“Anak aku ni dari luar memang nampak normal dan aktif, tapi bukan main liat kalau disuruh buat kerja sekolah… Lambat betul nak faham walaupun kita dah ulang banyak kali. Mungkinkah ada tanda disleksia pada anak aku?”
Ibu bapa mana yang tak risau kalau perasan yang anak kita agak ketinggalan dalam pelajaran.
Walaupun nampak normal seperti kanak-kanak biasa, mungkin ada sesetengah kanak-kanak yang sering nampak keliru dan sukar mengikut arahan.
Ada juga yang lambat membaca dan bercakap yang sering menjadi kerisauan utama ibu bapa.
Memandangkan bulan Oktober ini adalah Bulan Kesedaran Disleksia, kami ingin berkongsikan serba sedikit tentang disleksia dan tanda disleksia pada anak yang ibu ayah perlu ‘alert’.
Apakah Disleksia?
Menurut Portal MyHealth KKM, disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.
Kanak-kanak Disleksia lazimnya mempunyai masalah menguasai tugasan sekolah walaupun mereka telah berusaha bersungguh-sungguh.
Sungguhpun mereka ini mempunyai keupayaan intelek yang normal dan telah mendapat rangsangan dan pembelajaran yang mencukupi, masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi.
Pada asasnya, mereka mungkin akan mengalami kesukaran untuk
- Membaca
- Menulis
- Memahami
- Mengeja
- Mengira
Dianggarkan 4 – 8 % pelajar sekolah yang bermasalah disleksia, di mana kanak-kanak lelaki lebih ramai bermasalah disleksia berbanding kanak-kanak perempuan.
Bilakah Tanda Disleksia Pada Anak Boleh Dikesan?
Menurut Dr Juliana Hashim menerusi Doktorbudak.com, tanda disleksia boleh dikenalpasti seawal umur anak 5 ½ tahun.
Tidak kurang juga ada yang baru dikenalpasti semasa umur persekolahan.
Perlu diingat bahawa setiap anak itu berbeza dan tidak semua kanak-kanak akan menunjukkan simptom yang sama.
Namun secara umumnya berikut adalah antara tanda awal disleksia pada anak yang boleh ibu bapa perhatikan.
Tanda Disleksia Pada Anak
Menurut Dr Juliana lagi, antara tanda disleksia pada anak dan simptom-simptomnya adalah:
- Sukar memasang butang atau mengikat tali kasut
- Tersalah pakai kasut
- Cuai di dalam pergerakan “clumsy” dan mudah jatuh
- Menghadapi masalah untuk melompat (hop & skip)
- Menghadapi masalah untuk menangkap, membaling dan menendang bola
- Menghadapi kesukaran untuk memahami arahan seperti atas/bawah, dalam/ luar, depan/belakang
- Sukar untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa
- Mungkin mempunyai sejarah lewat bercakap
- Pertuturan yang tunggang langgang seperti “padah sawi” untuk sawah padi
- Sukar menyebut perkataan yang banyak suku kata seperti “hospital” untuk hospital.
- Sukar menamakan objek
- Keliru antara kiri dan kanan
- Bahagian anggota tangan yang dominan tidak dapat dikenal pasti
- Tulisan tangan yang tidak kemas dan mempunyai banyak huruf/ perkataan yang terbalik (contoh huruf b/d, u/n, p/q, m/w )
- Tidak boleh menyalin daripada papan putih / papan hitam dengan betul
- Sukar untuk mengingat hari,tarikh lahir, alamat, nombor telefon
- Sukar mengenal masa/ membaca jam
- Keliru perkataan “semalam” atau “esok”
- Sukar mengingati turutan sesuatu perkara. Contoh: turutan hari Isnin-Ahad, bulan Januari – Disember.
