Setiap kali meluangkan masa membaca perkongsian-perkongsian menarik di laman media sosial, pasti ada sahaja kisah menyayat hati yang melibatkan orang tua. Pastinya kisah-kisah sebegini akan mengingatkan kita terhadap ibu bapa kita sendiri sama ada yang berada dekat ataupun jauh.
Begitu juga dengan perkongsian seorang gadis di Twitter, Nafeesya, dimana dia berkongsi kisah sedih yang dihadapinya ketika mengambil kawannya di Amanjaya. Ketika dalam perjalanan pulang menghantar kawannya, dia terjumpa seorang pakcik meminta bantuannya untuk menghantar pulang ke rumah. Pada mulanya, Nafeesya berasa agak takut kerana kejadian tersebut terjadi hampir pukul 12 tengah malam.
Kesian, dan terbayang ayah sendiri
Setelah Nafeesya mengambil kawannya, terdapat seorang pakcik yang meminta bantuannya untuk dihantar pulang ke rumah. Pakcik tersebut turut memberikan alasan bahawa rumahnya tidak jauh dan dia tidak mempunyai sebarang tambang wang untuk pulang ke rumah. Nafeesya ketika itu tidak berfikir panjang dan mula rasa kasihan terhadap pakcik tersebut.
Lepas dia cakap rumah dia dekat Kg. Temin, I pun blur kejap sebab tak pernah dengar, and tak expect pun kg tu dekat Sungai Siput, Pakcik tu dah naik kereta, takkan I nak cakap tak boleh hantar, I tak sampai hati. At last terus Waze Hospital Sungai Siput, dalam hati dah tawakal, niat memang nak tolong pakcik ni tapi andai kata ada benda tak elok nak jadi, tak tahu lah nak cakap apa.
Ketika itu, Nafeesya masih berbelah bahagi dengan tindakannya dan pasrah dengan apa yang bakal terjadi. Dia ketika itu hanya ingin membantu menghantar pakcik itu balik dengan selamat.
Sempat ‘update location’ kepada kawan
Foto: Nafeesya
Dia ketika itu juga sempat berkongsikan lokasinya dalam group Whatsapp rakan supaya berjaga-jaga jika terjadi sesuatu yang buruk kepadanya. Nafeesya hanya menurut segala kata-kata pakcik itu tanpa mempersoalkan dengan lebih lanjut.
Ketika jam hampir menunjukkan 11.45 malam, jalan yang dilaluinya benar-benar sunyi. Kiri dan kanan jalan tidak mempunyai sebarang kereta dan hanya kereta dia yang menggunakan jalan tersebut.
Ikut arahan pakcik ke rumah
Video: Nafeesya
Nafeesya juga sempat merakam setiap detik bersama pakcik tersebut. Menerusi video tersebut, Nafeesya menjelaskan bahawa dia mengikut arahan yang diberikan oleh pakcik itu. Ujarnya, pakcik itu mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan yang semakin terhad.
Dia juga ketika itu sudah pasrah dan meletakkan kepercayaan kepada Tuhan jika sesuatu yang buruk terjadi kepadanya. Sepanjang perjalanan, pakcik tersebut rajin bercerita mengenai perihal hidupnya. Menurut pakcik itu dia mempunyai enam orang anak, empat lelaki dan dua perempuan.
Ketika kejadian, pakcik itu sempat meluahkan perasaannya, dan menyatakan bahawa dia tidak lagi mempunyai hak terhadap anak-anaknya setelah mereka sudah mendirikan rumah tangga. Nafeesya juga sempat bertanyakan kepada pakcik itu, daripada mana datang sumber kewangan, dan pakcik itu menyatakan dia hanya meminta sedekah kepada orang awam demi kelangsungan hidupnya.
Sepanjang perjalanan balik, pakcik itu langsung tidak meminta wang kepada Nafeesya dan rakannya, cukup sekadar menghantar dia pulang ke rumah. Menurut pakcik itu, dia telah ditipu dan ditinggalkan di Ipoh.
“Kiri kanan hutan, macam mana pakcik boleh survive?”
Video: Nafeesya
Pakcik itu bertindak menyuruh Nafeesya berhenti setelah tiba di tepi sebuah jalan. Namun, Nafeesya dan rakannya ketika itu tergamam apabila melihat kiri dan kanan jalan itu hanyalah hutan semata-mata dan tiada sebarang rumah yang terdapat di situ.
Ketika sudah sampai ke jalan rumah pakcik itu, dia mengucapkan terima kasih kepada Nafeesya dan rakannya dan menyatakan hanya Allah yang mampu membalas segala kebaikannya. Pakcik itu juga mengucap panjang apabila turun daripada kereta akibat kakinya yang sakit.
Dia juga sempat menyuruh Nafeesya menyuluhkan lampu keretanya menghala ke hutan tersebut bagi memberi cahaya kepadanya untuk berjalan masuk ke rumahnya. Hal ini demikian kerana, keadaan ketika itu sangat gelap tanpa ada sebarang lampu jalan.
Hidup sebatang kara
Foto: Nafeesya
Menurut rakan Nafeesya, menerusi hasil carian di Facebook, pakcik itu memang seorang yang daif dan hidup sebatang kara. Nafeesya mendoakan supaya pakcik itu terus dimurahkan rezeki dan dia percaya perjumpaan bersama pakcik itu memberi 1001 hikmah yang bermakna buat dirinya.
Perkongsian Nafeesya itu telah mendapat 20.9k retweet dan 13.7k likes di Twitter. Rata-rata netizen memuji tindakan yang telah diambil dan mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya.
Sumber: Nafeesya via Twitter