“Eh, boleh ke bersalin tanpa jahitan? Macam tak percaya je. Apa agaknya tips mudah bersalin yang diamalkan oleh mereka?”
Sekali dengar, memang sukar dipercayai bahawa ada segelintir wanita yang berjaya melahirkan bayi secara normal tanpa memerlukan jahitan. Jahitan bersalin atau secara medikalnya digelar episiotomi adalah potongan yang dibuat pada perineum (antara jalan lahir bayi dan anus). Potongan ini dilakukan bagi membantu melebarkan laluan kelahiran bayi dan mengelakkan koyakan yang serius.
Walaupun episiotomi bukanlah dikategorikan sebagai pembedahan major seperti pembedahan Caesarean, tentu ramai yang ingin mengelakkannya selagi boleh. Di sini, kami kongsikan beberapa petua dan tips mudah bersalin yang selalu diamalkan oleh ibu-ibu di Malaysia.
7 Tips Mudah Bersalin Tanpa Jahitan Dan Koyakan
Berikut adalah beberapa tips mudah bersalin secara normal yang boleh diamalkan oleh anda yang sedang mengandung.
1. Kuasai Teknik Pernafasan
Menjelang kelahiran, anda mesti menyimpan tenaga anda seberapa banyak yang boleh. Dengan cara ini, anda mampu membekalkan oksigen yang secukupnya kepada bayi anda untuk membantunya menghadapi stres semasa dilahirkan. Menurut BabyCenter, teknik pernafasan beritma boleh membantu menghadapi proses bersalin yang mudah.
Antara cara yang boleh anda praktis adalah seperti berikut:
Tarik nafas dalam kiraan 5, lepaskan dalam kiraan 8. Hembusan yang lebih perlahan adalah lebih bagus. Kekalkan ritma pernafasan ini. Jangan biarkan tarikan nafas menjadi lebih panjang daripada hembusan. Dalam keadaan apa sekalipun, hembusan nafas sepatutnya lebih panjang daripada tarikan nafas.
2. Senaman Kegel / Senaman Lantai Pelvik
Menurut laman web perubatan MayoClinic, senaman dapat membantu anda membina kekuatan dan stamina. Antara senaman yang paling disarankan adalah senaman Kegel atau senaman lantai pelvik kerana ia memfokuskan pada bahagian peranakan wanita.
Cara melakukan senaman Kegel sangat mudah dan anda boleh melakukannya di mana saja, walaupun semasa menghadap komputer di pejabat!
Berikut adalah cara melakukan senaman Kegel:
- Kemutkan otot pelvis seperti tindakan menahan kencing.
- Tahan selama 5 saat
- Lepas tu, anda lepaskan perlahan-lahan dan rehat
- Ulangi 25 kali setiap satu sesi. Lakukannya 2-3 kali sehari.
- Jangan kecutkan otot perut atau punggung semasa senaman. Ia tidak diperlukan semasa senaman kegel ini dan boleh mengelirukan anda tentang otot sebenar yang anda kecutkan
Senaman lantai pelvik juga boleh dilakukan dan amat bermanfaat untuk anda yang bakal melahirkan. Antaranya adalah posisi ‘The Bridge’ seperti dalam gambar di bawah:
3. Cara Meneran Yang Betul
Belajar cara meneran dengan betul adalah penting untuk mengelakkan koyakan perineum atau episiotomi. Anda perlu kekalkan pernafasan yang tenang dan tidak seharusnya meneran sebelum mendapat insyarat daripada doktor kerana ia boleh mencederakan bahagian perineum.
Ketika hampir bersalin, praktiskan posisi ini bersama suami. Ini kerana, mungkin anda akan panik dan suami boleh membantu untuk ingatkan kita teknik yang betul.
Rapatkan dagu ke dada dan anda berkeadaan sama seperti udang membengkok. Biarkan belakang badan anda menyentuh katil. Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen dan ke bawah seperti diarahkan oleh doktor dan jururawat. Semasa datangnya kontraksi, tarik nafas dan teran selama yang boleh. Lakukan 2-3 kali dalam satu tempoh kontraksi.
