40 Minggu

“Mama Lepaskan Aira Ya Sayang. Jumpa Mama Di Syurga… “

36.9K
SHARES
bayi pramatang

Assalamualaikum.

Tarikh 16 September 2015 takkan pernah aku lupakan.
Tahun lepas pada tarikh yang sama anakandaku dalam keadaan kritikal, iaitu selepas 13 hari kelahirannya.

Coretan ini adalah serba sedikit tentang pengalaman 13 hari suka duka bersama bayi pramatang aku, Aira Bahirah yang terpaksa dilahirkan sebelum waktunya.

Punca Bayi Pramatang

Arwah dilahirkan 3 September 2015 dengan berat 670gram pada usia kandungan 28 minggu.
Aku mengalami pre-eclampsia iaitu darah tinggi dan masalah tinggi protein dalam urin.
Bayi pulak IUGR (Intrauterine growth restriction) bermaksud saiz bayi amat kecil berbanding kadar umurnya.

Disebabkan pre-eclampsia bayi terpaksa dikeluarkan demi menyelamatkan ibu. Risiko adalah tinggi pada ibu jika bayi tidak dikeluarkan dengan segera.

7 Kelebihan Mengandung, Ibu Hamil Mesti Tahu!

Foto Kredit: babycenter.in

Bermula Dengan Kurang Gerak

Pada 29 & 30 Ogos  berlangsungnya majlis perkahwinan adikku. Aku memang banyak bergerak, tak berhenti buat kerja.

Waktu habis majlis pada 30 haribulan, aku perasan bayi kurang gerak. Dalam hati fikirkan mungkin bayi penat.

Yalah, Mama pun penat. Tapi, sehingga tiba waktu malam, masih kurang bergerak. Tak rasa tendangan kuat mcm biasa.

Aku buat keputusan untuk pergi ke KPJ Kajang. Tapi menghampakan. Mereka scan katanya bayi OK, tapi oksigen ibu kurang. Kuku kaki ku biru kehitaman, tapi aku diminta pulang kerana katanya normal sahaja.
Aku ingat lagi waktu itu bunga api berdentum-dentam nak masuk Merdeka. Aku pun pulang dengan hati yang resah.

bayi pramatang

Foto Kredit: youtube.com

Rasa Tak Sedap Hati

Esok pagi aku masih monitor pergerakan bayi. Tapi malangnya masih sama. Pagi itu aku terus ke klinik As-Salam Bangi. Alhamdulillah, Dr Rosma menerangkan kepada aku dengan begitu terperinci. Memang bayi dalam keadaan tak memuaskan.

Aku diminta segera ke hospital dan doktor bagi surat rujukan.
Aku terus ke Azzahrah Bangi tengah hari itu.

Bertambah sedih bila doktor bagitahu memang keadaan bayi membimbangkan kerana aliran darah dalam tali pusat bayi bermasalah. Jadi, kena segera bersalin.

Masa itu macam-macam perkara bermain dalam otak. Mana tidaknya, bayi baru berusia 28 minggu.

Proses Bersalin Disegerakan

Saya dikenakan suntikan dexa dos pertama dan doktor minta aku ke Hospital Putrajaya untuk bersalin bayi pramatang.

Aku buat keputusan untuk bersalin di KPJ Damansara memandangkan di sana ada cousin aku seorang doktor yang memang dikhaskan untuk menjaga kes bayi pramatang (premature baby).

Sampai sahaja di sana terus admitted dan dapat suntikan dexa kedua. Doktor monitor dalam bilik bersalin sementara wad disediakan.
Keesokan harinya aku ditempatkan dalam wad.

Komplikasi Bertambah Teruk

1 September -Doktor masih monitor keadaan bayi dan Mama. Macam-macam sampel darah dan urin diambil.

2 September – Tanda-tanda badan Mama lemah dah mula nampak. Muka merah macam udang terbakar. Badan terasa hangat padahal semua orang sejuk. Muka jadi bengkak. Kaki bengkak teruk. Malamnya langsung tak boleh tidur. Perut pula mengeras.
Kepala pening terhuyung-hayang…

3 September – Subuh itu, doktor periksa tekanan darah Mama terlalu tinggi. Mata Mama dah gelap. Tak nampak apa. Mama terbaring tanpa suara. Mata tertutup.. Allah.. Gelap nya duniaku..

Doktor buat keputusan untuk buat pembedahan pagi ini terus.
Jantung mama berderau dengar. Tapi tak mampu berbuat apa.

Jam 9 pagi mama ditolak ke bilik pembedahan dan tak lama selepas itu lahirlah bidadari mama.
Mama dimasukkan ke ICU untuk pastikan keadaan kembali stabil. Alhamdulillah bayi pramatang ini sihat dan sempurna.

