Dapur

Resepi Ikan Siakap Steam, Memori ‘Air Tangan Ibu’ Yang Dirindukan

17
SHARES

Hebatnya ‘air tangan seorang ibu’, tiada siapa dapat menandinginya walaupun seorang chef bertaraf 5 bintang. Sesedap mana masakan itu, namun hasil air tangan ibu ada satu rasa yang ‘istimewa’ sehinggakan dapat menambat hati keluarganya sendiri.

Sebagaimana perkongsian resepi ikan siakap steam oleh Puan Siti Hajar Mohd Fauzi daripada arwah ibunya. Terlalu banyak memori menikmati hasil masakan ibu yang sedap dan dirindui ini telah diceritakannya.

Semoga pahala berkongsi resepi ini dapat mengalir ke arwah ibunya, Hajah Noriah bt Salikan. Al-Fatihah.

Baca juga: Resepi Sos Shell Out Untuk Makan Ramai, ‘Adjust’ Untuk Sorang Pun Boleh!

RESEPI IKAN SIAKAP STEAM, MEMORI ‘AIR TANGAN IBU’ YANG DIRINDUKAN

MENGIMBAU MEMORI BERKASIH BERSAMA IBU & ADIK-BERADIK

“Assalamualaikum…maaak..”

Tanpa membuka stokin yang ku pakai aku terus berlalu ke dapur. Terlihat badannya yang membelakangiku sedang mengacau kuah tomyam.

“Wah sedapnya! Mak, masak tomyam.”

“Cuba rasa kak.” Aku menghirup senduk yang dihulur sambil menunjuk ibu jari tanda aku memuji masakannya. Terlihat raut wajahnya yang puas walaupun keletihan.

Dalam tudung saji telah terhidang sotong goreng tepung dan siakap steam. Aku menjamah sotong goreng tepung yang rangup. Mak menyuakan kuah tomyam kaki ayam yang telah diisi ke dalam mangkuk kecil untuk aku hirup.

Kebiasaan yang sering dia lakukan. Suka melihat aku beria makan masakannya.

“Eh mak belum goreng telur dadar. Akim mesti nak telur dadar.” Aku mengeluh, “Tak payahlah mak kan dah banyak lauk ni.”

Gambar hiasan: TheRealUmmi.com

Serentak kedengaran bunyi motor adikku. Laju langkahnya dari tingkat rumah bahagian atas dan terus belalu ke dapur. Dia membasuh tangan dan terus menceduk nasi utk dimakan.

“Eh, mak tak goreng telur dadar ke?” Aku berkerut menjeling. Mak sudah menenggek kuali. “Takpe mak, biar kita yang goreng.”

Cepat saja suara tu menyampuk, “Eh taknak-taknak. Aku nak mak yang goreng. Kau goreng tak sedap.” Sambil ketawa mengusik dia menyuap nasi mengajuk muka ku.

“Ikan ni boleh makan semua ke mak?” Aku menjegilkn mata ke arahnya. Takkan dia boleh habiskan seekor siakap. “Makan dik, mak dah simpankan bahagian Amim.” Tidak lupa dia dengan anak sulungnya.

Kami makan dan melihat dia merenung ke arah kami dengan tersenyum. “Mak tak makan ke?” Memang jarang dia makan terus selepas memasak.

“Mak dah kenyang tengok anak-anak mak makan. Sedap tak dik?” Sengih melihat anak bongsunya makan tanpa menoleh kiri kanan. “Mestilah sedap. Mak buka restoran harini.” Akim berseloroh.

AL-FATIHAH BUAT ARWAH…

Kenangan, seakan terbayang senyumnya di birai mata melihat kami pulang untuk makan masakannya.

Al-Fatihah untuk arwah bonda saya Hajah Noriah bt Salikan. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Saya kongsikan resepi ikan siakap steam air tangan ibu saya. Semoga bermanfaat untuk semua dan menjadi pahala yang tidak henti mengalir untuknya di alam sana.

RESEPI IKAN SIAKAP STEAM:

PENYEDIAAN IKAN!

Sapu ikan siakap dengan sedikit minyak dan garam.

PENYEDIAAN KUAH:

1. Hiris serai, hiris bunga kantan, hiris daun limau purut, hiris halia, hiris bawang putih, hiris cili padi ikut nak pedas mana.

2. Tumbuk cili padi merah dengan ikan bilis.

3. Masukkan semua bahan tumbuk dengan bahan hiris dalam mangkuk, letak air limau, tepung jagung, garam, gula, aji, kiub ikan bilis suku.

4. Tambah air untuk kuah dan kacau.

5. Tuang kuah ke dalam pinggan yang telah diletakkan ikan.

6. Kukus dalam 15 minit sehingga ikan masak.

Selamat mencuba!

Sumber: Facebook Siti Hajar Mohd Fauzi via Masak Apa Hari Ni..(MAHN)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×