Euforia Bola 2026
Sihat

“Nanti Jenazah Tak Sempurna?”- 5 Mitos Derma Organ Yang Buat Ramai Berfikir Dua Kali Nak Jadi Penderma

derma organ

Bercakap tentang derma organ, masih ramai yang berasa takut untuk mendaftar sebagai penderma kerana terpengaruh dengan pelbagai mitos yang diceritakan dalam kalangan masyarakat.

Sempena Hari Derma Organ Sedunia, jom semak lima salah faham yang sering membuatkan orang ramai ragu-ragu untuk menjadi pengikrar.

Baca juga: “Ejakulasi 21 Kali Sebulan?”- Bujang Tak Senang Duduk, Doktor Dedah Kurang Risiko Kanser Prostat & Sperma Berkualiti!

5 MITOS DERMA ORGAN BUAT RAMAI TAKUT NAK MENDAFTAR

derma organ

Gambar hiasan: magnific

1. Jenazah akan dicacatkan

Ini antara kebimbangan yang paling biasa apabila bercakap mengenai pendermaan organ. Namun, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), proses pendermaan organ dan tisu tidak akan menjejaskan rupa serta bentuk tubuh jenazah.

Malah, urusan pengebumian masih boleh dijalankan seperti biasa selepas proses perolehan organ dan tisu selesai.

Prosedur pengambilan organ pula dilakukan di dewan bedah oleh pasukan perubatan terlatih dan jenazah akan diuruskan sebelum diserahkan kepada waris.

Jadi, kebimbangan bahawa pendermaan organ akan menyebabkan jenazah kelihatan tidak sempurna adalah tidak tepat.

2. Doktor takkan selamatkan penderma

Mitos ini mungkin kedengaran menakutkan, tetapi ia tidak benar. KKM menjelaskan bahawa rawatan pesakit tidak akan terjejas walaupun seseorang telah mendaftar sebagai pengikrar penderma organ.

Doktor yang merawat pesakit akan tetap berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan nyawa. Malah, perbincangan mengenai pendermaan organ hanya akan dibuat selepas kematian disahkan mengikut proses yang ditetapkan.

Ini penting kerana menjadi pengikrar penderma organ bukan bermaksud seseorang menyerahkan hak untuk mendapatkan rawatan terbaik sekiranya jatuh sakit atau mengalami kecemasan.

3. Semua organ akan diambil

Menurut FAQ rasmi MySejahtera, tidak semua organ dan tisu semestinya akan diambil.

Pendermaan hanya dilakukan berdasarkan beberapa perkara, antaranya organ atau tisu yang dipersetujui masih berada dalam keadaan baik dan berfungsi, selain terdapat penerima yang sesuai.

Proses pengambilan organ dan tisu untuk tujuan transplantasi juga memerlukan kebenaran bertulis daripada waris mengikut tatacara yang ditetapkan.

Maksudnya, proses pendermaan bukanlah keadaan di mana semua organ akan diambil tanpa mengambil kira keadaan perubatan atau prosedur yang ditetapkan.

Baca juga: Wanita Terengganu Ini Dikesan Miliki Jenis ‘Darah Emas’ Rh Null, Paling Rare Di Dunia!

derma organ

Gambar hiasan: Gemini AI

4. Mati otak sama macam koma

Istilah mati otak kadangkala mengelirukan kerana ada yang menyangka pesakit masih berada dalam keadaan koma dan boleh kembali sedar.

Menurut KKM, mati otak merujuk kepada keadaan apabila keseluruhan fungsi otak, termasuk batang otak, telah terhenti dan keadaan tersebut tidak boleh dipulihkan.

KKM turut menjelaskan bahawa pemindahan organ hanya dilakukan selepas pesakit disahkan mati otak mengikut proses pengesahan yang ditetapkan. Pengesahan kematian juga perlu dilakukan secara bebas daripada proses pemindahan organ dan tisu.

Ini berbeza daripada keadaan koma atau tidak sedarkan diri yang masih mempunyai fungsi otak.

Sebab itu, keputusan mengenai kematian bukan dibuat semata-mata kerana seseorang itu tidak sedarkan diri atau bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

5. Orang berusia tak boleh jadi penderma

Sebenarnya, kelayakan untuk pendermaan bergantung kepada penilaian perubatan dan keadaan organ atau tisu pada ketika itu.

Dalam erti kata lain, jangan terlalu awal membuat keputusan bahawa organ anda pasti tidak boleh digunakan hanya berdasarkan umur atau sejarah kesihatan.

Pasukan perubatan akan menilai keadaan organ dan tisu serta menentukan sama ada ia sesuai untuk tujuan transplantasi.

Ini selari dengan maklumat KKM bahawa organ dan tisu hanya akan diperoleh apabila memenuhi kriteria tertentu dan masih berada dalam keadaan yang boleh digunakan.

Kesimpulan

Selain mendaftar sebagai pengikrar, KKM turut menyarankan individu memaklumkan hasrat tersebut kepada keluarga.

Pada akhirnya, keputusan untuk menjadi penderma organ adalah pilihan individu. Namun, jangan biarkan mitos menghalang kita daripada membuat keputusan berdasarkan maklumat yang sahih.

Satu keputusan hari ini mungkin memberi peluang untuk orang lain meneruskan kehidupan pada masa hadapan.

Sumber: KKM (1) (2) / MySejahtera / WHO / Organ Donation

FT Image: Gemini AI / jcomp

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×