Biasanya masa check up di klinik kesihatan, misi akan arahkan kita buat ujian pap smear. Kita ni walaupun dah setahun dua lepas bersalin pun rasa masih ngeri lagi nak hadap ‘muncung itik’ tu kan?
Januari adalah Bulan Kesedaran Kanser Serviks.
Tahukah anda, kanser serviks atau kanser pangkal rahim adalah pembunuh ketiga wanita di Malaysia, di mana 40% kanser ini hanya dikesan di peringkat akhir.
6 Perkara Tentang Kanser Serviks Yang Setiap Wanita Perlu Tahu
Sempena Bulan Kesedaran Kanser Serviks Januari ini, jom kita ketahui beberapa fakta penting tentang kanser serviks.
1. Apakah Kanser Serviks
Mungkin ada yang masih keluru, dekat mana serviks ni sebenarnya?
OK sebenarnya serviks atau pangkal rahim adalah otot yang menghubungkan rahim wanita dengan farajnya. Laluan ini membentuk saluran kelahiran serta membolehkan laluan darah haid.
Kanser serviks ni lazimnya bermula dengan sel-sel pada permukaan serviks, di mana ia berlaku apabila sel-sel tersebut mula membesar dan berganda dengan tidak terkawal.
Sel-sel ini kemudiannya akan merebak ke tisu serviks. Dari serviks, ia mungkin merebak ke bahagian-bahagian tubuh lain seperti faraj, rahim ataupun usus.
2. Tanda Kanser Serviks
Apa yang membimbangkan, kebanyakan wanita tidak mempunyai sebarang tanda atau gejala pada peringkat awal.
Gejala atau tanda kanser serviks ini hanyalah dirasai oleh pesakit apabila sel kanser tersebut telah merebak ke tisu dan organ lain. (Sebab tulah pentingnya pengesanan awal melalui ujian saringan tau!)
Antara tanda atau gejala yang dialami apabila ia telah merebak adalah:
- Tompokan darah atau sedikit pendarahan antara tempoh kering haid atau selepas haid
- Pendarahan haid berpanjangan dan banyak daripada biasa.
- Pendarahan selepas putus haid
- Sakit semasa hubungan seksual
- Penambahan lelehan dari faraj
3. Punca & Faktor Risiko
Seperti juga penyakit kanser yang lain, punca kanser serviks tidak diketahui secara tepat.
Namun, jika seseorang wanita mempunyai salah satu dari faktor berikut, mereka adalah golongan yang berisiko tinggi:
- Memulakan hubungan seksual pada usia terlalu muda.
- Melakukan hubungan seksual dengan berbilang pasangan
- Jangkitan kuman melalui hubungan seksual seperti ‘HPV’ (Human Papilloma Virus/wart virus)
- Kurang jagaan kebersihan anggota sulit
- Sejarah penyakit kelamin – wanita yang mendapat jangkitan virus herpes pada bahagian kemaluan berisiko tinggi mendapat barah pangkal rahim
- Merokok – meningkatkan risiko barah pangkal rahim sebanyak empat kali ganda.
4. Pemeriksaan Saringan Kanser Serviks
Terdapat beberapa cara untuk mengesan kanser serviks pada peringkat awal.
2 cara yang paling popular dan amat digalakkan untuk dijalankan secara rutin oleh setiap wanita adalah:
i. Ujian Pap Smear
Ujian pap smear atau ‘muncung itik’ ini amat digeruni. Tapi, ia adalah prosedur yang penting untuk mengesan perubahan sel yang luar biasa dalam pangkal rahim yang membentuk kanser.
Doktor akan memasukkan sejenis alat iaitu spekulum ke dalam faraj di mana ia membuka ruang faraj bagi membolehkan pangkal rahim dilihat. Doktor akan menggunakan alat seperti spatula untuk mengambil sel dari pangkal rahim.
Wanita disarankan menjalani ujian pap smear sekali setiap dua tahun dan ia boleh dilakukan di klinik kesihatan kerajaan secara percuma.
ii. Ujian HPV DNA
Kini dah ada cara baru untuk kita mengesan kanser serviks iaitu dengan melakukan ujian HPV DNA.
Melalui kaedah ini, ujian boleh dilakukan sendiri. Wanita akan dibekalkan dengan kit ujian dan mereka boleh mengambil sampel sendiri di kawasan tertutup dengan lebih privasi.
Di perkhidmatan swasta, kos untuk menjalani pemeriksaan HPV DNA adalah sekitar RM250. Ada sesetengah klinik kesihatan di Malaysia sudahpun mempunyai perkhidmatan ini dan ia juga boleh dilakukan di Klinik LPPKN.
5. Vaksin HPV
Vaksin HPV (Human Papillomavirus) ini boleh mengurangkan risiko mendapat kanser pangkal rahim sehingga 70%.
Bagaimana ia berfungsi?
Vaksin ini menghalang seseorang wanita itu dari dijangkiti kuman HPV iaitu penyebab utama kanser pangkal rahim.
Sebaiknya vaksin ini di beri ke wanita remaja dari umur 13 tahun atau wanita yang belum pernah mengadakan hubungan seks. Sebab itulah ianya diberikan oleh kerajaan di sekolah-sekolah.
Ia kurang berkesan untuk wanita yang berumur lebih dari 26 tahun dan tidak berkesan untuk wanita yang telah dijangkiti virus ini.
6. Rawatan & Pencegahan
Sekiranya didiagnos dengan kanser serviks, rawatan akan dijalankan mengikut tahap yang bersesuaian.
Biasanya, terdapat 3 jenis rawatan :
- Pembedahan
- Radioterapi
- Kemoterapi
Pencegahan awal kanser serviks adalah melalui pemeriksaan saringan seperti Pap Smear dan Ujian HPV DNA secara berkala. Bagi anak remaja, ia juga boleh dicegah dengan vaksin HPV selain mengamalkan gaya hidup sihat.
Info Lanjut
Jadi, dah tahu tentang bahaya kanser serviks, janganlah takut-takut nak pergi buat pemeriksaan pap smear ya.
Lagipun sekarang ni dah ada kaedah baru yang lebih mudah iaitu HPV DNA. Tepuk dada, tanya selera. Yang penting jangan asyik bertangguh tau!
Berikut adalah sekilas fakta ringkas tentang Kanser Serviks.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Kanser Serviks, anda boleh menontonnya melalui video ringkas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia ini.