40 Minggu

“Saya Terlalu Berdikari Hingga Terlupa Yang Saya Mengandung…”

25.9K
SHARES

Tempoh kehamilan 9 bulan memberikan pengalaman berbeza bagi setiap wanita yang bakal bergelar ibu. Ada yang mengalami kesukaran, dan ada juga yang terasa lebih dipermudahkan. Walau apapun, hakikatnya tempoh tersebut adalah saat yang mencabar.

Setiap yang dilakukan perlu diambil berat akan risikonya. Tak boleh pandang mudah. Jangan malu minta tolong. Tak kisahlah kalau ada pihak yang menganggap kita sebagai ‘manja’. Yang penting, ibu-ibu harus mengutamakan kesihatan diri masing-masing.

Dalam kesempatan ini, kami ingin berkongsi sebuah pengalaman duka yang dilalui Puan Zalmah Mat Amin. Semoga ia menjadi iktibar kepada semua pembaca, terutamanya bakal ibu dan ayah di luar sana.

Mari baca selanjutnya.

Kehamilan Kedua Membawa Seribu Satu Kegembiraan

Assalamualaikum ibu-ibu dan bakal-bakal ibu semua. Inilah kisah yang berlaku pada 29 Nov 2016, saya kongsikan supaya dapat diambil sebagai iktibar.

Kehamilan ini merupakan kehamilan kedua saya. Yang pertama kakaknya berumur 3 tahun lebih ketika saya disahkan hamil. Pada awal tempoh mengandungkan anak kedua ini, keadaan kesihatan saya memang baik dan tip top. Berbeza dengan masa mengandungkan kakaknya, saya ada diabetes dan darah tinggi – tapi masih under control.

Keadaan Kesihatan Mula Merosot

Episod sukar bermula apabila saya ditimpa pelbagai masalah dan ujian hidup. Ini semua menyebabkan saya stres dan teramat penat.

Pada bulan ke-3 kehamilan, doktor detect saya ada darah tinggi dan kencing kotor. Saya kena mula makan ubat darah tinggi dan pernah ditahan di wad selama 3 malam di HKL. Semua masalah ini menjadikan saya terlalu berdikari hingga saya terlupa yang saya mengandung…

Bayi Kurang Bergerak

Sepanjang kehamilan, saya selalu gagahkan diri hingga terlupa bayi saya dah terlalu penat di dalam perut. Saya selalu usap-usap perut saya dan menangis agar anak saya bertahan. Namun saya bersyukur sebab bayi saya sangat aktif dan menendang-nendang tak kira waktu.

Tapi dengan tak disangka-sangka pada bulan ke-7 kehamilan, bayi saya kurang bergerak. Saya pergi ke klinik dan akibat darah tinggi, saya dirujuk ke hospital.

Saya pilih Hospital Serdang sebab ia dekat dengan rumah. Saya ditahan di wad. Ubat darah tinggi dan sawan diberikan ikut saluran. Segala pakar masuk memeriksa keadaan saya.

Peluang 50/50

Saya diberitahu bahawa keadaan saya 50/50. Bayi saya tak mampu bertahan hingga cukup bulan disebabkan kurang air ketuban. Menurut doktor, kalau bayi cuba diselamatkan, ia sangat berisiko dan boleh membawa maut kepada saya sekali.

Oleh sebab itu, doktor pilih untuk mengutamakan keselamatan ibu. Masa itu hujan air mata selebat-lebatnya. Saya merayu pada doktor agar buatlah sehabis baik untuk selamatkan anak saya…

Akhirnya Bayi Pergi Meninggalkan Saya…

Allah Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa, bayi saya pergi juga meninggalkan saya dan dunia ini. Tenanglah sayang disana, bertemu Penciptamu. Tidak sedetik pun Mama lupakan sayang dan terlalu ingin bertemu sayang.

Mama titipkan salam rindu buat sayang setiap kali selepas solat. Mama terasa sangat ikatan antara kita walau kita berada di alam berbeza.

Pesan Buat Ibu Yang Sedang Mengandung

Sebenarnya terlalu banyak yang ingin saya kongsi, tapi cukup untuk kali ini dulu. Buat bakal-bakal ibu, jagalah kesihatan baik-baik, jangan buat kerja berat-berat. Makan ubat ikut waktu dan jangan cuba-cuba skip. Rehatlah secukup-cukupnya.

Buat anakku arwah Putra Muhamad Firas Firdawsi, mama bangga memiliki sayang, doakan Mama tabah menghadapi ujian-ujian hidup yang sementara ini. Sayang berkorban untuk mama disana. Mama, Papa dan kakak Mayra sangat merindui sayang.

29 Nov 2016.

*Coretan ini merupakan perkongsian asal oleh Puan Zalmah Mat Amin. Ia disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran. Mari kita sedekahkan Al-Fatihah buat anak syurga ini dan mendoakan ketabahan buat ibu ini serta ibu-ibu yang turut mengalami pengalaman yang serupa. 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×