Aduh, punyalah sakit gigi bongsu ni! Berdenyut-denyut sampai tak senang duduk dibuatnya.
Ada orang yang alami sakit pada gigi bongsu sampai pipi bengkak, demam , atau tak boleh buka mulut langsung.
Jadi, apa yang kita perlu buat ya bila gigi bongsu sakit? Jom kenali gigi bongsu dengan lebih dekat.
Sakit Gigi Bongsu Apa Nak Buat? Ini 7 Perkara Perlu Tahu
1. Kenapa Kita Ada Gigi Bongsu?
Kenapa dah tua-tua baru nak tumbuh gigi? Dekat hujung sekali pula tu, dan buatkan sesetengah dari kita rasa sangat tak selesa. Seorang dewasa memiliki 32 batang gigi kekal.
Gigi bongsu ialah gigi geraham terakhir yang tumbuh dan berada paling belakang.
Biasanya gigi bongsu akan keluar ketika seseorang berumur antara 18 ke 25 tahun. Disebabkan kesemua gigi kekal kita sudah tumbuh lengkap, gigi bongsu akan mengalami kesukaran untuk timbul dari dalam gusi akibat tiada ruang.
Oleh itu, seseorang yang mempunyai rahang kecil biasanya akan rasa sakit ketika gigi bongsu sedang
tumbuh.
2. Gigi Bongsu Terimpak : Tak Semua Gigi Bongsu Perlu Dicabut
Walaupun kita sering dengar ramai yang mencabut gigi bongsu sehingga perlu menjalani pembedahan, ada juga kes di mana gigi bongsu dapat tumbuh dengan baik.
Mungkin pada awal pertumbuhan gigi saja mereka akan alami rasa tak selesa pada gusi. Orang yang tak sakit gigi bongsu ni sangat beruntung kerana tak perlu lakukan pembedahan.
Asalkan kesihatan gigi dijaga dengan baik, gigi bongsu juga boleh berfungsi dengan baik dan kekal lama.
3. Rawatan Di Rumah Hanyalah Penyelesaian Sementara
Sesetengah orang lebih suka amalkan rawatan sendiri di rumah untuk kurangkan rasa sakit gigi.
Tak dinafikan beberapa cara memang berkesan untuk diikuti seperti berkumur dengan air garam atau makan ubat tahan sakit.
Namun, rawatan di rumah hanya berkesan untuk kelegaan sementara.
Jangan berlengah untuk dapatkan pemeriksaan gigi jika sakit masih berlarutan sehingga mengganggu anda.
Mungkin terdapat masalah lain yang berpunca daripada gigi bongsu seperti jangkitan kuman atau gigi bongsu berlubang.
4. Gigi Bongsu Tidak Boleh Dicabut Serta Merta
Walaupun rasa sakit pada gigi bongsu terlalu pedih, doktor gigi tidak akan mencadangkan gigi untuk dicabut serta merta.
Semasa pemeriksaan gigi, doktor akan membersihkan kawasan gigi bongsu.
Jika mulut tidak boleh dibuka atau didapati bengkak, doktor biasanya akan memberikan rawatan awal
seperti pemberian ubat tahan sakit antibiotik.
Setelah sakit hilang, barulah doktor akan mencadangkan rawatan selanjutnya bergantung kepada keadaan gigi bongsu.
5 . Amalkan Penjagaan Kesihatan Gigi Semasa Gigi Bongsu Baru Tumbuh
Selain preskripsi ubat, doktor juga akan menasihati pesakit untuk menjaga kesihatan gigi ketika gigi bongsu sedang tumbuh bagi mengelakkan komplikasi lain.
Elakkan makanan manis dan melekit kerana makanan sebegini lebih mudah tersangkut di celah gusi dan menyebabkan gigi berlubang dan pembiakan bakteria.
Amalkan minum air kosong dengan banyak untuk mengurangkan risiko makanan atau bakteria melekat pada gigi dan gusi.
Penggunaan ‘mouthwash’ dan floss serta amalan memberus gigi 2 kali sehari juga dapat mengekalkan kesihatan gigi secara menyeluruh.
Beri lebih perhatian dan bersihkan gigi bongsu dengan cermat, terutamanya jika ia tumbuh senget atau menghimpit gigi geraham di sebelahnya.
5. Gigi Bongsu Yang Tumbuh Senget Boleh Menyebabkan Komplikasi
Bila anda datang ke klinik gigi, doktor akan lakukan imbasan X-ray untuk melihat kedudukan gigi bongsu yang tumbuh.
Melalui itu, doktor akan memberi cadangan terbaik untuk jangka masa panjang.
