Masalah mental, depresi, gangguan kecemasan, dan skizofrenia adalah jenis gangguan psikologi yang paling banyak dialami oleh masyarakat sejak dari usia muda. Ini merupakan salah satu jenis penyakit yang boleh ‘makan’ diri kita secara senyap dan membuat kita menderita sehingga akhirnya membunuh diri sendiri.
Haram dalam agama Islam untuk mencederakan atau meragut nyawa diri sendiri, masalah mental yang tidak dicegah dari awal sememangnya boleh memudaratkan seperti apa yang dialami oleh kebanyakan selebriti Hollywood.
Baca juga: Petua Turunkan Suhu Demam Tanpa Ubat, Hanya Campur 2 Bahan Dapur Ini & Minum!
7 CIRI-CIRI AWAL MASALAH MENTAL ATAU JIWA YANG ANDA KENA BERJAGA-JAGA
Sebelum dibiarkan melarat dalam diri sendiri, anda perlu ketahui apakah ciri-ciri awal masalah mental atau jiwa yang berlaku. Tidak kira muda ataupun berusia, awaslah dengan tanda-tanda ini!
1. Rasa takut berlebihan
Ada tak ketika waktu tertentu, anda sering berasa cemas, takut, gementar atau panik walaupun hanya berhadapan dengan masalah remeh sahaja? Maka, inilah salah satu ciri yang anda harus berwaspada kerana ia adalah ciri penyakit psikologi.
Selain daripada menyedari simptom ini secara sendiri, boleh juga bertanyakan pendapat kepada rakan-rakan sama ada anda benar-benar mempunyai rasa takut yang melebih-lebih ini ataupun tidak.
2.Mudah lupa dan susah fokus
Mengalami kesukaran menumpukan perhatian juga merujuk kepada ciri-ciri awal masalah mental atau gangguan jiwa. Ini boleh mengakibatkan anda mengalami kesukaran berfikir dengan jelas, menjadikannya semakin sukar untuk menyelesaikan masalah atau mencari jalan penyelesaian. Bukan itu sahaja, gangguan mental juga boleh membuatkan anda mudah lupa.
3.Senang rasa letih
Sudah pasti, ramai dalam kalangan anda mengalami situasi ini bukan? Baru sahaja menyelesaikan satu tugas, sudah merungut mengenai keletihan walaupun hanya tugas yang mudah sahaja. Gangguan psikologi boleh menyebabkan anda berasa sangat letih walaupun bekerja kurang daripada lapan jam. Ini menjadikan tenaga dan produktiviti anda berkurangan.
4.Diri sendiri tidak terjaga
Rasa lemau, malas nak bersiap, malas nak bersolek sampailah rasa malas nak mandi, inilah antara tanda anda mengalami gangguan jiwa. Motivasi anda untuk menjaga diri sendiri berkurangan apabila dengan perlahan-lahan tidak mengambil berat tentang kebersihan badan, seperti tidak memotong kuku dan jarang mandi. Anda juga tidak mengambil berat tentang kebersihan bilik atau perkakas sendiri yang dipakai.
5.Gangguan tidur
Sudah semestinya, masalah mental boleh menyebabkan gangguan tidur. Gangguan tidur yang dimaksudkan boleh termasuk insomnia (sukar tidur), hipersomnia (tidur berlebihan), mimpi buruk, dan mudah terjaga. Kerana itulah anda akan kelihatan kurang berseri-seri, tidak seperti dahulu.
6.Sudah tidak mahu bergaul
Apabila anda berasa sangat tertekan tentang masalah tertentu, anda memilih untuk menarik diri daripada bergaul dengan masyarakat. Anda rasa seperti tiada tenaga sehingga teman-teman rapat pun semakin lama akan semakin berjauhan.
7.Ghairah dalam perhubungan seksual menurun
Buat yang sudah berkahwin, gangguan mental boleh menyebabkan anda hilang rasa keseronokan dalam melakukan sesuatu, salah satunya adalah aktiviti seksual. Masalah psikologi boleh mengurangkan dorongan seks secara drastik dan inilah yang menjadi punca keharmonian rumah tangga bergolak.
*Jangan lupa untuk tanya perkembangan rakan-rakan terdekat. Mungkin dari segi luaran nampak ceria, siapa tahu dalam hatinya bergelora..
Baca juga: Kerap Kencing Tapi Kurang Minum Air? Guna Petua Blend Buah Delima & Minum Selama 10 Hari
Sumber: Klikdokter.com