Euforia Bola 2026
gaya hidup

Pakaian Putih Cepat Kuning? Ini 3 Kesilapan Masa Basuh Yang Mungkin Anda Buat

Pakaian putih memang mudah digayakan dan sesuai dipakai untuk pelbagai acara. Namun, antara masalah yang sering berlaku ialah warna pakaian mula berubah menjadi kuning, kusam atau tidak lagi nampak bersih selepas beberapa kali cucian.

Jika anda sudah mencuba pelbagai cara tetapi pakaian putih masih cepat berubah warna, mungkin terdapat beberapa kesilapan ketika membasuh yang tidak disedari.

Berikut tiga kesilapan biasa yang mungkin menjadi puncanya.

1. Campur pakaian putih dengan pakaian berwarna

Kredit: Kampus.com

Antara kesilapan paling biasa ialah mencampurkan pakaian putih dengan pakaian berwarna dalam satu cucian.

Walaupun sesetengah pakaian berwarna kelihatan tidak mudah luntur, pewarna daripada fabrik masih boleh berpindah ketika proses mencuci. Keadaan ini boleh menyebabkan pakaian putih kelihatan kusam atau berubah warna secara perlahan-lahan.

Sebaiknya, asingkan pakaian putih daripada pakaian berwarna sebelum dimasukkan ke dalam mesin basuh. Jika mempunyai banyak pakaian untuk dicuci, anda juga boleh menggunakan bakul dobi berasingan bagi memudahkan proses pengasingan.

2. Menggunakan detergen terlalu banyak

Kredit: Hello Doctor

Lebih banyak detergen tidak semestinya bermaksud pakaian akan menjadi lebih bersih.

Penggunaan detergen secara berlebihan boleh menyebabkan sisa produk tertinggal pada fabrik sekiranya pakaian tidak dibilas dengan sempurna. Lama-kelamaan, sisa tersebut boleh membuatkan pakaian kelihatan kusam.

Dalam masa yang sama, penggunaan detergen yang terlalu sedikit pula mungkin tidak mencukupi untuk menanggalkan kotoran, peluh dan minyak badan pada pakaian.

Jadi, pastikan anda menggunakan sukatan detergen yang disyorkan pada label produk, mengikut jumlah pakaian dan tahap kekotoran.

Jika pakaian putih sering terkena kesan peluh atau kotoran degil, anda juga boleh mempertimbangkan produk pencuci atau stain remover yang direka khusus untuk membantu menanggalkan kotoran pada fabrik.

3. Membiarkan pakaian basah terlalu lama dalam mesin

pakaian putih

Kredit: Kampus.com

Pernah terlupa mengeluarkan pakaian daripada mesin basuh selepas kitaran cucian selesai?

Tabiat ini mungkin kelihatan kecil, tetapi pakaian yang dibiarkan dalam keadaan basah dan tertutup terlalu lama boleh mula mengeluarkan bau kurang menyenangkan. Dalam keadaan tertentu, ia juga boleh menyebabkan pakaian kelihatan kurang segar.

Sebaiknya, keluarkan pakaian sebaik sahaja cucian selesai dan terus jemur di tempat yang mempunyai pengudaraan baik.

Pastikan pakaian benar-benar kering sebelum dilipat dan disimpan. Pakaian yang masih lembap sebaiknya tidak terus dimasukkan ke dalam almari kerana keadaan tersebut boleh menyebabkan bau hapak.

Cara mudah elakkan pakaian putih cepat kuning

Menjaga pakaian putih supaya kekal bersih sebenarnya tidak terlalu sukar. Apa yang penting, anda perlu membiasakan diri dengan rutin cucian yang betul.

Asingkan pakaian putih daripada pakaian berwarna, gunakan detergen mengikut sukatan yang sesuai dan jangan biarkan pakaian basah terlalu lama selepas dicuci.

Jika anda sedang mencari detergen pakaian, peluntur fabrik atau penghilang kotoran, pastikan produk yang dipilih sesuai dengan jenis fabrik dan ikut arahan penggunaan pada label.

Dengan penjagaan yang betul, pakaian putih bukan sahaja boleh kekal bersih lebih lama, malah keadaan fabrik juga dapat dijaga supaya tidak cepat rosak.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×