Perlu diingat, meneran haruslah dari bahagian abdomen ke punggung seperti membuang air besar. Ketika kepala bayi mula kelihatan, teruskan meneran dan kawal perlahan-lahan untuk mengelakkan koyakan besar.
Elakkan mengangkat punggung ketika meneran kerana ia boleh mengakibatkan koyakan! Pegang pergelangan kaki agar punggung tidak terangkat ketika meneran.
4. Urutan Perineum
Penelitian dan sumber kesihatan menunjukkan bahwa urutan pada bahagian perineum beberapa minggu menjelang tarikh jangka bersalin dapat mengurangkan risiko episiotomi.
Urutan ini boleh dilakukan dua kali seminggu dengan memasukkan satu atau dua jari ke vagina, kemudian menekannya ke arah perineum. Proses ini boleh dilakukan sendiri di rumah.
Caranya:
- Cuci tangan dengan air suam dan sabun. Pastikan kuku anda telah dipotong pendek dan bersih.
- Pilih posisi yang selesa. Anda boleh lakukannya secara duduk, berbaring, atau meletakkan satu kaki di atas kerusi. Anda juga boleh melakukan urutan ini di dalam tab mandi atau pancuran air panas kerana kehangatan air dapat membantu melembutkan tisu perineum.
- Setelah mendapat keselesaan, tempatkan jari ke dalam vagina dan tekan sedikit hingga anda merasakan sedikit sensasi. Anda boleh gunakan sedikit minyak vitamin E atau minyak kelapa dara untuk melancarkan bukaan perineum ini.
- Kemudian, buat urutan dengan gerakan U pada sekitar dinding vagina. Sebagai permulaan, lakukannya selama seminit dan tingkatkan masa urutan sehingga 5 minit bagi setiap sesi.
Selepas beberapa minggu, anda akan mendapati kulit dan otot pada bahagian vagina akan menjadi lebih anjal. Menurut Clare Herbert, panel BabyCenter, urutan ini juga boleh membantu mengurangkan kesakitan semasa tempoh berpantang.
5. Minyak Zaitun / Minyak Kelapa Dara
Sesetengah ibu menasihatkan agar mengamalkan meminum minyak zaitun setiap hari untuk membantu memberi nutrisi baik dan melancarkan proses bersalin dengan mudah.
Selain itu, ramai juga berpendapat minyak kelapa dara amat baik untuk diminum mahupun digunakan sebagai urutan pada perineum kerana khasiatnya yang luarbiasa.
6. Doa / Zikir / Meditasi
Hafalkan doa, zikir, atau lakukan meditasi supaya anda dapat mengawal stres sepanjang mengandung dan sewaktu menjelang kelahiran. Ini penting kerana stres dapat menyebabkan masalah kepada proses kelahiran.
Antara doa yang boleh diamalkan adalah:
Doa amalan selanjutnya beserta maksud boleh anda dapati di pautan ini: https://siraplimau.com/doa-amalan-semasa-mengandung-menurut-islam/
7. Jaga Pemakanan
Akhir sekali, jangan lupa ambil makanan yang berkhasiat dan kaya nutrisi. Ianya penting untuk memastikan kulit anda sihat dan tubuh anda cergas sewaktu menahan kontraksi yang boleh memakan masa berjam-jam lamanya.
Banyakkan mengambil makanan sunnah dan terbukti khasiatnya seperti kurma, kacang badam, pistachio, serta buah-buahan segar yang lain.
Jangan Panik Ya!
Apa pun, penting untuk anda memahami bahawa proses bersalin memang menyakitkan. Namun, ia tak mustahil dapat diatasi dengan persediaan fizikal, mental dan rohani yang cukup. Selain itu, anda digalakkan menyertai kelas-kelas pra-natal yang banyak dianjurkan di klinik dan hospital.
Nak dengar tips mudah bersalin dan apa kata ibu-ibu yang berjaya melaluinya? Ikuti perbincangan mereka di sini.