Kebanyakan masa, gigi bongu yang tumbuh senget akan menyebabkan masalah jika dibiarkan seperti gigi berlubang dan jangkitan kuman.
Hal ini kerana gigi yang tumbuh senget sukar untuk dijaga dan dibersihkan dengan betul. Ia juga boleh menyebabkan komplikasi lain seperti jangkitan kuman berulang, kerosakan gigi geraham bersebelahan gigi bongsu dan penyakit gusi.
Oleh itu, doktor akan menyarankan gigi bongsu untuk dibuang.
Baca juga: Jangan Ambil Ringan, Bengkak Muka Akibat Sakit Gigi Boleh Jadi Punca Meningitis & Mengancam Nyawa
6. Pembedahan Kecil Disarankan Bagi Mengeluarkan Gigi Bongsu Bermasalah
Tidak seperti gigi lain, gigi bongsu tidak boleh dicabut dengan cara biasa. Pembedahan kecil perlu
dilakukan untuk mengeluarkan gigi bongsu yang bermasalah.
Selepas prosedur pembedahan selesai, doktor akan menyarakankan pesakit untuk berehat di rumah selama 2 ke 3 hari dan perlu mengelakkan aktiviti berat dan menjaga pemakanan supaya cepat sembuh.
7. Gigi Perlu Dijaga Selepas Dicabut
Selepas gigi bongsu dicabut, elakkan makan makanan keras, manis dan melekit serta pastikan kawasan tersebut bersih bagi mengelakkan jangkitan.
Ini bagi memastikan gusi dapat tertutup dalam tempoh seminggu. Selepas gigi bongsu dibuang, anda mungkin dapati pipi akan membengkak.
Jangan risau kerana bengkak akan susut selepas beberapa hari dan bahagian gusi yang dibedah akan pulih sepenuhnya dalam masa sebulan.
Kos Cabut Gigi Bongsu Di Klinik Gigi Malaysia
Pakar bedah maksilofasial biasanya akan melakukan pencabutan gigi bongsu. Pakar gigi ini telah menjalani latihan tambahan dan diperakui untuk mengendalikan ubat bius umum sekiranya diperlukan.
Beberapa faktor boleh mempengaruhi kos prosedur anda, termasuk kewujudan dan jenis himpitan gigi, sama ada ubat bius diperlukan dan tempat anda tinggal. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, kos pencabutan gigi bongsu yang biasa di klinik kerajaan ialah:
- RM15 sebatang< untuk pencabutan gigi bongsu yang mudah di mana gigi meletus sepenuhnya dengan akar yang ringkas dengan hanya menggunakan ubat bius setempat.
- RM50 sebatang untuk pencabutan gigi bongsu terhimpit dengan hanya menggunakan ubat bius setempat. Jenis himpitan boleh mempengaruhi harga, jadi mencabut gigi yang meletus separa lebih murah daripada himpitan tulang penuh di mana gigi itu tertanam sepenuhnya di dalam tulang rahang.
Kos lain yang perlu dipertimbangkan termasuk sinar-x gigi, juga dikenali sebagai radiograf, yang menelan kos purata sekitar RM10.
Pemeriksaan awal dan susulan anda juga mungkin melibatkan kos, yang secara purata sekitar RM5 bagi setiap janji temu, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia.
Harga di klinik swasta pula selalunya lebih mahal. Anda boleh rujuk melalui screenshot komen-komen mereka yang pernah membuat cabutan atau pembedahan di bawah ini.
Sakit Gigi Bongsu Boleh Diatasi, Dapatkan Nasihat Doktor Gigi Ya!
Jangan panik dahulu jika gigi bongsu anda mula rasa sakit.
Dapatkan nasihat daripada doktor gigi terlebih dahulu. Anda juga tidak digalakkan untuk bergantung pada rawatan dari rumah semata- mata bagi masalah gigi bongsu kerana rawatan tersebut hanya bersifat sementara.
Pemeriksaan dan rawatan gigi oleh doktor berpengalaman adalah penting bagi memastikan kesihatan gigi terjamin
dan mengelakkan risiko komplikasi pada masa akan datang.
Sumber rujukan :
- https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2019/03/538321/geraham-bongsu-menyakitkan-sukar-makan-ganggu-kesihatan
- https://www.thejamesclinic.com/blog/how-to-relieve-wisdom-tooth-pain/
- https://www.dentalhealth.org/wisdom-teeth
- https://www.colgate.com/ms-my/oral-health/wisdom-teeth/what-will-tooth-extraction-cost
- Sumber gambar : Pergigian Pusat Sejahtera USM