Euforia Bola 2026
Sihat

Selalu Sakit Tengkuk Walaupun Tak Salah Bantal? Jangan Terkejut, Stres Mungkin Punca Sebenarnya!

sakit tengkuk

Ramai menganggap sakit tengkuk berlaku disebabkan posisi tidur yang tidak betul, terlalu lama menunduk melihat telefon atau masalah berkaitan tulang.

Namun, tekanan emosi dan stres juga boleh menjadi antara punca yang menyebabkan bahagian leher serta tengkuk berasa tegang dan tidak selesa.

Baca juga: Dikejar Anjing Liar Hingga Motor Terbabas, Mekanik Koma Lebih Seminggu Kini Berisiko Alami Kecederaan Otak Kekal

STRES BOLEH JADI PUNCA SAKIT TENGKUK & URAT TEGANG

sakit tengkuk

Apabila seseorang mengalami stres, tubuh akan memasuki keadaan berjaga-jaga sebagai tindak balas semula jadi untuk menghadapi tekanan. Walaupun tiada ancaman fizikal sebenar, sistem saraf boleh bertindak seolah-olah tubuh perlu bersedia untuk bertindak balas terhadap bahaya.

Keadaan ini menyebabkan beberapa perubahan berlaku tanpa disedari seperti bahu terangkat, rahang mengetap, pernafasan menjadi lebih pendek serta posisi kepala terdorong ke hadapan.

Ketika berada dalam keadaan tertekan, beberapa kumpulan otot seperti otot trapezius, levator scapulae, otot di bahagian sisi leher dan otot rahang boleh menjadi lebih tegang.

Jika keadaan ini berlaku berulang kali, otot yang sentiasa mengecut akan mengalami keletihan sehingga menyebabkan rasa keras, berat dan sakit pada kawasan berkenaan.

sakit tengkuk

Antara tanda sakit tengkuk berkaitan ketegangan otot termasuk:

  • Tengkuk terasa ketat dan berat
  • Bahu berasa keras apabila disentuh
  • Sukar menggerakkan atau memusingkan kepala
  • Sakit yang merebak ke bahagian belakang kepala
  • Sakit kepala jenis tegang
  • Rahang berasa lenguh terutama selepas bangun tidur

Sebenarnya, stres tidak ‘bergerak’ ke bahagian tengkuk. Sebaliknya, tindak balas badan terhadap tekanan menyebabkan otot terus berada dalam keadaan tegang untuk tempoh tertentu.

Cara kurangkan tegang otot

Antaranya ialah berehat seketika daripada penggunaan skrin, menurunkan bahu yang sering berada dalam keadaan tegang, melonggarkan rahang serta melakukan latihan pernafasan secara perlahan.

Selain itu, tuam menggunakan air suam, regangan ringan, mendapatkan tidur yang mencukupi dan menguruskan tekanan harian juga boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan.

Walau bagaimanapun, tidak semua sakit tengkuk berpunca daripada stres. Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan sekiranya sakit berlaku selepas kemalangan, disertai demam, sakit kepala luar biasa, kebas atau kelemahan pada tangan, kesukaran berjalan, sakit yang menjalar ke lengan atau keadaan semakin bertambah teruk.

Baca juga: Dilapor ‘Hilang’ Sejak 20 Julai, Pasangan Suami Isteri Tampil Serah Diri Kepada Polis, Rupanya Hutang Kutu..

Sumber: Facebook Public Health Malaysia & Cleveland Clinic

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×