Siapa kata melancong ke negara bukan Islam sukar untuk pelancong Muslim? Baru-baru ini, Team SirapLimau diberi peluang oleh Hong Kong Tourism Board untuk bercuti di Hong Kong.
Difahamkan, Hong Kong merupakan destinasi yang dinobatkan sebagai tempat pertama dalam senarai Muslim Friendly Accessible Travel Destination 2025 oleh CrescentRating & Mastercard.
Baca juga: Trick Duduk Hotel 5 Bintang Tapi Harga ‘Bajet’, Kena Buat Macam Wanita Ini Kongsi!
BERCUTI DI HONG KONG VERSI MUSLIM-FRIENDLY SELAMA 5 HARI

Hong Kong Disneyland
Selama lima hari, team SirapLimau menyaksikan sendiri bagaimana Hong Kong memenuhi keperluan asas pelancong Muslim dari segi makanan halal, kemudahan solat, hotel mesra Muslim dan banyak lagi.
Berikut adalah perkongsian perjalanan kami dari hari pertama hingga hari kelima.
Hari Pertama – 8 September 2025
Kami tiba di Hong Kong dan terus daftar masuk ke The Mira Hong Kong Hotel yang terletak di kawasan strategik Tsim Sha Tsui. Hotel ini terbukti mesra Muslim kerana menyediakan penanda kiblat di bilik, sejadah, al-Quran atas permintaan, bilik air mesra wuduk serta menu yang disahkan halal.
Lebih menariknya, Masjid Kowloon juga terletak tidak jauh dari sini dan boleh berkunjung dengan hanya berjalan kaki sahaja.
Pada malam pertama, kami menikmati makan malam di Cuisine Cuisine, sebuah restoran fine dining dalam The Mira Hong Kong yang menawarkan menu halal-friendly. Di sini, kami disajikan hidangan set lapan course, sesuai untuk mereka yang ingin menikmati cita rasa Kantonis dalam suasana elegan.

Cuisine Cuisine
Hari Kedua – 9 September 2025
Hari kedua bermula dengan lawatan ke Ocean Park, taman tema ikonik yang juga mesra Muslim. Di dalam taman ini tersedia tempat solat yang terletak berhampiran pintu masuk utama dan bahagian Thrill Mountain zone yang dilengkapi dengan tempat wuduk, sejadah dan penanda kiblat. Kami turut berpeluang melihat panda di Giant Panda Adventure, termasuk Ying Ying, Le Le dan panda kembar yang sangat comel.
Makan tengah hari, kami menjamu selera di restoran Jade yang terletak di The Fullerton Ocean Park Hotel Hong Kong. Restoran ini memiliki sijil halal dan menyajikan hidangan Kantonis yang autentik.
Selepas itu, kami bergerak ke The Peak Tram Lower Terminus dan menaiki trem ke puncak untuk menikmati pemandangan panoramik kota Hong Kong dari ketinggian. Cuaca cerah dan angin sepoi-sepoi membuatkan pengalaman ini cukup menenangkan.

The Peak Tram
Menjelang petang, kami menaiki Aqualuna Harbour Cruise, sebuah pelayaran santai dengan bot tradisional sambil menyaksikan langit senja Hong Kong.
Makan malam pula dinikmati di Tagline, restoran halal-certified yang menawarkan pelbagai pilihan menu bertema Arab dan India seperti Nan, Nasi Briyani dan Ayam Butter.

Tagline
Hari Ketiga – 10 September 2025
Pagi hari ketiga Team SirapLimau mulakan dengan ziarah ke Jamia Mosque, masjid tertua di Hong Kong yang terletak di kawasan Mid-Levels. Masjid ini memiliki seni bina klasik dan suasana yang tenang, sangat sesuai untuk refleksi diri dan ibadah.
Makan tengah hari pula, kami ke BKK, sebuah restoran yang menawarkan masakan Thailand dalam persekitaran moden dan dapur yang disahkan halal.
Antara menu popular di sini adalah thai king chicken curry, wagyu beef with rice, pad thai dan lain-lain. Kemudian kami menaiki bot ke Lamma Island South Fishery Culture untuk merasai pengalaman melihat sendiri kehidupan nelayan tradisional dan suasana kampung nelayan yang unik.
Makan malam kami menikmati di Lamma Rainbow Seafood Restaurant, restoran halal-friendly yang terkenal dengan hasil laut segar seperti ketam, udang dan pelbagai jenis ikan yang dimasak mengikut cita rasa tempatan.

Lamma Rainbow Seafood Restaurant
Hari Keempat – 11 September 2025
Pagi hari keempat bermula dengan berjalan kaki dari hotel ke Masjid Kowloon, masjid terbesar dan paling aktif di Hong Kong. Ramai pelancong Muslim turut bersolat di sini, selain berinteraksi dengan komuniti Islam tempatan.

Masjid Kowloon
Makan tengah hari, kami ke Crystal Lotus di Hong Kong Disneyland Hotel, yang menyediakan hidangan yang halal dan menarik, termasuk dim sum berbentuk watak-watak Disney yang comel.
Selepas itu, kami menghabiskan masa di Hong Kong Disneyland sempena ulang tahun ke-20 taman tema tersebut. Pelbagai tarikan dan pertunjukan menarik menanti, menjadikan hari keempat kami penuh dengan kegembiraan.

Hong Kong Disneyland
Waktu solat juga tidak menjadi masalah kerana terdapat kemudahan surau yang diberi nama Quiet room terletak di Mystic Point.
Makan malam pula dinikmati di restoran halal-certified di kawasan Adventureland menawarkan menu masakan Melayu seperti mi goreng, laksa dan lain-lain.
Hari Kelima – 12 September 2025
Hari terakhir di Hong Kong, team SirapLimau mulakan dengan sarapan di The Mira Hotel dan persiapan untuk pulang ke Malaysia.
Walaupun singkat, pengalaman lima hari di Hong Kong ini benar-benar membuka mata kami bahawa negara ini sangat mesra Muslim dan bersedia menyambut pelancong Islam dari seluruh dunia.
Terima kasih kepada Hong Kong Tourism Board atas jemputan ini. Kami pulang bukan hanya dengan gambar kenangan, tetapi dengan satu pengalaman luar biasa.
Info lanjut, boleh layari https://www.discoverhongkong.com/seasia/explore/muslim-travel.html
Baca juga: Nak Naik Business Class Tapi Bajet Ciput? Guna Trik Wanita Ini Untuk Jimat Lebih 70%!
