Kini Trending

Sesi Undian Pertama ABPBH34 Ditutup, ‘Round’ Kedua Top 5 Bermula 10 Oktober!

2
SHARES

Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 bertemakan #KITABERSAMA yang dilancarkan pada 10 September lalu, secara rasminya telah menutup undian tepat pada jam 11.59 tengah malam tadi.  Menurut jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 undian bagi pusingan pertama untuk 14 kategori utama dan empat (4) kategori online ABPBH 34 mendapat sambutan amat memberangsangkan dan berjalan lancar.

Proses undian dibuat melalui laman web ABPBH 34 iaitu www.abpbh.com.my dengan pilihan undian percuma, pakej langganan BH digital dan cetak serta undian bersama peranti Xiaomi, iaitu penaja utama ABPBH 34.

Baca juga: ‘Demam’ Tiktok Menyerang ABPBH34, Video Paling Kreatif Boleh Menang Handphone Xiaomi!

UNDIAN TARIK DIRI TIDAK DIKIRA

Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 memaklumkan, proses kiraan undi yang bermula hari ini untuk menentukan calon Top 5 dalam setiap kategori utama dan online akan diumumkan pada Ahad, 10 Oktober ini dan menjadi pusingan undian terakhir.

Keputusan akhir bagi semua kategori utama dan online diumumkan pada malam kemuncak ABPBH 34 iaitu pada 13 November depan.

Selain itu, Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 juga mengumumkan undian diperoleh empat calon awal ABPBH 34, iaitu tiga artis dalam kategori solo, iaitu Pelakon TV Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular dan Artis Versatil Popular serta seorang calon kategori YouTuber Popular, yang mengumumkan menarik diri sebelum ini tidak akan dikira, sekaligus tidak disenaraikan dalam Top 5.

UNDIAN GANDINGAN TETAP DIAMBILKIRA ATAS FAKTOR WATAK GANDINGAN

Namun untuk undian diperoleh tiga artis terbabit untuk kategori online iaitu Gandingan Serasi Drama Popular dan Gandingan Serasi Filem Popular, tetap diambilkira atas faktor pencalonan adalah mengikut watak gandingan yang dibawa calon dalam drama atau filem, selain mahu berlaku adil kepada pasangan atau pelakon yang digandingkan dalam karya dipertandingkan.

Tiga artis solo itu adalah Zizan Razak yang tersenarai dalam calon awal kategori utama Pelakon Filem Lelaki Popular, Artis Versatil Popular dan kategori online Gandingan Serasi Filem Popular; Zul Ariffin (kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular dan dua pencalonan dalam kategori online Gandingan Serasi Drama Popular) serta Remy Ishak (kategori utama Pelakon TV Lelaki Popular dan kategori online Gandingan Serasi Drama Popular).

Calon kategori Artis YouTuber Popular yang turut menyatakan hasrat menarik diri daripada pencalonan awal ABPBH 34 ialah Zukie Mohamad.

BERI MANDAT KEPADA PEMINAT UNTUK MENGUNDI ARTIS PILIHAN HATI

Pengarah Jawatankuasa Pengelola ABPBH 34 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir, berkata sebagai acara hiburan berprestij yang mementingkan integriti dan legasi dicipta lebih tiga dekad lalu, ABPBH mahu terus memberi mandat kepada peminat untuk menentukan artis layak bergelar Bintang Paling Popular.

“Industri kreatif tempatan runtuh sejak pandemik COVID-19 melanda negara lebih 18 bulan lalu. Namun, kita lihat kesetiaan dan sokongan peminat terhadap penggiat seni terus utuh. Tidak keterlaluan jika dianggap peminat adalah penyelamat kepada kelangsungan dunia hiburan yang perlahan-lahan bangkit semula susulan kelonggaran diberi kerajaan kepada penggiat industri kreatif, baru-baru ini. 

“Sehubungan itu, ABPBH mahu terus menyemarakkan industri kreatif dengan menyantuni sokongan diberi peminat terhadap penggiat seni termasuk artis yang tercalon dalam pusingan awal dan akhir ABPBH 34,” jelasnya.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×