Kalau anda sejenis yang suka mengembara dan berjalan ke luar negara, anda mesti perasan yang nilai mata wang kita sedang mengukuh.
Sehinggakan ramai yang mengambil kesempatan ini untuk tukar duit siap-siap untuk nikmati nilai tukaran wang terbaik.
Tapi, macam mana agaknya nilai mata wang kita boleh melonjak? Haa.. Jom kami kongsikan.
Antara faktor utama
Hala tuju kadar dasar di negara ekonomi maju
Bank-bank pusat di negara ekonomi maju telah, atau dijangka akan mengurangkan kadar dasar mereka.
Contohnya, Bank of England pada bulan Ogos 2024 mengurangkan sebanyak 25 mata asas, sementara European Central Bank pada bulan Jun 2024 juga mengurangkan sebanyak 25 mata asas.
Turut sama dijangka akan melakukannya tidak lama lagi adalah Amerika Syarikat dengan Kadar Dana Persekutuan mereka.
Dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00% pada bulan Julai 2024, perbezaan antara kadar faedah di negara ekonomi maju dan Malaysia semakin mengecil.
Peningkatan sentimen pelabur terhadap ekonomi Malaysia
Malaysia sedang menikmati prospek ekonomi yang semakin baik, yang membantu menarik minat pelabur. Pertumbuhan KDNK pada suku kedua 2024 ialah 5.9% (berbanding 4.2% pada suku pertama 2024), melebihi jangkaan ramai penganalisis dan pasaran.
Berikut adalah beberapa faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ini:
- Perbelanjaan isi rumah masih kukuh pada kadar 6.0% (berbanding 4.7% pada suku pertama 2024).
- Eksport menunjukkan pemulihan pada kadar 5.8% (berbanding 2.0% pada suku pertama 2024).
- Kemasukan pelancong meningkat dengan 6.0 juta orang (berbanding 5.8 juta orang pada suku pertama 2024).
- Pelaburan yang lebih kukuh, contohnya aktiviti pembinaan serta perkembangan dalam sektor elektronik dan pusat data di seluruh negara yang meningkat sebanyak 17.3% (berbanding 11.9% pada suku pertama 2024).
- Sokongan polisi seperti Budi Madani dan Akaun 3 KWSP.
Gabungan faktor diatas telah merangsang peningkatan pelaburan di Malaysia.
Tindakan terbaru pihak kerajaan
Pihak kerajaan telah mengambil tindakan terselaras untuk menggalakkan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memulangkan dan menukar pendapatan pelaburan asing mereka. Langkah ini akan meningkatkan permintaan untuk ringgit.
Apa yang anda perlu tahu:
Mata wang sering mengalami turun naik dalam jangka masa pendek & ia tidak semestinya menjadi penanda ukur untuk kesihatan ekonomi
Ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi nilai mata wang seperti perbezaan kadar faedah, konflik geopolitik, faktor ekonomi global, keyakinan pelabur dan banyak lagi.
Contohnya:
- Tindakan Fed Amerika Syarikat (AS): Apabila Federal Reserve AS menaikkan kadar dana persekutuan (setara dengan OPR) sebanyak 525 mata asas dalam beberapa bulan untuk mengekang inflasi di AS, nilai ringgit melemah. Ini kerana banyak pelabur memilih untuk melabur di AS untuk mendapatkan pulangan yang lebih tinggi.
- Kesan Kenaikan OPR: Sesetengah pihak mencadangkan Malaysia menggunakan OPR untuk menyokong nilai ringgit walaupun kita tidak mengalami inflasi yang tinggi seperti di AS. Namun, langkah ini juga mempunyai kos kepada peminjam Malaysia. Sebagai contoh, jika Malaysia menyesuaikan kadar faedah dengan AS, pembayaran pinjaman akan meningkat dengan ketara. Menurut kalkulator dalam talian, seorang peminjam dengan pinjaman perumahan RM300,000 perlu membayar tambahan sekitar RM407 sebulan! Oleh itu, memang tidak sesuai untuk kita menaikkan OPR untuk mempertahankan ringgit terutamanya apabila tekanan harga masih terkawal.
Solusi:
Daripada cuba memperkukuh nilai ringgit dalam jangka pendek tanpa perancangan terperinci, lebih baik kita fokus untuk meningkatkan asas ekonomi kita. Ini termasuklah meningkatkan produktiviti, menarik pelaburan bernilai tinggi dan mencipta lebih banyak pekerjaan dengan gaji tinggi untuk rakyat Malaysia.
Apabila prospek dan prestasi ekonomi kita meningkat, ia akan menarik lebih banyak pelabur dan peluang perniagaan ke Malaysia serta membolehkan peningkatan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan kita, termasuk aset yang bernilai dalam ringgit (contohnya, saham dan debt issuance). Ini akan meningkatkan permintaan untuk ringgit.
Reformasi struktur
Reformasi struktur adalah amat penting meskipun perkembangan terkini menunjukkan kadar peningkatan ekonomi yang baik namun langkah-langkah tambahan perlu diambil untuk memastikan perkembangan positif dapat terus dicatatkan.
Antara langkah yang boleh diambil:
- Meningkatkan Kemahiran dan Mengemaskini Kemahiran Tenaga Kerja: Ini merujuk kepada usaha untuk mempertingkatkan kemahiran pekerja sedia ada serta menyediakan latihan baru untuk mereka. Tujuannya adalah untuk memastikan tenaga kerja Malaysia mempunyai kemahiran yang relevan dan moden yang diperlukan dalam industri serta pasaran kerja yang sentiasa berubah.
- Menarik Pelaburan Bernilai Tinggi ke Malaysia: Ini bermaksud mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pelaburan yang memberikan nilai tambah tinggi kepada ekonomi. Pelaburan bernilai tinggi biasanya melibatkan teknologi canggih, inovasi, dan projek-projek yang dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Haa.. Semoga dengan usaha-usaha ini negara dapat terus mencipta rekod ekonomi yang lebih baik!
Tapi, kena ingat tidak kira dalam keadaan ekonomi bagaimana sekalipun, kita semua digalakkan untuk sentiasa berhemah dalan mengawal perbelanjaan sendiri.