40 Minggu

5 Sebab Suami Patut Temankan Isteri Mengandung Pergi ‘Check-up’

563
SHARES

“Abang, minggu depan saya ada ‘check-up’ di klinik ya. Abang nak pergi?”

“Tak apalah, awak boleh pergi sendiri kan? Abang banyak kerjalah…”

“Ok, tak apa…”

Setiap kali mengandung, temujanji dengan doktor adalah rutin yang perlu dilalui oleh ibu. Semakin hari, semakin sarat. Namun, ibu-ibu menggigihkan juga langkah demi memastikan kesihatan bayi dalam kandungan.

Memang isteri takkan memaksa dan boleh pergi sendiri ke klinik. Bahkan, kebanyakan wanita sendiri tidak mahu menyusahkan suami. Yalah, mereka pun faham ada suami yang terpaksa ambil cuti atau minta pelepasan untuk keluar setengah hari kalau nak teman ke klinik. Lagi pula, ada yang beranggapan tak ada apa yang terlalu penting untuk suami ambil tahu sepanjang proses tersebut.

Namun sebagai suami, apa salahnya sekali-sekala ikut sama pergi berjumpa doktor untuk temujanji. Ada banyak manfaatnya untuk anda bersama.

5 Sebab Suami Patut Temankan Isteri Pergi ‘Check-up’ Kandungan

Ini antara kelebihan suami bila temankan isteri pergi check-up bulanan. (Apapun diingatkan, yang dimaksudkan ini adalah suami yang betul-betul luangkan masa dengan isteri dan jumpa doktor. Bukan yang sekadar menunggu sambil main handphone ya.)

1. Berkongsi Ilmu & Pengalaman Berharga

Seorang doktor berpendapat, suami patut menemani isteri sekurang-kurangnya sekali dalam trimester pertama, sekali dalam dalam trimester kedua, dan lebih kerap dalam trimester ketiga.

Temujanji pertama membantu suami menerangkan kondisi atau sejarah kesihatan keluarga dari sebelahnya. Manakala pertemuan dalam trimester kedua membolehkan suami mendengar degupan jantung, atau melihat gambar ultrasound bayi buat kali pertama. Dalam setiap pertemuan juga, doktor akan memberitahu tentang perkembangan janin dan tahap kesihatan isteri.

Semua ini dapat memberikan ilmu, persediaan, serta pengalaman yang begitu emosional kepada suami. Secara tidak langsung, proses ini juga memudahkan suami untuk bonding dengan bayi sejak dalam kandungan lagi.

tugas suami semasa isteri mengandung

Foto Kredit: suntmamica.ro

2. Sokongan Moral

Bukan mudah nak menghadiri temu janji dengan doktor setiap bulan. Macam-macam prosedur yang perlu dilalui. Ambil air kencing, ujian darah, minum air gula – lebih-lebih lagi kalau isteri menghadapi masalah tertentu seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti, Hb rendah, dan sebagainya.

Bila doktor terangkan risiko-risiko penyakit ini, tentu ada isteri yang berasa sedih, lemah semangat, bimbang, dan menyalahkan diri sendiri. Sedangkan dah pelbagai usaha dilakukan untuk menambahbaik mutu kesihatan mereka –  dah diet, makan makanan yang disarankan, dan buat senaman, tapi – Hb masih low. Berat badan pula naik berlebihan. Bingungnya, apa lagi patut dibuat?

Sekurang-kurangnya dengan menemani isteri, dapatlah mereka meluahkan perasaan dan sama-sama memikirkan tindakan yang sesuai. Dengan cara ini, ia nampak sebagai ‘kerja kumpulan’ dan isteri tidaklah terlalu stres dan terbeban, bukan?

mengandung uri di bawah

Foto Kredit: Voisin/Phanie / Rex Features

3. Prihatin Terhadap Keadaan Kesihatan Isteri

Sakit belakang, kerap ke tandas, pedih ulu hati, loya, mual  – kalau kita tak tahu keadaan mereka, mungkin kita anggap ia adalah perkara remeh saja.

Tapi, apabila kita benar-benar memahami apa yang diterangkan oleh doktor semasa temujanji, barulah kita akan faham betapa besarnya pengorbanan isteri yang terpaksa melalui semua ini dari hari ke hari demi melahirkan zuriat.

Foto Kredit: gemini.no

4. Peka Terhadap Persediaan Bersalin

Ada suami yang bila ditanya isteri mengandung berapa bulan, masih tergagap-gagap nak menjawab. Kalau rajin temankan isteri check-up, mesti bakal bapa lebih up-to-date dengan perkembangan bayi dalam kandungan dari minggu ke minggu.

Sambil menunggu, suami isteri pun boleh berbincang dan menambah ilmu pengetahuan tentang persediaan untuk bersalin. Contohnya, tanda-tanda bersalin, cara meneran yang betul, prosedur bersalin di hospital, dokumen yang diperlukan dan macam-macam lagi.

Kadang-kadang isteri bukannya boleh ingat semua perkara ini. Jadi, kalau ada 2 orang yang mendengarnya tentu lebih baik. Lagipun, nanti bila masuk bilik bersalin, taklah terpinga-pinga dan panik pula!

Foto Kredit: dusbus.com

5. Ia Memudahkan Isteri

Memang isteri akan kata ‘tak apa’ dan ‘saya boleh pergi sendiri’, tapi bayangkan sajalah betapa gembiranya mereka kalau suami ada bersama di sisi.

Terutamanya yang terpaksa membawa anak-anak lain yang masih kecil ikut bersama ke klinik. Nak bawa masuk bilik doktor pun susah, apatah lagi kalau terpaksa ke tandas. Anak-anak menangis dan berlari-lari tak tahu ke mana. Mesti letih nak menguruskan semua ini dalam keadaan sarat mengandung.

minum kopi semasa hamil

Foto Kredit: nokshe.com

Isteri Tak Minta Dilayan Macam Puteri

Isteri mana yang tak seronok jika sang suami sentiasa berada di sisi. Namun, isteri bukanlah minta dilayan bak puteri. Cukuplah suami menunjukkan cinta dan kasih sayang melalui keprihatinan mereka sepanjang tempoh kehamilan. Walaupun isteri yang mengandung, namun tentu lebih manis kalau susah senang dan sakit demam semua tetap dilalui bersama.

Jadi, Encik Suami berkorbanlah sedikit dan pergilah temankan isteri anda pergi ‘check-up’ mengandung walaupun sekali. Ia sungguh berharga bagi isteri sekalipun anda mungkin tidak menyedarinya!

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×