“Adui… Rasa berdenyut-denyut dekat jahitan bersalin ni. Ni baru 2 hari, dah rasa tak tahan. Macam mana nak sembuhkan luka bersalin dengan cepat ye?”
Kebanyakan wanita yang melahirkan bayi secara normal akan melalui proses episiotomi, iaitu guntingan yang dibuat pada bahagian perineum. Tujuan prosedur ini dilakukan adalah untuk membantu ibu bersalin dengan lancar dan mudah, di samping mengelakkan komplikasi yang lebih buruk seperti koyakan atau bayi lemas (fetal distress).
Bergantung kepada berapa besar guntingan yang dibuat, tentunya bahagian perineum anda akan berasa sakit apabila dijahit semula. Pada masa tertentu, terutamanya pada waktu malam atau ketika bayi menyusu badan, rahim anda akan terasa mengecut dan rasa sakit pada bahagian jahitan mungkin akan berasa lebih tajam.
8 Tips Kurangkan Sakit & Sembuhkan Luka Bersalin Dengan Cepat
Berikut adalah panduan penjagaan luka bersalin yang boleh anda lakukan di rumah agar kesakitan dapat dikurangkan serta dapat sembuh dengan cepat.
1. Sapu Ubat Antiseptik Yang Diberi Oleh Doktor
Sebelum pulang dari hospital, biasanya doktor akan memberi ubat antiseptik yang perlu anda sapukan pada bahagian jahitan luka bersalin. Jadi, jangan lupa lakukan rutin menyapu ubat ini setiap hari.
Oleh kerana luka jahitan episiotomi sukar dijangkau dan tidak dapat dilihat dengan jelas, anda boleh menggunakan cermin. Anda juga boleh meminta pasangan anda membantu menyapukannya dalam hari-hari terawal selepas bersalin.
2. Keringkan Luka Jahitan
Cuba dedahkan jahitan pada udara setiap kali selepas mandi atau ke bilik air. Tanggalkan seluar dalam dan biarkan jahitan tersebut kering sebelum anda memakai semula seluar dalam.
Lakukan rutin ini selama lebih-kurang 10 minit beberapa kali setiap hari.
3. Tukar Tuala Wanita Dengan Kerap
Tukarlah tuala wanita (pad) anda dengan kerap, iaitu setiap 2-4 jam untuk mengekalkan kebersihan.
Selepas membuang air, lapkan kemaluan dari depan ke belakang dengan tisu atau kain bersih. Gunakan sanitizer atau cuci tangan dengan bersih bagi mengelakkan jangkitan.
4. Mandi Air Suam
Mandi dengan air suam dapat membantu memberi kelegaan dan keselesaan pada tubuh serta bekas jahitan.
Semasa membuang air kecil, alirkan air suam pada bahagian kemaluan dan bekas jahitan. Tindakan ini akan mencairkan air kencing dan mengurangkan kepedihan yang dirasai.
5. Tuaman Sejuk
Selain itu, anda boleh melakukan tuaman sejuk pada bekas jahitan episiotomi. Tuaman sejuk boleh dilakukan dengan membalutkan beberapa ketul ais dengan tuala bersih atau menggunakan cooling pack.
Apabila berasa kebas, ia dapat membantu mengurangkan rasa sakit.
6. Minum Air Secukupnya
Jangan lupa minum air kosong secukupnya di samping makan makanan yang kaya serat seperti buah-buahan dan sayuran. Selain mengelakkan sembelit, kekurangan air boleh menyebabkan tubuh kita lebih sensitif terhadap kesakitan.
7. Senaman Kegel
Bila ada kesempatan, amalkan senaman kegel (senaman kemut / senaman lantai pelvis). Senaman ini mampu mempercepatkan proses pemulihan jahitan episiotomi.
Untuk mengetahui cara melakukan senaman ini, rujuk artikel INI.
8. Makan Ubat Tahan Sakit
Jika masih terasa sakit selepas pelbagai cara dilakukan, anda dibolehkan mengambil ubat tahan sakit seperti paracetamol dalam dos yang dipreskripsikan oleh doktor.
Perlukah Saya Risau?
Sepatutnya rasa sakit akan mulai berkurang dan semakin reda dari hari ke hari. Oleh itu, pastikan anda sentiasa mengambil berat tentang penjagaan luka episiotomi. Sekiranya terdapat simptom ini, jangan berlengah untuk berjumpa doktor:
- Rasa semakin sakit pada jahitan
- Kemerahan atau bengkak
- Lendiran atau nanah yang berbau di sekitar kawasan jahitan
- Demam panas
- Keluar darah beku
- Tak dapat membuang air besar selepas 4 hari
Banyakkan Berehat
Akhir sekali, pastikan anda mendapatkan rehat secukupnya. Ia bukan saja penting untuk pemulihan luka jahitan, tetapi untuk mengembalikan kesihatan tubuh anda seluruhnya.
*Sumber rujukan: MedLinePlus, Babycenter