Inspirasi

Fahami Anak Disleksia, 5 Sebab ‘Taare Zameen Par’ Perlu Ditonton Lagi Dan Lagi

131
SHARES

Tak ramai yang faham dengan masalah yang dialami oleh anak disleksia. Malah, disebabkan kurangnya kesedaran, ramai yang menganggap mereka sebagai kanak-kanak ‘lembab’ dan ‘bodoh’. Keghairahan ibu bapa untuk memastikan anak-anak bersaing dan memiliki keputusan yang baik dalam akademik juga menyebabkan bakat atau keistimewaan mereka dalam bidang lain langsung tidak dirai.

Inilah yang cuba disalurkan oleh pengarah merangkap pelakon Amir Khan dalam filemnya Taare Zameen Par. Walaupun dah 11 tahun ia direlease, ia berbaloi ditonton lagi dan lagi. Setiap kali repeat, gerenti anda akan tetap mencari tisu.

Ini kerana isu yang cuba diketengahkan memang dekat dengan semua orang. Menariknya, ia membuat lebih ramai untuk faham situasi kanak-kanak disleksia yang sentiasa berhadapan dengan kesukaran di sekolah dan di rumah.

Sempena bulan kesedaran disleksia Oktober ini, ada banyak sebab untuk kita meraikan kembali filem Taare Zameen Par. Banyak nilai-nilai yang kita boleh pelajari, terutamanya dalam memahami keunikan setiap anak termasuklah disleksia.

Fahami Anak Disleksia, Ini 5 Sebab ‘Taare Zameen Par’ Perlu Ditonton Lagi Dan Lagi

1. ‘Every Child Is Special’

Daripada tajuknya sahaja kita boleh rasa tersentuh. ‘Taare Zameen Par’ atau maksudnya ‘Little Stars On Earth’ mengisahkan tentang seorang anak yang ‘bermasalah’ bernama Ishaan. Dengan mengangkat tema ‘Every Child Is Special’, filem ini memberi perspektif berbeza kepada para guru dan ibu bapa dalam melihat potensi yang ada pada anak.

Ishaan ni boleh dikatakan corotlah di sekolah. Asyik dapat markah merah. Dia ni pula ada seorang abang yang pandai dan berdisiplin. Memang macam langit dengan bumilah! Mak ayah dia memang streslah sebab bagi mereka, Ishaan tak cukup berusaha. Sampaikan mereka hantar pula Ishaan ni pergi ke sekolah asrama, kononnya nak dapatkan pendidikan yang lebih tip top. Sedangkan, mereka tak sedar yang Ishaan sebenarnya mempunyai sejenis kondisi berbeza dan perlukan perhatian khusus.

Situasi ini tak kurang bezanya dengan kita. Walaupun anak kita mungkin tak mengalami disleksia, ada yang asyik dihantar ke kelas tuisyen dan kelas tambahan. Setiap hari pula sibuk dengan kerja sampai tak pernah nak ambil tahu apa sebenarnya masalah yang dihadapi oleh anak kita. Bayangkan kalau kita sendiri berada di tempat Ishaan. Memang sampai satu tahap Ishaan mengalami depresi dan berasa hilang semangat untuk bersekolah. Sedih!

2. Ia Mengajar Pentingnya Angan-angan & Imaginasi Kanak-kanak

Dah namanya pun kanak-kanak, fitrah mereka adalah bermain, berangan-angan, dan berimaginasi. Kuasa imaginasi ini sering dipandang remeh oleh ibu bapa mahupun para pendidik di sekolah. Mungkin kerana asyik mengejar gred dan pencapaian, kita lupa untuk menghargai kehebatan angan-angan dan memperhalusi keindahan daya imaginasi mereka.

Macam dalam cerita ini, Amir Khan yang berperanan sebagai guru seni menggalakkan muridnya berimaginasi dan berfikir di luar kotak agar dapat mencipta idea bernas dan unik. Dialah yang mula menyedari tanda-tanda disleksia pada Ishaan dan cuba menyingkap potensi anak tersebut.

