Siapa sahaja yang tak excited nak menimang cahaya mata, kan? Apatah lagi kalau ini merupakan pengalaman pertama bergelar ibu dan ayah, macam-macam persiapan nak dibuat sebelum si kecil tiba.
Daripada baju comel, lampin hinggalah ke kelengkapan penyusuan, rasa teruja nak disediakan semuanya. Jadi, hari ini kita nak kongsi tip pemilihan botol susu newborn yang mungkin ibu dan ayah tak tahu.
Bukan apa, sekarang di pasaran ada pelbagai pilihan, termasuk botol susu dengan ciri Anti-Kolik, puting dengan aliran berbeza serta material seperti polyphenylsulfone (PPSU). Boleh rambang mata dibuatnya.
1. Mulakan dengan saiz yang sesuai untuk newborn

Untuk bayi baru lahir, anda tak semestinya perlu terus membeli botol bersaiz besar. Kapasiti yang lebih kecil biasanya lebih praktikal pada peringkat awal kerana si kecil lazimnya menyusu dalam kuantiti yang sedikit tetapi lebih kerap.
Saiz yang sesuai juga lebih mudah dipegang ketika sesi penyusuan, terutama apabila anda masih menyesuaikan diri dengan rutin baharu sebagai ibu bapa.
Kalau masih belum pasti berapa banyak susu yang diperlukan, mulakan dengan botol bersaiz kecil dahulu. Selepas mengetahui corak penyusuan si kecil, barulah pertimbangkan saiz lain yang lebih sesuai.
2. Perhatikan jenis dan aliran puting

Puting merupakan antara bahagian paling penting kerana aliran susu perlu bersesuaian dengan keupayaan si kecil untuk menyusu.
Untuk newborn, aliran perlahan biasanya menjadi pilihan kerana ia memberi bayi lebih masa untuk menyelaraskan aktiviti menghisap, menelan dan bernafas. Namun, anda kena faham bahawa setiap bayi berkembang pada kadar yang berbeza, jadi umur bukan satu-satunya perkara yang perlu dijadikan panduan.
Perhatikan reaksi anak ketika menyusu. Jika susu mengalir terlalu laju sehingga menyebabkan bayi batuk, tersedak atau susu kerap meleleh keluar dari mulut, mungkin aliran tersebut kurang sesuai.
Sebaliknya, jika mengambil masa yang sangat lama untuk menghabiskan susu atau perlu bekerja terlalu kuat untuk mendapatkan susu, aliran puting mungkin perlu dinilai semula.
3. Pertimbangkan ciri Anti-Kolik
Anda mungkin pernah dengar istilah Anti-Kolik ketika mencari kelengkapan penyusuan. Secara ringkas, ianya merupakan reka bentuk botol susu yang bertujuan membantu mengurangkan jumlah udara yang bayi telan ketika menyusu
Sesetengah botol mempunyai sistem ventilasi atau injap untuk membantu menguruskan aliran udara ketika penyusuan. Namun begitu, ciri Anti-Kolik bukan bermaksud ia boleh menjamin bayi tidak mengalami kolik.
Yang lebih penting, lihat sama ada reka bentuk tersebut mudah digunakan dan dibersihkan. Jika mempunyai banyak komponen kecil, pastikan anda benar-benar selesa untuk memasang serta mencucinya setiap kali selepas digunakan.
4. Kenali material seperti PPSU

Selain bentuk dan fungsi, material juga menjadi salah satu perkara yang sering dipertimbangkan oleh ibu bapa.
Antara bahan yang biasa ditemui ialah polyphenylsulfone (PPSU). Material ini dikenali kerana sifat ringan, tahan lasak dan mempunyai ketahanan haba yang baik, menjadikannya salah satu pilihan yang popular untuk kelengkapan penyusuan.
Walau bagaimanapun, jangan anggap material sahaja cukup untuk menentukan sama ada sesuatu botol susu sesuai dnegan bayi atau tidak. Aspek seperti reka bentuk, keadaan puting, cara penggunaan dan penjagaan kebersihan juga perlu dititikberatkan.
5. Pilih reka bentuk yang mudah dipegang dan digunakan
Nampak macam perkara kecil, tetapi reka bentuk botol boleh memberi perbezaan besar apabila digunakan berkali-kali dalam sehari.
Perhatikan bentuk badan botol, saiz bukaan dan bagaimana bahagian-bahagiannya dipasang. Reka bentuk yang mudah dipegang dan tidak mempunyai terlalu banyak komponen biasanya lebih praktikal untuk kegunaan harian.
Lebih-lebih lagi pada waktu malam, anda tentu tak mahu mengambil masa yang lama untuk memasang setiap bahagian sebelum sesi penyusuan bermula.
6. Jika menyusu badan, pertimbangkan juga kaedah penyusuan

Bagi ibu yang menggabungkan penyusuan susu ibu dan susu botol, cara pemberian susu juga wajar diberi perhatian.
Anda boleh mengamalkan paced bottle feeding. Ia adalah kaedah yang memberi si kecil lebih kawalan terhadap aliran susu. Botol biasanya dipegang dalam kedudukan hampir mendatar supaya susu tidak mengalir terlalu laju, sambil anda memerhatikan reaksi dan tindak balas bayi.
Jangan paksa bayi menghabiskan susu jika dia sudah menunjukkan tanda kenyang. Sebaliknya, beri ruang untuk si kecil berhenti seketika atau menamatkan penyusuan mengikut keperluannya.
7. Pastikan mudah dibersihkan
Akhir sekali, pilih la botol yang mudah dicuci. Tak ada banyak bahagian dan menggunakan bahan tahan haba. Bukan apa susu botol bayi perlu di steril untuk memastikannya benar-benar bersih.
Sebab itu, sebelum membuat sebarang pembelian, Lihat dahulu adakah komponen botol susu mudah ditanggalkan, dicuci dan dipasang semula. Botol yang cantik dan mempunyai banyak fungsi mungkin nampak menarik, tetapi kalau terlalu leceh untuk dibersihkan setiap hari, ia mungkin kurang praktikal untuk rutin anda.
Ti bonus: Jangan beli terlalu banyak botol susu. Cuba dahulu pada bayi, kalau okay baru tambah lagi koleksi baru.
Tak dinafikan, dekat pasaran sekarang memang banyak pilihan botol susu, tetapi anda jangan la borong semua sekali gus. Survey dan lihat mana yang paling sesuai dengan keperluan anak.
Perhatikan bagaimana si kecil menyusu, sama ada alirannya sesuai, mudah memegang puting dan selesa sepanjang sesi penyusuan. Jika terdapat masalah seperti kerap tersedak, sukar mengawal aliran susu atau mengalami kesukaran ketika menyusu, dapatkan nasihat daripada doktor atau profesional kesihatan.
Yang penting, jangan terlalu tertekan untuk mencari satu botol yang kononnya paling sempurna. Setiap bayi berbeza dan apa yang sesuai untuk seorang anak mungkin tidak semestinya menjadi pilihan terbaik untuk si kecil anda.
