Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 27 Julai 2026 dan selamat dikebumikan selepas solat Asar pada hari yang sama.
Apa yang lebih meruntun hati ramai ialah Allahyarham dilaporkan meninggal dunia hanya sehari selepas menyambut ulang tahun kelahirannya, menjadikan pemergiannya meninggalkan kenangan yang amat bermakna buat keluarga serta rakan-rakan.
Warganet Tersentuh Dengan Pengorbanan Allahyarham
Di ruangan komen, ramai warganet meluahkan rasa sebak serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Tidak kurang juga yang mendoakan agar segala amal kebaikan Allahyarham diterima Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Antara komen yang dikongsikan ialah:
“Dah la pergi sehari lepas hari lahir. dia bagi banyak pula “hadiah” untuk yg masih berjuang untuk hidup. sungguh dia orangnya indah”
“Semoga Syurga buatmu Anakanda Nabil.. Al fatihah.. Salam Takziah buat keluarga arwah”
“Begitu besar jasamu, memberi sinar baru kpd yg menaruh harapan, sebahagian drpd kamu terus hidup dlm kehidupan penerima, semoga syurga balasan untuk mu.”
Semoga segala amal jariah Allahyarham diterima Allah SWT dan kisah pengorbanannya menjadi inspirasi kepada lebih ramai masyarakat mengenai nilai murni pendermaan organ yang mampu menyelamatkan nyawa orang lain.
Sumber: Selayang Hospital dan Jabatan Perdagangan PSIS
