Mengandung Luar Rahim
Ramai yang tidak tahu tentang betapa bahayanya mengandung luar rahim ini. Jika anda tidak mendapatkan perhatian dan rawatan segera, ia boleh menyebabkan kematian kepada ibu dan bayi.
Kehamilan ektopik
Mengandung luar rahim ini juga lebih dikenali sebagai kehamilan ektopik di mana janin pada kebiasaannya akan melekat dan membesar di tiub fallopio. Ia boleh mendatangkan kematian jika tidak dikesan awal kerana jika kehamilan itu menjadi terlalu besar, ia boleh menyebabkan tiub itu pecah. Ini hanya dapat ditangani dengan pembedahan atau mengambil ubat-ubatan.
Kementerian Kesihatan Malaysia menulis panjang lebar tentang kehamilan ektopik.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
Secara ringkasnya, kehamilan ektopik berasal dari perkataan Greek (ektopas) yang bermaksud ‘di luar tempat’ atau kehamilan di luar rahim. 1 hingga 2 peratus kehamilan adalah kehamilan ektopik. Daripada jumlah ini, 98 peratus merupakan kehamilan ektopik dalam tiub fallopian seperti gambarajah di atas. Kehamilan ektopik lain termasuklah rongga abdomen, ovari, cornu rahim dan serviks.
Minggu pertama
Mengandung luar rahim ini sering didapati semasa 5-10 minggu pertama kehamilan. Ia juga merupakan punca utama kematian di kalangan ibu-ibu mengandung sewaktu trimester pertama kehamilan. Ia adalah amat berbahaya kerana terdapat arteri yang besar di luar setiap tiub fallopio. Jika arteri tersebut pecah, pendarahan serius akan berlaku sehingga boleh menyebabkan kematian.
Ultrasound
Anda boleh memastikan kehamilan anda di dalam rahim dengan menjalani pemeriksaan ultrasound. Jika anda menggugurkan anak tanpa melakukan ultrasound terlebih dahulu, berkemungkinan anda mengalami kehamilan ektopik yang tidak dikesan.
Faktor dan punca mengandung luar rahim
Bagaimana mengandung luar rahim ini boleh berlaku? Ia mungkin disebabkan jangkitan tiub terdahulu seperti penyakit berkaitan radang pelvis, klamidia dan gonorea. Ia juga boleh berpunca daripada pembedahan di dalam abdomen, terutama sekali yang melibatkan tiub fallopio, ovary, uterus, bawah abdomen dan usus.
Faktor berikutnya adalah penggunaan ubat-ubatan kesuburan pada waktu hendak bersenyawa dan terakhir sekali jika anda pernah mengandung luar rahim, peluang untuk ia berlaku lagi sekali tetap ada.
JIka anda menggunakan alat dalam raham (IUD) sebagai pencegah kehamilan, ia tidak meningkatkan risiko untuk mengandung luar rahim. Tetapi jika anda mengandung semasa menggunakan IUD, ia berkemungkinan besar anda sedang mengandung luar rahim.
Simptom mengandung luar rahim
Oleh itu, anda perlu mengetahui simptom-simptom yang sering dikaitkan dengan mengandung luar rahim. Ia adalah seperti berikut:
- Pendarahan kecil di dalam faraj
- Loya dan muntah-muntah beserta rasa sakit
- Sakit di bahagian bawah abdomen
- Kekejangan abdomen yang tajam
- Pening-pening lalat
- Rasa sakit di bahagian bahu, tengkuk atau dubur
- Jika tiub fallopio pecah, kesakitan dan pendarahan teruk boleh mengakibatkan anda pitam
Rawatan mengandung luar rahim
Dapatkan rawatan doktor dengan segera sekiranya anda mengalami simptom-simptom seperti di atas. Pembedahan harus dilakukan dengan segera bagi mengelakkan masalah yang lebih besar daripada berlaku.
Sumber dari Kementerian Kesihatan menyarankan beberapa cara untuk merawat kehamilan ektopik:
- Rawatan konservatif
Wanita yang boleh menjalani rawatan konservatif termasuk wanita yang asimptomatik dan tidak pecah serta tiada pendarahan pelvis. Wanita ini perlu diberi kaunseling sewajarnya. Selain itu wanita dengan tahap serum beta-hCG yang semakin berkurangan juga sesuai menjalani rawatan secara konservatif.
- Rawatan perubatan
Rawatan perubatan melibatkan suntikan methotrexate. Kriteria membolehkan rawatan perubatan ini termasuk kehamilan ektopik yang tidak pecah, diameter kantung kehamilan kurang dari 3cm, tahap serum beta-hCG kurang dari 3000 IU dan imbasan ultrabunyi tidak menunjukkan pendarahan dalam pelvis. Anggaran tahap serum beta-hCG yang berterusan diperlukan untuk menilai keberkesanan rawatan.
- Pembedahan
Rawatan secara pembedahan laparoskopi (pembedahan teropong)adalah rawatan bagi kebanyakan kehamilan ektopik. Namun, ia bergantung pada keujudan peralatan pembedahan dan kepakaran doktor. Doktor boleh memiloh untuk emmbuang ektopik tersebut atau membuang keseluruhan ini dan keputusan ini adalah berdasarkan pemerhatian ke atas tahap kesihatan tiub lain.Bagi kes kehamilan tiub yang telah pecah dan keadaan wanita tidak stabil, pembedahan terpaksa dilakukan (berbanding pembedahan laparoskopi) kerana proses pembedahan dapat dilakukan dengan lebih cepat. Jika berlaku kes kehilangan darah yang banyak, pemindahan darah diperlukan.
Masihkah ada peluang mengandung lagi?
Menurut Kementerian Kesihatan lagi, peluang untuk hamil pada masa depan masih ada tetapi bergantung kepada berapa sihat tiub lain dan faktor lain seperti: umur anda, dan/atau jika anda sukar hamil sebelum ini. Jika tiub bersebelahan tidak tersekat atau rosak, peluang untuk hamil adalah masih ada tidak kira samada tiub yang terjejas oleh ektopik dikekalkan atau dibuang sepenuhnya.
Secara umum, 65 hingga 70 peratus wanita dengan sejarah kehamilan ektopik akan hamil lagi dalam tempoh 18 bulan. Walau bagaimanapun, jika kedua-dua tiub fallopian rosak atau pecah, anda perlu menjalani rawatan kemandulan (IVF) untuk hamil pada masa depan.
Pengalaman mengandung luar rahim
Ada sesiapa yang ada pengalaman mengandung luar rahim? Atau ada sesiapa yang pernah mengandung luar rahim kali kedua? Atau sesiapa yang pernah menjalani rawatan pembedahan, kesan daripada kehamilan ektopik ini?
Kongsikan dengan yang lain-lain di ruangan komen, agar dapat memberi sedikit maklumat dan motivasi kepada yang lain.
Akhir kata
Sekarang anda telah tahu tentang apa itu mengandung luar rahim, simptom-simptomnya dan cara rawatannya. Diharapkan ia dapat membantu anda untuk mengesan dengan lebih awal dan atasinya seberapa cepat yang mungkin.
Walau apa pun yang berlaku, anda perlu ambil iktibar dan mengandung luar rahim bukanlah penghalang untuk anda tidak mencuba untuk mendapatkan anak lagi. Segala yang berlaku pasti ada sebabnya dan anggaplah tiada rezeki pada kali ini.