Euforia Bola 2026
Inspirasi

“Saya Cuma Nak Ibu Hidup Normal Semula”- Di Usia 25 Pemuda Ini Nekad Derma Buah Pinggang Kepada Ibu, Ramai Terharu!

buah pinggang

Dalam hidup, tidak semua orang diberi peluang untuk menyelamatkan insan tersayang. Tetapi bagi pemuda ini, peluang tersebut hadir pada usia yang masih muda dan dia memilih untuk tidak berpaling ke belakang dengan membuat keputusan untuk mendermakan buah pinggang sendiri kepada ibunya yang tercinta.

Kisah penuh pengorbanan ini dikongsikan oleh seorang anak muda bernama Hariz Zulfa Mustafa, 25, yang sanggup melalui pembedahan besar demi memberikan ibunya peluang kedua untuk terus hidup dengan lebih baik.

Baca juga: “Awak Tak Payah Bayar, Esok Allah Tolong Saya” Baki Duit Cukup-Cukup, Abang Mekanik Sebak Dipeluk Lelaki Cina Terkandas Tengah Malam

KISAH PEMUDA BERANI DERMA BUAH PINGGANG SENDIRI KEPADA IBUNYA

buah pinggang

Hariz di samping ibunya yang tercinta selepas selesai pembedahan pemindahan buah pinggang.

Sejak usia remaja sudah simpan niat bantu ibu

Hariz berkongsi bahawa ibunya, Datin Sri Dr. Zuliah yang kini berusia 61 tahun dan merupakan bekas pensyarah kanan, telah disahkan menghidap kegagalan buah pinggang sejak tahun 2011. Sejak itu, kehidupan ibunya banyak tertumpu kepada rawatan berterusan dan penjagaan kesihatan jangka panjang.

Sebagai anak bongsu daripada tiga beradik, Hariz membesar dengan melihat sendiri bagaimana penyakit tersebut mengubah kehidupan ibunya.

Sejak usia 16 tahun lagi, dia sudah menyimpan hasrat untuk membantu, namun ketika itu masih dibayangi rasa takut dan kurang keyakinan.

“Apa yang dahulu sekadar niat, akhirnya menjadi satu keputusan yang saya yakini sepenuh hati,” kongsinya secara eksklusif kepada penulis Siraplimau.

Apabila keadaan ibunya semakin merosot, keputusan itu berubah menjadi satu tekad yang tidak lagi boleh ditangguhkan.

Lalu, pada Ogos 2025, Hariz menyampaikan hasratnya kepada keluarga secara bersemuka. Di mana, ketika itu keluarganya sedang datang melawat Hariz yang sedang melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang marketing di University of Melbourne.

Jelasnya, reaksi terkejut dan seakan tidak percaya jelas terpancar di wajah ahli keluarga, selain ibunya yang turut mengalirkan air mata.

Detik mendebarkan pembedahan pertama dalam hidup Hariz bermula 

Hariz menceritakan lagi, pembedahan pemindahan organ berlaku di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur pada 11 April tahun ini.

Menurutnya, apa yang dirancang sebagai prosedur laparoskopi terpaksa ditukar kepada pembedahan terbuka selepas doktor menemui satu arteri tambahan semasa pembedahan.

Hari pertama selepas sedar dari bius menjadi pengalaman yang sukar dilupakan.

“Hari pertama saya sedar di ICU dalam keadaan kesakitan yang amat sangat dan masih di bawah pengaruh ubat, dengan badan yang sedang menyesuaikan diri.

“Pada hari kedua, saya dipindahkan ke wad biasa. Sepanjang tempoh pemulihan, saya belajar untuk lebih memahami tubuh sendiri.

“Selepas dua minggu, kesakitan menjadi jauh lebih terkawal dan keadaan saya semakin stabil, baik dari segi fizikal mahupun mental,” kongsinya lagi.

Namun, sepanjang tempoh itu, Hariz mengakui kebimbangan utamanya bukan pada dirinya sendiri, tetapi keadaan ibunya sebagai penerima organ.

Baca juga: Muhammad Zafril Alami Lumpuh Pinggang Ke Bawah & Gigih Belajar Silat, Keazaman Anak 12 Tahun Ini Dipuji!

buah pinggang

Gambar: Rakan-rakan Hariz yang datang melawatnya di hospital.

Rutin harian perlahan, tetapi setiap hari ada perkembangan

Selepas pembedahan, Hariz kini melalui fasa pemulihan dan perlu memperlahankan rutin hariannya. Kebanyakan masa diisi dengan rehat, membaca buku serta menonton rancangan ringan di platform penstriman.

Pergerakan fizikal masih terbatas buat sementara waktu, namun dia dapat merasakan perubahan positif setiap hari.

Walaupun melalui prosedur besar, Hariz menegaskan bahawa kehidupan selepas pendermaan organ masih boleh diteruskan seperti biasa dengan penjagaan kesihatan yang baik.

Keadaan ibu semakin baik, harapan mahu lihat ibu hidup normal semula

Berita paling melegakan buat Hariz dan keluarga adalah apabila keadaan ibunya kini menunjukkan perkembangan positif selepas menerima buah pinggang baharu.

Walaupun masih perlu menjalani pemeriksaan mingguan di hospital, tahap kesihatan ibunya semakin stabil dari hari ke hari. Bagi Hariz, itu adalah ganjaran paling besar.

Pemuda ini juga berharap ibunya dapat kembali melakukan aktiviti yang telah lama tertangguh sepanjang lebih sedekad berdepan penyakit, termasuk melancong dan menikmati kehidupan tanpa batasan kesihatan.

Harapan saya sebenarnya sederhana, saya hanya ingin melihat ibu saya kembali menjalani kehidupan yang normal.

“Saya mahu ibu dapat melakukan perkara-perkara yang telah lama tertangguh sepanjang 15 tahun ini, seperti melancong, meneroka tempat baharu dan benar-benar menikmati hidup tanpa batasan kesihatan.

“Melihat ibu mendapatkan semula peluang untuk hidup sepenuhnya itu menjadi asbab yang cukup untuk menggantikan segala yang telah kami lalui,” ujarnya.

Selain itu, Hariz turut menitipkan pesan kepada orang ramai, khususnya golongan muda, yang memilih untuk mendermakan organ mereka.

Menurutnya, rasa takut adalah perkara biasa, tetapi prosedur perubatan hari ini sangat terkawal dan mempunyai kadar kejayaan yang tinggi.

Lebih penting, peluang untuk memberikan insan tersayang kehidupan kedua adalah sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

@huhreez Being a kidney donor at 25 years old is scary, but I have no regrets, I love you Ma ❤️ #kidneydonor #kidneytransplant #donor #organdonor #transplant ♬ original sound – 𝒶𝓂𝒶𝒾 🌀☀️

AMARAN!

Artikel ini merupakan temu ramah eksklusif Siraplimau bersama pihak terbabit. Jadi, anda tidak dibenarkan menyiar artikel ini di laman portal yang lain tanpa pemberian kredit yang tepat.

Sumber: TikTok @huhreez

FT Image: Hariz Zulfa Mustafa

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×