“Hmm… Dah lama teringin anak kembar. Agaknya mengandung kali ini boleh dapat kembar tak? Apa tanda kehamilan kembar ya? Ada bezakah berbanding kehamilan biasa?”
Biasanya kita sudah dapat mengesan kehamilan sebaik saja lewat haid. Seronok dan kagum apabila memikirkan anda kini sedang hamil. Tapi, adakah ianya seorang bayi atau 2 orang bayi?

Foto Kredit: momjunction.com
Apa Peluang Mengandung Kembar?
Tahukah anda, walaupun kita tiada genetik kembar, tetapi setiap daripada kita mempunyai peluang untuk mendapatkan bayi kembar.
Malah, peluang untuk mendapatkan kembar adalah lebih tinggi jika anda tergolong dalam kumpulan ini:
- Berusia 30 tahun ke atas
- Hampir menopaus
- Lebih tinggi daripada wanita sebaya anda
- BMI anda melebihi 25
- Mempunyai sejarah keluarga kembar
- Menggunakan rawatan kesuburan

Foto Kredit: akairan.com
10 Tanda Kehamilan Kembar Yang Ibu Mengandung Perlu Tahu. Terujanya!
Sebelum anda dapat menjalani imbasan ultrasound di klinik, cuba periksa sama ada anda mengalami tanda-tanda ini:
1. Tanda Yang ‘Sangat Terang’ Pada Ujian Kehamilan
Kadangkala, sesetengah wanita yang membuat ujian kehamilan pada hari awal ‘missed period’ akan mendapat keputusan yang agak samar.
Tetapi, ini bukan kesnya jika anda mengandung anak kembar.
Tanda kehamilan kembar yang ‘sangat terang’ ini berlaku akibat penghasilan hormon hCG yang lebih banyak berbanding kehamilan biasa.

Foto Kredit: parenting.com
2. ‘Morning Sickness’ Yang Melampau
‘Morning sickness’ atau adalah salah satu simptom kehamilan yang biasa berlaku pada wanita akibat kehadiran hormon hCG.
Jika anda terlalu kerap berasa loya, dan cepat muntah-muntah walaupun hanya makan sedikit, ini adalah salah satu tanda kehamilan kembar.

Foto Kredit: parentables.howstuffworks.com
3. Pertambahan Berat Badan Melebihi Normal
Kadar kenaikan berat badan yang normal adalah sekitar 2kg sebulan.
Namun, jika anda merasakan kenaikan berat badan yang mendadak sejak awal kehamilan, anda mungkin mengandungkan bayi kembar.
Kehamilan kembar memerlukan berat badan yang melebihi kehamilan normal untuk memastikan bayi mendapat cukup nutrisi untuk membesar secara sihat.

Foto Kredit: marycrimmins.com
4. Saiz Perut Yang Besar
Apabila berat badan bertambah, saiz perut tentulah memainkan faktor utama.
Apabila anda mengandungkan bayi kembar, rahim anda akan lebih mengembang berbanding biasa untuk memuatkan 2 orang bayi.
Biasanya, kehamilan yang baru 3-4 bulan masih boleh disorokkan. Tetapi, kehamilan kembar biasanya akan nampak ‘baby bump’ lebih awal ya!

Foto Kredit: mammanett.no
5. Pergerakan Bayi Dalam Kandungan Berlaku Lebih Awal & Kerap
Salah satu lagi tanda kehamilan kembar yang menyeronokkan ialah ‘kekecohan’ di dalam perut.
Anda biasanya akan dapat merasakan pergerakan atau ‘bayi menendang’ lebih kerap daripada biasa.
Kebanyakan wanita yang pernah hamil kembar juga melaporkan mereka dapat merasakan sensasi ini lebih awal.

Foto Kredit: thebump.com
6. Letih Yang Luarbiasa
Secara logiknya, tubuh badan anda mudah berasa letih kerana terpaksa bekerja ‘overtime’ atau 2 kali ganda berbanding kehamilan biasa.
Oleh itu, anda mungkin akan berasa sangat penat – tak pernah sepenat ini!
Jadi, dapatkanlah rehat yang secukupnya.

Foto Kredit: verywell.com
7. Sakit Belakang
Akibat pertambahan berat badan yang melebihi kadar normal, pusat graviti badan anda akan berubah.
Jika anda tidak membetulkan postur, anda akan merasai sakit belakang dan lenguh satu badan!

Foto Kredit: physipak.com.au
8. Bengkak Air
Mungkin anda tidak pernah mengalaminya pada kehamilan sebelum ini. Tetapi, kehamilan kembar menjadikan seseorang wanita berpotensi mengalami bengkak air atau ‘edema’.
Keadaan ini bukan saja akan menjadikan anda tidak selesa, malah boleh menyebabkan komplikasi lain yang lebih serius seperti pre-eclampsia.
9. ‘Cramp’ Perut
Rasa sakit perut ini tidak merbahaya asalkan tiada pendarahan yang berlaku.
Apabila rahim anda semakin membesar dan mengembang, kesakitan ini akan berlaku dengan lebih kerap. Ia boleh menular hingga ke bahagian pelvik atau punggung.
Jika perlu, gunakan ‘maternity belt’ untuk membantu menyokong perut anda yang semakin membesar.

Foto Kredit: vau.fi
10. Sering Ke Tandas
Selain perubahan kadar hormon yang mendadak, dua orang bayi yang sedang menghimpit pundi kencing anda pasti akan menjadikan anda sering nak ‘terkucil’!
Walaubagaimanapun, jangan jadikan ia sebagai alasan untuk mengurangkan minum air ya.
Kekurangan air akan menyebabkan dehidrasi yang boleh menjadi punca kelahiran bayi pramatang.

Foto Kredit: metro.co.uk
Jaga Kesihatan Anda Sepanjang Kehamilan
Sungguhpun kehamilan kembar adalah suatu yang sangat menggembirakan, jangan lupa bahawa ia adalah suatu bentuk amaran supaya anda sentiasa berhati-hati.
Ini kerana, setiap kehamilan kembar akan diambil kira sebagai kehamilan berisiko.
Maka, pastikan anda sentiasa menghadiri pemeriksaan pranatal dan mendapatkan rehat yang cukup sepanjang kehamilan.
Semua simptom ini akan berakhir selepas 9 bulan. Sabar ya!