Percutian

Bukan Hanya Rides Pelonjak Adrenalin, Dekati Haiwan ‘Rare’ Lagi Unik Di Ocean Park Hong Kong

24
SHARES

Teman tema unik, Ocean Park Hong Kong merupakan salah satu destinasi percutian yang sangat sesuai untuk seisi keluarga. Menyajikan pelbagai tarikan menarik termasuk permainan dan pertunjukan haiwan, pengalaman ke Ocean Park pasti akan menjadi kenangan manis buat anda.

Baru-baru ini kami telah berpeluang berkunjung ke sana dengan sepenuhnya ditanggung Ocean Park. Tajaan bermula dari pengangkutan, makan minum dan penginapan selama tiga hari dua malam di Ocean Park Marriot Hotel! Hotel bertaraf lima bintang lagi tau!

Tiba di Hong Kong

Oleh kerana terlalu teruja, tiga jam penerbangan dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) ke Hong Kong International Aiport (HKG) bagaikan tidak terasa. Setibanya di sana, kami dibawa ke restoran makanan segera, Subway untuk menikmati makan tengah hari. Selesai makan, kami menuju ke terminal airport untuk menaiki bas khas ke Ocean Park Marriot Hotel.

Sepanjang perjalanan ke hotel, sempat jugalah kami melihat persekitaran bandar Hong Kong yang sangat pesat dengan pembangunan. Malah, kami turut disajikan dengan pemandangan bunga-bunga mekar seakan menyambut kehadiran kami. Memang tak jemu melihat di luar tingkap bas kami.

Tiba di hotel, kami terus diberi kunci bilik untuk berehat dan menyegarkan badan. Bertuahnya kami kerana diberi peluang menginap di hotel bertaraf lima bintang ini. Yang paling best, hotel ini terletak betul-betul di hadapan Ocean Park, hanya tiga minit berjalan kaki. Pengangkutan awam juga senang didapati kerana terdapat stesen MTR Ocean Park berhadapan taman tema.

Menginap di Ocean Park Marriot Hotel

Seterusnya, kami dibawa berjalan-jalan sekitar hotel untuk melihat jenis-jenis bilik dan kemudahan yang disediakan. Sangat sesuai untuk mereka yang ingin membawa keluarga berjalan-jalan. Anak-anak pasti suka! Siap bertemakan kartun Whiskers dan Bao Bao lagi. Cutenya!

Seharian penat berjalan sekitar hotel, perut mula berkeroncong minta diisi. Kami terus dibawa menikmati makan malam di Marina Kitchen.

Hari ditunggu sudahpun tiba, keesokan harinya kami dibawa ke Ocean Park Hong Kong! Terujanya kami sebaik sahaja melihat pintu masuk ke taman tema berkenaan. Seawal jam 10 pagi, ramai pengunjung sudah beratur untuk membeli tiket masuk ke sana.

Untuk pengetahuan anda, Ocean Park meliputi lebih daripada 91.5 hektar tanah dan mempunyai lebih daripada 80 tarikan di seluruh dua kawasan tarikan – Waterfront dan Summit. Dua kawasan tarikan ini dihubungkan dengan kereta kabel dan Ocean Express, sistem keretapi funikular.

Tarikan di Ocean Park

Ocean Express

Untuk ke Waterfront dan Summit, kami menaiki Ocean Express, sistem keretapi funikular yang melalui terowong sepanjang 1.3km. Perjalanan menaiki Ocean Express hanya mengambil masa 3 minit sahaja.

Shark Mystique

Destinasi pertama kami adalah Shark Mystique yang mempamerkan ikan jerung dan ikan pari dari pelbagai spesis. Tidak melepaskan peluang, kami terus meninjau sekitar akuarium melihat pemandangan laut yang luar biasa. Antara spesis yang ada adalah ikan todak dengan rostrum seperti gergaji dan jerung zebra dengan tompok-tompok seperti harimau bintang di seluruh badannya.

Selepas puas bergambar dan mengenali spesis jerung, kami dibawa pula ke belakang tabir melihat proses pemindahan serta peralatan khas yang digunakan untuk mengangkut jerung dengan selamat. Kami juga belajar kaedah  pengangkutan dan proses kuarantin spesies jerung yang berbeza di taman ini.

VET LAB

Di sini juga, kami berpeluang ke Ocean Park Veterinary Centre untuk mendengar penerangan mengenai tugas harian Vaterinar. Semua sedia maklum, tugas mereka bukan hanya sekadar menjaga, namun mereka juga dipertanggungjawab untuk merawat haiwan keluar dan masuk dari taman ini. Fuh mencabar kan skop kerja mereka?

Cafe Ocean

Penat berjalan sambil menimba ilmu, kami bergerak pula ke sebuah restoran Halal di dalam Ocean Park. Persekitaran yang menarik dengan pemandangan Laut China Selatan membuatkan letih kami hilang sekelip mata. Makanan pun sedap-sedap belaka! Harga bermula dari HK$48 sehingga HK$188 (lebih kurang RM25-RM98).

