Euforia Bola 2026
Inspirasi

Keluarga Reda, Organ Allahyarham Muhammad Syukri Diderma Agar Beri Sinar Baharu Kepada Insan Lain

pendermaan organ

Dalam saat paling sukar apabila kehilangan insan tersayang, tidak semua keluarga mampu membuat keputusan besar yang memberi manfaat kepada orang lain. Namun kisah pendermaan organ Allahyarham Muhammad Syukri bin Bazli menjadi bukti bahawa kebaikan seseorang tidak terhenti walaupun selepas pemergiannya, sebaliknya terus hidup melalui peluang kedua yang diberikan kepada pesakit lain.

Kisah ini bukan sekadar tentang kehilangan, tetapi tentang bagaimana satu keputusan mampu mengubah nasib beberapa kehidupan lain.

Baca juga: “Saya Cuma Nak Ibu Hidup Normal Semula”- Di Usia 25 Pemuda Ini Nekad Derma Buah Pinggang Kepada Ibu, Ramai Terharu!

KISAH PENDERMAAN ORGAN ALLAHYARHAM MUHAMMAD SYUKRI

pendermaan organ

Gambar dari Facebook Ustaz Maliaman Kassim – Official.

Arwah mempunyai sikap suka membantu orang

Menurut bapa saudara arwah, Azlan Yahya, 58, keputusan itu dibuat secara bersama oleh ahli keluarga terdekat termasuk ibu, bapa dan isteri arwah, Nurul Hanis Amelia Ramli, 32 tahun.

“Bukan satu keputusan yang mudah untuk kami lakukan, tetapi memandangkan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain, kami reda,” ujarnya.

Muhammad Syukri, 31, yang bekerja sebagai tukang masak di Kuala Berang disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu pada awal pagi Ahad kira-kira jam 12.06 tengah malam.

Walaupun saat itu penuh duka, keluarga tetap meneruskan keputusan untuk membenarkan proses pendermaan organ dilakukan. Ia melibatkan beberapa organ penting termasuk buah pinggang, hati, tulang dan kulit yang berpotensi menyelamatkan pesakit lain yang sedang kritikal.

“Keputusan menderma organ dibuat memandangkan arwah masih muda dan ada keperluan untuk menyelamatkan nyawa insan lain,” ujarnya.

Azlan berkata pendermaan itu dianggap sebagai sumbangan atau amal bakti terakhir Muhammad Syukri, 31, yang dikenali sebagai insan yang penyayang, sabar dan sentiasa membantu orang ditimpa kesusahan.

“Arwah sebelum ini tidak pernah sebut untuk menderma organ tetapi mengenali karakter dan sifatnya yang sentiasa rela membantu dan berkhidmat untuk orang lain, keluarga merasakan keputusan ini adalah tepat serta boleh memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi wartawan pada Ahad.

Baca juga: “Awak Tak Payah Bayar, Esok Allah Tolong Saya” Baki Duit Cukup-Cukup, Abang Mekanik Sebak Dipeluk Lelaki Cina Terkandas Tengah Malam

pendermaan organ

Tangkap layar video Threads @aienajwaaa .

Detik cemas sebelum pemergian

Keluarga turut berkongsi detik sebelum kejadian apabila arwah pada awalnya mengalami simptom gastrik selama beberapa hari sebelum rebah ketika dalam perjalanan ke klinik bersama ibu bapanya.

Muhammad Syukri kemudian dikejarkan ke beberapa fasiliti kesihatan sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ untuk rawatan lanjut. Namun, keadaan kesihatannya tidak menunjukkan perubahan dan disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Kisahnya menjadi perhatian ramai selepas upacara ‘Walk of Honour’ diadakan di hospital sebagai tanda penghormatan terakhir kepada penderma organ.

Selepas proses pengambilan organ dilakukan sekitar jam 5 pagi, jenazah Allahyarham dibawa untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Kampung Peroh, Hulu Terengganu.

Bagi keluarga, keputusan itu dianggap sebagai satu bentuk amal jariah yang terus mengalir. Mereka percaya setiap organ yang didermakan membawa harapan baharu kepada penerima yang sedang menunggu peluang hidup.

“Kami semua pasti merindui kehadiran arwah terutama pada majlis seperti kenduri dan berkumpul sanak saudara kerana dia sangat ringan tulang dan sungguh mesra,” katanya yang tidak lupa merakamkan ucapan penghargaan kepada warga HSNZ atas layanan baik serta kecekapan kerja.

Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut merakamkan penghargaan kepada keluarga penderma serta petugas kesihatan yang terlibat dalam proses tersebut.

Baca juga: [VIDEO] Aksi Berani 6 ‘Wira’ Kg Pangi! Letak Motosikal Troli Atas Landasan Demi Hentikan Tren Hilang Fungsi Brek

Sumber: Harian Metro / Sinar Harian / Threads @aienajwaaa

FT Image: Facebook Ustaz Maliaman Kassim – Official / Threads @aienajwaaa

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×