Sihat

Jangan Ambil Ringan, Bengkak Muka Akibat Sakit Gigi Boleh Jadi Punca Meningitis & Mengancam Nyawa

23
SHARES

Jangkitan kuman pada gigi dan bernanah boleh menyebabkan bengkak muka sakit gigi yang serius.

Menurut Bahagian Kesihatan Pergigian Kelantan dalam sebuah posting di Facebook, sepanjang tempoh PKP 2 untuk 2 minggu dari 1 April hingga 14 April 2020, didapati bilangan pesakit dengan bengkak (abses) di muka adalah tinggi walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jumlah kes tersebut di klinik pergigian primer di seluruh Kelantan berjumlah 532 kes, di mana 7 kes telah dirujuk ke Klinik Pakar Bedah Mulut dan 5 lagi ke Klinik Pakar Pergigian Kanak-kanak.

Dari rekod perkhidmatan, didapati kes sebegini sememangnya sangat tinggi di negeri Kelantan dengan sejumlah 16,206 setahun (purata sebulan 1,350 kes) pada tahun 2018 dan meningkat ke 17,907 (purata sebulan 1,492 kes) pada tahun 2019.

Komplikasi Bengkak Muka Akibat Sakit Gigi Boleh Mengancam Nyawa

Bengkak muka sakit gigi sebegini perlu diambil berat kerana komplikasi yang mengancam nyawa (seperti sepsis, meningitis dan tekanan saluran pernafasan akibat pembengkakan di leher).

Oleh itu, pesakit atau ibu bapa kanak-kanak terlibat perlu keluar rumah bagi mendapatkan rawatan segera di tengah-tengah penularan wabak dan kawalan pergerakan yang ketat.

Di samping itu, kes seperti ini sering menyebabkan kesakitan akut atau kronik, selain dari mengganggu rutin harian dan pola tidur pesakit sehingga boleh menurunkan kualiti hidup mereka.

Kes kecemasan sebegini masih diterima di klinik pergigian kerajaan.

Selain bengkak dan nanah (yang menyebabkan kesukaran untuk bernafas atau mengganggu aktiviti harian) kategori kes yang diterima adalah :

  1. sakit gigi (dengan skala kesakitan 6 hingga 10 yang mungkin memerlukan cabutan)
  2. tampalan pecah dan prosthesis patah (yang menyebabkan kesakitan dan kecederaan pada tisu mulut)
  3. kecederaan mulut dan gigi (akibat dari jatuh atau kemalangan)
  4. kes trigeminal neuralgia (yang menyebabkan kesakitan yang sangat kuat seperti mencucuk di bahagian sebelah muka) serta
  5. kes lesi mulut dan ketumbuhan (yang berpanjangan atau tidak sembuh).

Buat masa ini, rawatan kecemasan terhad sahaja dapat dilakukan doktor gigi seperti pemberian ubat, rawatan cabutan atau tampalan sementara (dressing) selain mengelakkan penggunaan alat ‘handpiece’ bagi mengelakkan penghasilan aerosol di kala penularan virus COVID 19 ini.

 

Komplikasi Kerosakan Gigi Dapat Dicegah

Perlu diingat bahawa komplikasi kerosakan gigi ini sebenarnya dapat dicegah.

Permulaan awal penjagaan kebersihan gigi yang baik, diet seimbang dan rendah gula dapat menjamin kesihatan gigi dan gusi.

Lawatan berkala ke klinik pergigian untuk pemeriksaan awal, rawatan dan nasihat pergigian juga sangat membantu.

Sekiranya penyebab atau faktor risiko kerosakan gigi dapat dielakkan, kita dapat mencegah karies gigi dan komplikasinya yang berpotensi mengancam nyawa.

Rakyat Kelantan terutamanya mesti sedar dan mengambil tindakan untuk mengelakkan masalah ini daripada diri sendiri dan orang yang tersayang.

P/S: Kita sebagai ibu ayah pun perlu beri perhatian pada kesihatan gigi anak-anak dan sentiasa pantau pemakanan mereka ok. Jika ada sebarang kerosakan gigi, segeralah bawa anak ke klinik gigi untuk rawatan awal untuk mencegah masalah yang lebih serius!

*Sumber: Bahagian Kesihatan Pergigian Kelantan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×