Pertama Kali Menjenguk Bayi Di NICU

Hari ke-3 baru Mama dapat tengok bayi dalam NICU. Bayi pramatang diletakkan dalam incubator. Besarnya hanya sebesar tapak tangan orang lelaki. Bayi perlukan bantuan sokongan oksigen.

Syukurlah hari pertama dah dapat buang air besar dan kecil.

Bermulalah rutin memerah susu dan hantar ke NICU. Rutin diulang setiap hari walaupun Mama dah balik ke rumah.

Lega hati ini bila dapat perah susu untuk si manja

Mama Ditahan Wad Semula

12 September – Luka pembedahan Caesarean Mama bernanah, mungkin terlalu aktif berulang-alik ke Hospital Bangi – Damansara.

Walapun ditahan wad, lebih senang nak jumpa bayi. Sebab dah dekat, tidaklah selasak sebelumnya.

15 September – Mama dah boleh keluar, tapi Mama minta pada doktor untuk tinggal sehari lagi. Mama penat nak ulang alik nak hantar susu. Untuk pengetahuan, Mama pam susu selalu dapat 1-2 oz.

16 September – Subuh itu, susu mama drop. Setitik pun tak keluar. Mama menangis semahunya dalam wad.
NICU call, susu dah habis stok. Mama kena segera pam susu. Dari jam 4am susu mula menyusut.

Allah, bersalah sangat saat ini. Semua teknik untuk banyakkan susu Mama dah buat. Tapi tak berhasil.

Pada pukul 12 tengahari, NICU call lagi cakap waktu menyusu bayi dah 5 kali terlepas. Baby lapar sangat. Saat ini airmata Mama laju sangat.

Puas mengepam, tapi masih tak ada setitik pun susu yang keluar. Apa Mama perlu buat? Ya Allah…

Jam 4 petang, NICU call lagi. Nurse beritahu tak payah pam susu lagi sebab doktor tengah monitor bayi.
Mama tak faham masa tu…

Bayi Tak Stabil

Tepat azan maghrib, NICU call kata keadaan bayi dah tak stabil.

Ya Allah.. Menggeletar seluruh tubuh mama. Terus mama menangis cakap pada nurse.. “Nurse betul ke ni? Jangan main-main.. Jangan cakap macam tu nurse.”

Masa ini Mak dan adik-adik ada disisi. Suamiku jauh di Terengganu.
Terus Mak datang peluk-peluk. Ya Allah sebak sangat.

Aku terus call suami cakap anak tak stabil. Balik sekarang.

Suami kata, “Tak ada apa-apa InshaaAllah ok tu.” Masa ni rasa mcm nak jerit. Anak kita tak stabil awak boleh kata ok? Haih sakit hati.

Saat Terakhir Bertarung Nyawa

Jam 8.30 NICU call, diminta Mama datang segera. Bayi dah koma. Masa ini Mama tak menangis. Tapi Mama diam. Mama call Papa tapi Papa kata adik akan ok. Mama beritahu doktor, doktor call Papa, baru Papa percaya dan terus segera bergerak dari Terengganu.

Ketika ini, Mama tengok bayi penat sangat. Mama diam. Tak ada kata-kata yang keluar. Mak dan adik lelaki temankan dalam NICU. 3 kali jantung bayi drop dan doktor buat CPR.

Sampai kali yang ke-4 doktor tanya “Macam mana?”
Mama kata, “Biarkanlah. ‘Let go’ saja,” sambil air mata laju bercucuran.

Doktor tanya nak pangku bayi tak? Mama kata nak.

Lantas doktor keluarkan bayi dari incubator bagi Mama dukung. Inilah kali pertama Mama dukung baby.. Peluk baby.. Cium baby..
Sebak sangat.

Saat ni mama cakap pada baby:
“Aira… Mama sayang Aira.. Mama tak sanggup tengok Aira sakit.. Mama lepaskan Aira ya sayang… Mama halalkan semua susu mama pada Aira… Jumpa Mama di syurga.. Aira tunggu Mama tau…”

Mama cium dahi sejuk itu. Sekali nafas Aira pergi. Tepat jam 12 tengah malam. Skrin pada monitor menunjukkan jantung bayi dah 0.

Aira disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah.

Masa ini Mama dah tak menangis. Mama tahu Aira dah berada di taman syurga.

Hujan Renyai Mengiringi Pemergianmu

Alhamdulillah tepat jam 3 pagi kami sampai di rumah. Papa juga sampai dari Terengganu.

Bayi dikebumikan jam 9 pagi. Hujan renyai membasahi bumi. Sama macam Mama, air mata membasahi pipi.

Lahirmu pada hari Khamis 12 tengah hari
Pergimu pada hari Khamis 12 tengah malam

3/9/15-17/9/15

Wildan ku Nurul Aira Bahirah
Alfatihah..
Mama sayang Aira dunia akhirat. U will always be my baby..

 

*Tulisan asal oleh Puan Nurul Aisyah Abd Wahab ini diterbitkan semula atas kebenaran beliau.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×