- Sukar membaca secara fonik
- Berasa mudah penat kerana menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi tetapi membuahkan hasil yang sedikit. Oleh yang demikian kanak-kanak mungkin akan mengelat apabila tiba masa untuk belajar
- Kesilapan semasa membaca huruf, perkataan atau nombor (Bacaan terbalik) :
-
- 15 dengan 51
- “was” menjadi “saw”
- ‘b’ dengan ‘d’‘
-
Cara Mengenalpasti / Ujian Saringan Disleksia Di Malaysia
Pada tahun 2009 hingga 2019, di sekolah rendah kerajaan di Malaysia terdapat program LINUS (saringan literasi dan numerasi ) di mana ujian akan dilakukan untuk mengenal pasti pelajar yang bermasalah di dalam pembacaan dan pengiraan.
Namun kini, program LINUS telah dihentikan dan digantikan dengan kelas pemulihan.
Jika ibu bapa atau guru-guru telah mengenal pasti anak-anak yang mempunyai ciri-ciri disleksia, anda bolehlah pergi berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan dimana mereka akan membuat penilaian dan seterusnya akan membuat rujukan hospital ke doktor pakar kanak-kanak atau pakar perkembangan kanak-kanak (Developmental Pediatrician).
Langkah-langkah Membantu Anak Disleksia
Jika anak kita telah disahkan mengalami disleksia, janganlah bersedih kerana dengan bantuan awal yang betul, ibu bapa sebenarnya masih boleh membantu mereka untuk menguasai bidang pembelajaran mereka.
Kajian juga telah membuktikan bahawa diagnosa dan terapi yang cepat dapat membantu kanak-kanak disleksia ini dengan lebih baik.
Langkah-langkah untuk membantu mereka termasuklah :
- Bantu kanak-kanak dan keluarga mengendali permasalahan ini dan bina keyakinan diri anak
- Rawat penyakit lain yang mungkin berkait seperti Gejala Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan
- Pertingkatkan potensi pembelajaran anak melalui :
– Terapi pertuturan
– Latihan pendengaran dengan bantuan komputer
– Pendekatan pelbagai deria (Menggunakan deria lain untuk membantu pembelajaran)
– Deria sentuhan (menggunakan lakaran atas kertas pasir)
– Deria pendengaran (menggunakan ritma atau bunyi perkataan/ huruf)
– Merasa pergerakan bibir
– Menulis huruf atau perkataan - Langkah-langkah pemulihan :
– Bantu anak menguasai maklumat secara beransur ansur
– Pengulangan semasa mengajar (konsep ajar berlebihan)
– Gunakan video atau kaset untuk belajar - Program pemulihan khusus :
Ada sekolah yang mempunyai program pemulihan khusus untuk Disleksia
Ibu bapa perlu bersifat proaktif dan mengambil tahu akan keperluan anak disleksia memandangkan setiap mereka mungkin mempunyai simptom yang berbeza.
Sifat bimbang atau tekanan yang dihadapi akibat kesukaran penerimaan pembelajaran dikhuatiri boleh merencatkan kebolehan mereka.
Anak disleksia tidak boleh dibiarkan berterusan belajar dalam keadaan yang tertekan kerana ada teknik tertentu yang lebih sesuai untuk diajarkan kepada mereka.
Kumpulan Sokongan / Support Group
Untuk lebih banyak perkongsian tentang disleksia, sila rujuk laman web Persatuan Disleksia Malaysia di pautan berikut:
http://www.dyslexiamalaysia.org/
ATAU
Follow Facebook Dyslexia Malaysia
ATAU
Hubungi Persatuan Dyslexia Malaysia di alamat berikut:
349 Jalan Ampang, 50450 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Tel : 03-42651632
E-mel : [email protected]
[Baca juga : Autisme Boleh Dikesan Seawal 18 Bulan. Ini Cara Buat Saringan M-CHAT Secara Online ]
[ Baca juga : 3 Sebab Kenapa Anak Lelaki Sangat Perlukan Ayah Dalam Fasa ‘Terrible Two’ ]