Cable Car

Bagi kami yang gayat ni, pengalaman menaiki kereta kabel merupakan sesuatu yang menakjubkan. Berada setinggi 205 meter di atas laut, kami dapat melihat langit, bukit-bukau sekeliling dan pemandangan sekitar Ocean Park dari atas. Sangat memukau!

Bertemu Steppe Eagle dan Kinkajou

Turun sahaja dari Cable Car kami menuju ke Amazing Bird Theatre, The Waterfront untuk melihat persembahan, The Emperors of The Sky. Kami ditunjukkan species burung berharga dan memerhati pemangsa-pemangsa ini dengan lebih dekat. Kemudian, kami dikejutkan pula dengan kehadiran Kinkajou. Apa yang bestnya, kami berpeluang bergambar dengan binatang yang boleh dikatakan agak unik dan comel ini. Alahai rasa nak cium, tapi ingat tau binatang di sini semua di bawah penjagaan rapi dan anda tidak dibenarkan sewenang-wenangnya menyentuh mereka.

Old Hong Kong

Seterusnya, kami dibawa pula berjalan-jalan sekitar Old Hong Kong dimana pemandangannya sangat memuaskan. Memang cantik kalau OOTD di sini, sebijik macam dalam filem kungfu dulu-dulu. Disini juga, kami sempat membeli makanan ringan yang menjadi kegemaran penduduk tempatan contohnya puff telur, pancake dan bebola ikan.

The Grand Aquarium & Amazing Asian Animals

Selepas berhenti rehat seketika, kami teruskan perjalanan ke The Grand Aquarium iaitu perjalanan multisensory dari pesisir ke kedalaman paling gelap lautan. Pelbagai jenis spesis hidupan laut dapat dilihat disini. Macam dalam National Geographic pula rasanya.

Di Amazing Asian Animals pula, kami berpeluang melihat sendiri habitat spesis-spesis Asia yang berharga sebagai contoh panda gergasi, panda merah, mengkarung gergasi cina, memerang kecil mencakar Asia dan buaya China. Memang terhibur melihat telatah comel mereka!

Memandangkan masa yang ada sedikit terhad, kami terus pulang ke hotel untuk berehat dan menyegarkan badan sebelum bersiap untuk menikmati makan malam di Shanghai Min.

Nak balik dah… Eh nanti dulu!

Seawal jam 7 pagi kami sudah bangun untuk bersiap menikmati sarapan pagi yang lazat di Marina Kitchen & Marina Cafe. Perasaan teruja semakin melonjak apabila mendapat tahu kami bakal dibawa melihat walrus dan menaiki rides. Gayat oi!

Jumpa Walrus

Tidak pernah terlintas di fikiran untuk bertemu dengan species ‘rare’ iaitu Walrus ini. Selain dapat menyentuh, kami juga diberi peluang untuk memberi mereka makan. Di sini, hanya terdapat dua ekor Walrus dan dijaga dengan rapi agar spesisnya tidak terancam. Bayaran masuk untuk menikmati pengalaman ini adalah HK$360 (lebih kurang RM 190) setiap seorang.

Tuxedos Restaurant (Menu 4-Sajian Berasaskan Sayuran)

Jika semalam kami dibawa ke restoran makanan halal, hari ini kami disajikan pula dengan menu 4-sajian berasaskan sayuran. Apa yang menariknya, sayur-sayuran kreatif yang dibuat 100% daging berasaskan tumbuhan. Memang sedap, macam daging betul tapi tak sangka rupanya diperbuat dari sayur sahaja!

Ride on Ocean Park Tower

Saat yang paling ditunggu-tunggu sudahpun tiba! Memang teruja melihat pelbagai jenis permainan yang disediakan di sini. Oleh kerana masa yang ada terlalu singkat, kami perlu memilih beberapa jenis permainan sahaja. Jadi, kami membuat keputusan untuk menaiki Rev Booster, Whirly Bird dan Hair Raiser.

Macam nak gugur jantung saat menaiki Rev Booster, dengan tiga peringkat hayunan kami digoyangkan ke kiri dan kanan dengan sangat laju.

Manakala di Whirly Bird, kami merasakan seolah-olah berada di kapal terbang vintage dimana kami diangkat setinggi 30 meter dari tanah. Bagi mereka yang tidak suka kelajuan dan ketinggian, anda bolehlah cuba permainan ini.

Bagi yang sukakan cabaran, anda dicadangkan mencuba permainan Hair Raiser iaitu sejenis roller coaster tanpa lantai. Membawakan anda pemandangan Laut China Selatan, anda akan dibalikkan 360 darjah dengan kelajuan 88km/jam. Fuh dahsyat, menyesal naik!

Berangkat pulang, terima kasih Ocean Park!

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan, berat rasanya hati ini untuk meninggalkan kota Hong Kong. Tetapi apakan daya, kami perlu meneruskan tugas hakiki yang ditinggalkan sekejap di Kuala Lumpur.

Kami di Sirap Limau mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ocean Park kerana memberi peluang kepada kami menerokai taman tema unik ini. Pengalaman ini pastinya menjadi salah satu kenangan manis ini dalam hidup kami.

Jadi, kepada anda yang berminat mahu berkunjung ke sini anda bolehlah mula merancang perjalanan anda. Memang tak rugi, berbaloi-baloi!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×