40 Minggu

Jangan Lengah Bila Bayi Dalam Kandungan Kurang Gerak, Ini 6 Perkara Perlu ‘Alert’

439
SHARES

“Alahai, lecehnya nak kena kira gerak baby ni. Selalu terlupa je… Kalau tak kira, bahaya ke?”

Sensasi gerakan bayi dalam kandungan biasanya dapat dirasai sekitar minggu ke-18 kandungan. Ia bukan saja melahirkan rasa teruja bagi bakal ibu, tetapi ia juga adalah petanda penting terhadap kesihatan bayi.

Semakin bayi besar, pergerakan yang dilakukan apabila meregangkan kaki dan tangan akan semakin terasa. Seiring dengan itu, doktor atau jururawat juga akan meminta anda memantau pergerakan bayi setiap hari.

Berikut adalah serba-sedikit maklumat yang perlu kita tahu berkaitan pergerakan bayi dalam kandungan.

Bila Bayi Dalam Kandungan Kurang Gerak, Ini 6 Perkara Perlu ‘Alert’

1. Bila Perlu Mula Kira Gerakan Bayi

Jika anda menjalani rutin pemeriksaan di klinik kerajaan, jururawat akan memberi satu carta khas untuk anda menandakan pergerakan bayi setiap hari, bermula sekitar minggu ke-28 kehamilan.

Menurut Dr Muhammad Izzat melalui The Malaysian Medical Gazette, pergerakan bayi yang baik memberikan isyarat kepada ibu bahawa bayi berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan.

Maka sekiranya berlaku perubahan atau kurangnya pergerakan bayi berbanding normal, ianya mungkin tanda-tanda awal bayi anda tidak sihat. Hal ini adalah serius dan ia memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.

bayi menendang

Foto Kredit: bogglingfacts.com

2. Berapa Kali Bayi Perlu Bergerak Dalam Sehari?

Secara tepatnya, tak ada jumlah tendangan yang tetap dan perlu dirasa. Ini kerana, setiap bayi mempunyai corak tidur dan keaktifan yang berbeza. Namun, proses menandakan carta sedikit sebanyak dapat membantu ibu memahami corak pergerakan bayi setiap hari.

Pada awalnya mungkin anda teragak-agak dan berasa kekok untuk mengira gerakan bayi. Tapi bila dah biasa, anda akan dapat mengagak waktu serta corak pergerakan bayi yang aktif.

Foto Kredit : shumis.net

3. Cara Kira Gerakan Bayi

Merujuk kepada carta pergerakan bayi yang diberikan oleh Klinik Kesihatan, mereka mencadangkan agar kiraan sehingga 10 kali pergerakan perlu dicatatkan setiap hari bermula jam 9 pagi. Gerakan ini tidak kiralah sama ada tendangan, gulungan, tumbukan atau pergerakan lain dalam tempoh 12 jam.

Semua pergerakan bayi akan dikira sebagai satu gerakan apabila bayi bergerak dalam jangka masa yang agak lama atau terhenti-henti. Maksudnya, jika bayi mula bergerak, kemudian berhenti selama beberapa saat dan bergerak kembali, itu masih dikira satu pergerakan. Pergerakan seterusnya hanya akan dikira jika ia berlaku selepas 30 minit berikutnya.

4. Apa Perlu Buat Kalau Terlupa Kira Gerakan Bayi?

Memang mudah untuk kita terlupa mencatat pergerakan bayi, lebih-lebih lagi apabila kita sibuk melakukan kerja-kerja harian atau tengah travel dari satu tempat ke tempat lain.

Tapi bila dah teringat, kita bolehlah buat beberapa rangsangan untuk merasakan pergerakan bayi. Menurut BabyCenter, berikut adalah antara perkara yang boleh dilakukan:

  • Angkat kaki ke atas dan relaks. Bayi lebih mudah terjaga apabila anda duduk diam kerana semasa anda sibuk bergerak bayi mungkin tertidur kerana terasa seperti dibuai.
  • Berbaring mengiring.
  • Minum air / air yang sangat sejuk. Bayi anda mungkin dapat merasakan perubahan suhu dalam badan anda dan cuba untuk mengelak daripadanya.
  • Buat bunyi bising, mainkan muzik, zikir, dan sebagainya. Cuba lihat tindak balas daripadanya.

Jika bayi anda mula bergerak selepas anda melakukan rangsangan ini, kemungkinan besar bayi anda tak apa-apa. Namun, pastikan anda terus memantau pergerakannya pada jam-jam berikutnya.

tanda kontraksi

Foto Kredit: mashable.com

5. Risiko Bayi Kurang Gerak

Selepas tempoh 28 minggu, pergerakan bayi yang kurang aktif boleh menjadi sesuatu yang serius. Ia mungkin petanda bagi beberapa masalah seperti:

  • kebocoran air ketuban
  • bayi berhenti membesar
  • bayi mengalami hipoksia (tali plasenta tidak dapat mengalirkan darah yang penuh oksigen dan nutrien kepada bayi)
  • kematian bayi dalam kandungan

Oleh sebab itu, ibu-ibu dinasihatkan agar tidak culas memantau pergerakan bayi setiap hari. Kalau rasa tak sedap hati, jangan teragak-agak dan terus ke klinik atau hospital yang berdekatan.

Perkembangan Janin Dalam Kandungan

6. Apa Yang Doktor Akan Buat Bila Bayi Kurang Gerak?

Untuk memeriksa kesihatan kandungan, pihak hospital akan memantau kadar degupan jantungnya terlebih dahulu. Jika ia kurang memuaskan, doktor akan melakukan imbasan (scan) untuk melihat jumlah air ketuban serta kadar tumbesaran bayi.

Sekiranya terdapat masalah serius pada perkembangan bayi, ibu mungkin akan ditahan wad dan dicadangkan untuk melahirkan bayi secepat mungkin.

mengandung uri di bawah

Foto Kredit: Voisin/Phanie / Rex Features

PENTING: Jangan Membuat Andaian Dan Mendengar Nasihat Yang Salah

Menurut doktor Imelda Balchin, kebanyakan ibu di luar sana yang terlambat menyelamatkan anak yang dikandung dek kerana mendengar nasihat dan sangkaan yang salah.

Antaranya:

  • Pergerakan janin memang akan berkurangan bila semakin matang. Ini adalah nasihat yang salah.
  • Pergerakan janin akan berkurang apabila ibu berpuasa. Ini juga nasihat yang salah.

Jadi, ibu-ibu perlu lebih ‘alert’ dan sentiasa memantau kecergasan pergerakan bayi dalam kandungan. Jangan sambil lewa dan ambil mudah. Kalau terlambat dikesan, nyawa bayi mungkin berada dalam bahaya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×