Dapur

Mudahnya Buat Homemade Peanut Butter! Lebih Sihat, Boleh Tahan 1 Bulan

660
SHARES

“Suka betul anak-anak makan peanut butter dengan roti. Agaknya hari-hari sarapan benda ini pun mereka takkan bosan. Tapi, tentu lebih elok kalau hidangkan peanut butter buatan sendiri. Macam mana nak buat sendiri ya?”

Anak-anak memang sukakan peanut butter atau mentega kacang. Malah, orang dewasa pun ramai yang meminatinya rasanya yang lemak dan lembut. Sebenarnya, tak susah pun cara membuat homemade peanut butter. Apa kata cuba buat sendiri di rumah?

Mari ikuti resepi peanut butter hasil perkongsian Puan Mufidah Abdul Hadi Alyunusi. Caranya memang mudah dan berbaloi kerana peanut butter yang dibuat sendiri lebih sihat untuk keluarga. Penggunaan garam, gula, dan minyak boleh dikawal. Menariknya, peanut butter buatan sendiri ini juga boleh bertahan sehingga 1 bulan pada suhu bilik asalkan balang kaca yang digunakan bersih dan disterilkan terlebih dahulu.

Cara Buat Homemade Peanut Butter

Berikut adalah resepi istimewa Puan Mufidah.

Bahan-bahan:

  • Kacang tanah
  • Sedikit garam (saya guna garam buluh)
  • Sedikit pemanis (saya guna madu. Boleh guna gula, stevia atau pemanis lain)
  • Sedikit minyak – optional (saya guna 2 sudu teh minyak zaitun untuk setiap 500g kacang tanah. Anda boleh guna minyak kacang, minyak jagung, minyak sayuran dan sebagainya. Penggunaan minyak adalah sebagai stabilizer dan supaya menghasilkan tekstur yang lebih halus dan tahan lebih lama.

Cara-cara:

1. Panggang Kacang

Pertama sekali, panggangkan kacang hingga masak di dalam oven.

Kalau tak ada oven, boleh gorengkan atas kuali tanpa minyak.

2. Buang Kulit

Bila dah masak, buangkan kulitnya.

3. Kisar Kacang

Masukkan ke dalam blender kering (isi separuh penuh saja) dan kisar.

4. Tambah Bahan Lain

* Tambah garam, pemanis dan minyak (jika suka) secukupnya dan kisar lagi hingga halus.

* Untuk membuat chunky style peanut butter, cuma tambah sedikit kacang tanah yang dikisar kasar.

5. Simpan Dalam Balang

Untuk menyimpan peanut butter pada suhu bilik pada jangka yang lebih lama (lebih kurang 1 bulan), sterilkan dulu balang yang akan digunakan dengan cara ini:

* Rebus balang kaca bersama penutupnya. Biar mendidih selama 10 minit.
* Toskan balang kaca dan penutupnya.
* Balang kaca dimasukkan ke dalam oven dan dibakar selama 20 minit pada suhu 120-130 darjah manakala penutupnya dikeringkan saja.
* Biar balang sejuk dulu sebelum diisi dengan peanut butter.

Tips Tambahan

*Untuk pastikan supaya peanut butter buatan sendiri tahan lebih lama, pastikan barangan yang diguna untuk menyediakan peanut butter seperti mangkuk, blender kering, sudu dan lain-lain dalam keadaan kering.

*Pastikan juga tiap kali cedok peanut butter ini, guna sudu atau pisau butter yang kering.

*Kalau tak sempat nak sterilkan, boleh letakkan dalam bekas bertutup dan simpan di petisejuk. Insya Allah boleh tahan lebih kurang sebulan juga.

Inilah Hasilnya!

Beginilah hasilnya yang dah disiap dan disapu pada roti. Ada 2 versi, satu yang halus dan satu lagi yang chunky.

Nampak menyelerakan, bukan?

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat.

 

*Resepi homemade peanut butter ini adalah hasil perkongsian asal Puan Mufidah Abdul Hadi Alyunusi. Ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk komen dan pertanyaan lanjut, sila rujuk post asal di SINI.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×