Dapur

Resepi Gulai/Kari Ikan Merah Padu, Sampai Setiap Minggu Suami Minta Masak!

34
SHARES

Sajian yang berasaskan rempah kari sudah menjadi sebati dengan lidah rakyat Malaysia. Pelbagai resepi telah dicipta menggunakan bahan penting ini sehinggakan berjaya ‘melekat’ di tekak orang kita.

Sebagaimana perkongsian Puan Zee Basir mengenai suaminya yang sudah terbiasa menikmati lauk berasaskan rempah dari air tangan arwah bondanya sehingga sukar untuk menghilangkan ‘gian’ itu. Justeru itu, jom cuba buat lauk gulai/kari ikan merah padu seperti perincian di bawah.

Baca juga: Resepi Ikan Siakap Steam, Memori ‘Air Tangan Ibu’ Yang Dirindukan

RESEPI GULAI/KARI IKAN MERAH PADU, SAMPAI SETIAP MINGGU SUAMI MINTA MASAK!

Masa arwah Bonda mertua hayatnya masih ada, boleh dikatakan setiap hari menu tengah harinya sampai bawa ke makan malam disajikan dengan masakkan berasaskan rempah kari. Wajib ada di meja hidangannya setiap hari. Memang kegemaran anakandanya iaitu suami akak sekarang.

Dalam satu minggu tak ada sajian gulai atau kari apa sekali pun, macam tak lengkap di meja hidangan kami. Last masak kari daging pada hari raya bulan lepas.

Dalam minggu ni dah ada dengar rengekan dari mulut Cik suami akak. “Lama dah ibunya tak masak gulai/kari” pintanya. Nak tanya lah pada ahli-ahli group di dalam ni, memang kalau tak ada gulai/kari rasa tak lengkap di meja hidangan yerr?

Sebabnya suami akak asal dari Utara Perlis. Dah hidup bersamanya selama 31 tahun. Kari tetap kari walaupun dah masuk dalam keluarga akak diajar masakkan orang Pahang.

Bersyukur sentiasa dengan nikmat rezeki dariNya. Seronok dapat bertukar-tukar hidangan dari resepi negeri lainnya.

RESEPI GULAI/KARI IKAN MERAH

BAHAN-BAHAN:

  • 1 ekor ikan Merah dibersihkan & potong ikut suka.
  • 1 mangkuk santan cair dari setengah biji buah kelapa.
  • 1 cawan pati santan dari perahan santan pertama di atas (santan pekat).
  • 1/2 cawan air asam jawa (agak-agak sesuai rasa masamnya). 
  • 1 sudu makan gula.
  • 1 sudu teh ajinomoto.
  • 7 sudu makan penuh serbuk rempah kari ikan baba’s.
  • 3 sudu makan penuh serbuk rempah kari daging baba’s.
  • 1 cawan air.
  • 2 sudu makan rempah campuran (biji sawi, halba, jintan yang dalam peket siap tu).
  • Sayur bendi & tomato.
  • Garam secukup rasa.
  • 5 ulas bawang putih.*
  • 7 biji bawang merah kecil.*
  • 1 inci halia.*

(Semua bahan bertanda (*) tu, tumbuk atau guna chopper je.)

CARA-CARA MASAK:

1. Panaskan 1 senduk minyak dan kemudian tumiskan rempahan campuran sehingga berbau wangi dengan api kecil ya.

2. Masukkan bahan tumbuk tumis sampai naik bau. Masukkan kedua-kedua serbuk rempah kari tadi tumis dengan api paling kecil. Agak-agak nampak berubah warnanya, jangan sampai hangit ya!

3. Masukkan 1 cawan air dan tumis lagi sampai rempahnya pecah minyak.

4. Bila sudah pecah minyak masukkan pati santan tumis lagi sampai pecah minyak (naik minyak), guna api kecil sentiasa ya.

5. Seterusnya boleh lah masukkan santan cair tadi, air asam jawa, ajinomoto, gula dan garam sedikit dulu.

6. Besarkan api dapurnya bila santan mula menggelegak biarkan surut dalam setengah inci kuahnya.

7. Masukkan ikan tadi disertai buah tomato. Masak seketika akhir sekali masukkan sayur bendi.

8. Rasa masin garamnya sesuai rasa tekak. Siap disajikan di meja hidangan.

NOTA:

Lain orang lain cara masaknya kan. Saya memang tak campur dengan air serbuk rempah kari tu, tumiskan dulu supaya naik wangi dan garing sedikit baru masukkan air.

Kalau masak kari cara saya, memang saya suka gabungkan 2 jenis serbuk rempah kari tu (Ikan & Daging). Guna rempah jenama apa sekali pun terpulang kepada diri masing-masing.

Tapi saya memang suka guna rempah kari jenama Baba’s sebab rasa rempahannya yang kuat. Cari yang ada tambahan serbuk cili tu lagi padu, tak payah tambah cili kisar lagi.

#DiHalalKanResepiNya Selamat mencuba!.

Sumber: Zee Basir via Masak Apa Hari Ni..(MAHN)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×