3. Santai Tapi Ada Mesej ‘Berat’ Buat Ibu Bapa

Walaupun lawak macam ‘3 Idiots’, tapi tak dinafikan mesej dalam filem ini amat berat dalam menekankan peranan ibu bapa sebagai pendengar yang baik dan pendorong kepada anak-anak.

Ada masanya boleh tegas supaya anak berkelakuan sopan dan mendengar kata. Tapi jangan keterlaluan sehingga anak berasa kecil hati. Bila seorang anak sering dimarah kerana tidak berkelakuan baik atau berjaya seperti yang diharapkan, ini akan membuatkannya hilang keyakinan diri.

Seperti dalam filem ini, kita dapat lihat anak kecil seperti Ishaan mula berasa jauh hati dengan ibu bapanya. Diibaratkan macam ibu bapa tak sayangkan dirinya dan tak pedulikannya lagi. Sedih sangat masa scene di mana ibunya terjumpa buku lukisan Ishaan! Walaupun masih budak, jangan ingat mereka tak ada perasaan dan tak terasa hati masa kita asyik membandingkan mereka dan memperlekehkan minat mereka.

4. Dialog-dialog ‘Sentap’

Antara dialog-dialog yang ‘makan dalam’ dan paling memorable dalam filem ini:

“Putting the weight of your ambitions on the delicate shoulders of your child … it’s worse than child labour”

“Whatever we see, we believe it’s there … and whatever we don’t see, we believe it’s not there … but sometimes whatever we see, it’s not there … and whatever we can’t see, it’s there”

“There are various diamonds that have been born in this world, who have changed the map of this whole world … because they were able to see this world from a different angle.”

Dan satu lagi yang menarik, tentulah yang di bawah ini.

Foto Kredit: oneindia.com

5. Inspirasi Buat Para Pendidik

Filem ini seakan mengajak semua untuk berfikir semula sama ada sistem pendidikan yang diterapkan di sekolah mampu mengembangkan potensi anak atau merendahkan lagi kemampuannya. Karya Amir Khan ini secara tidak langsung menjadi kritikan hebat bagi segelintir guru yang sekadar memenuhi KPI tanpa berusaha untuk menjadikan pembelajaran lebih seronok di dalam kelas.

Tak dinafikan, selain di rumah, sekolah adalah paltform paling ideal bagi anak-anak mengenalpasti potensi diri kemudian dilatih dan diberi galakan. Dengan pengumuman oleh KPM bahawa guru tak perlu lagi menggalas tugas perkeranian baru-baru ini, diharapkan masa tersebut dapat dimanfaatkan oleh para guru untuk menjadi lebih kreatif dalam penyampaian mereka.

Impak Mendalam Terhadap Masyarakat

Filem yang berkualiti sememangnya mampu memberi impak yang positif kepada masyarakat. Kalau nak tahu, filem ini memang mendapat sambutan positif, malah antara karya paling box office di India. Selepas filem ini ditayangkan, ada beberapa badan institusi pendidikan yang terinspirasi dan bertindak membuka kelas istimewa untuk murid autistik. Sesetengah sekolah juga menghantar para guru untuk kursus mengajar murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Filem ini dilihat berjaya membangkitkan isu-isu yang dekat dengan masyarakat.

Jadi tak hairanlah ‘Taare Zameen Par’ pernah meraih 42 penghargaan sepanjang tahun 2008 dalam pelbagai kategori dan pada tahun 2009 pula dinominasikan dalam Academy Award Best Foreign Film Submission.

Selain nak tengok kehenseman Aamir Khan dalam filem ini, ada banyak sebab kan kenapa kita patut jadikan filem ini dalam senarai repeat list kita? Semoga lebih ramai memahami kondisi anak disleksia dan menerimanya setiap keunikan anak-anak kita.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×